GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, May 8, 2014

Rakyat keliru mengenai maklumat GST


May 1, 2014
SURAT FMT: Dari Suraya Amri, melalui e-mel

Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST merupakan topik perbualan hangat terutamanya ketika pengumuman mengenai kenaikan harga perumahan sekaligus menyebabkan orang ramai risau harga barangan dan perkhidmatan yang lain juga akan naik.

Ramai menyuarakan perasaan kurang puas hati di laman sosial malah ada yang terlibat dalam demonstrasi untuk menentang perlaksanaan GST. Contoh terbaik yang dapat dilihat adalah demonstrasi jalanan yang bakal berlangsung pada 1 Mei ini di sekitar Kuala Lumpur.

Kita semua pasti tahu perdebatan antara PR dan BN dalam menegakkan pendapat masing-masing. PR mengatakan bahawa perlaksanaan cukai ini akan menjadi satu beban terutamanya terhadap mereka yang berpendapatan rendah manakala BN pula mengatakan perlaksanaan GST akan menguntungkan rakyat dan juga negara pada masa depan.

Perbezaan ini bukan sahaja menyebabkan percanggahan pendapat tetapi juga pertikaman lidah dari penyokong kedua-dua parti. Akibat perbalahan antara kedua-dua parti politik adalah kekeliruan informasi tentang GST berlaku sehingga Yang di-Pertuan Agong telah membuat kenyataan secara rasmi supaya semua parti politik tidak membuat kenyataan atau mengambil tindakan yang dianggap sebagai provokatif atau sensitif.

Keadaan ini menimbulkan persoalan ini: Adakah perbalahan ini semata-mata tentang prinsip GST dan kesannya ke atas rakyat dan negara, ataupun terdapat agenda disebaliknya?

Jika diteliti, GST akan menggantikan cukai yang sedia ada sekarang iaitu cukai Perkhidmatan dan Barangan (SST) yang terdedah kepada penyalahgunaan. Bukankah perlaksanaan sistem cukai yang lebih efisien dan telus suatu perubahan yang baik untuk negara kita?

Malah, sistem GST yang bakal dilaksanakan telahpun 30 tahun di dalam perancangan dan mengambil kira kebajikan rakyat melalui bekalan cukai sifar dan bekalan dikecualikan cukai. Namun, ramai yang masih sangsi dengan cukai ini kerana banyak implikasi negatif yang diperbalahkan.

Andrew Webb, Pengurus Polisi di Jabatan Kastam dan Cukai, UK, berkata GST adalah mekanisme cukai yang paling berkesan di dunia dan kira-kira 158 negara telah melaksanakan GST. Beliau juga menyatakan bahawa GST adalah sistem cukai yang lemah, sistem cukai ini tidak akan dilaksanakan. Bukankah negara lain akan menukar sistem cukai ini jika ia benar-benar suatu sistem yang teruk?

Dari perspektif rakyat, perbalahan antara pemimpin politik daripada kedua-dua belah pihak yang cuba mendidik rakyat tentang GST tanpa konteks telah menimbulkan kebimbangan yang tidak sepatutnya. Justeru itu, kekeliruan makin memuncak kerana kebenaran tidak dapat dibezakan daripada propaganda.

Debat tentang GST tanpa fakta kian tidak terkawal terutamanya, di kalangan mereka yang terperap dalam pemikiran bahawa parti politik yang disokong sentiasa betul dan mahu yang terbaik untuk rakyat.

Kita tidak seharusnya menyokong apa yang dikatakan oleh pemimpin berdasarkan kesetiaan terhadap parti politik. Kita semua mampu membuat penilaian tanpa dipengaruhi dan sebanyak mana kita menyokong sesetengah parti, ini tidak bermakna pendapat mereka selalunya betul.

Sebagai rakyat Malaysia, bukankah harapan kita semua agar negara maju dan dapat meningkatkan kualiti kehidupan tidak kira sebelah mana politik anda menyokong? Bagaimana untuk melangkah ke hadapan jika kita menentang sesuatu perlaksanaan hanya kerana kita menentang kerajaan? Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bertanggungjawab atas pembangunan negara daripada hanya bergantung kepada kerajaan ataupun pemimpin politik.

Setiap individu berhak atas pendirian dan pendapat masing-masing. Lebih penting lagi adalah tanggungjawab kita untuk mendidik diri sendiri tentang isu-isu yang akan memberi impak kepada kehidupan harian, terutamanya dalam topik GST. Rujuklah kepada informasi dan fakta daripada sumber selain daripada pihak politik.

Pakar-pakar dalam bidang akaun, cukai ataupun organisasi-organisasi dunia yang mahir dalam topik ini merupakan sumber informasi yang tidak berat sebelah. Berita terkini menyatakan bahawa Bank Dunia menyokong langkah Malaysia untuk melaksanakan GST kerana ianya sebahagian daripada rancangan rasionalisasi subsidi yang baik.

Sebagai insan yang berakal, kita sepatutnya mendidik diri sendiri tentang GST dan dengan itu menilai sama ada GST adalah cukai yang baik ataupun tidak untuk dilaksanakan. Sekurang-kurangnya kajian yang kukuh harus dibuat jika perlaksanaan GST tidak disetujui dan bukanya atas pengaruh pemimpin yang dikagumi.

Jika dilihat pada fakta dan angka yang sedia ada, perlaksanaan GST suatu keputusan yang salah? Janganlah hanya mengikut benarkah pendapat pemimpin politik atas dasar kesetiaan dan melupakan kewajipan kita untuk membuat penilaian yang kritikal.

No comments:

Post a Comment