Baru-baru ini saya sempat berbual dengan seorang rakan warga Malaysia. Marah sungguh beliau, berjela-jela rungutannya tentang masalah di negara ini. Baginya, semua serba tak kena dengan Malaysia.
Saya kongsi di sini perbualan kami. Mudah-mudahan akan tersingkap kebenaran dan lahirlah sinar harapan bagi mereka yang sudah hilang keyakinan dengan masa depan negara kita. Izinkan saya menggelar beliau “Angry Malaysian (AM)” bagi merahsiakan identiti dan menghormati privasi beliau:
Malaysia juga sedang mengalami sindrom sama, dipanggil ‘Crime Perception Lag’, yakni persepsi masyarakat yang tidak seiring mengenai jenayah. Kita sudah masuk tahun ketiga program NKRA bagi mengurangkan jenayah. Separuh daripada tempoh yang diambil UK ketika mereka dilanda persepsi serupa. Saya percaya kita perlu menggandakan lagi usaha." Idris Jala, Ketua Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
AM: Pada pendapat saya, Malaysia negara paling korup di dunia. Jika kerajaan tidak korup, sudah pasti semua masalah negara akan selesai. Takkan ada kemiskinan dan setiap rakyat akan hidup sejahtera.
Idris: Ia tidak benar. Tahun lalu, pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) telah meningkat.
Malaysia mencapai 49 mata daripada 100 pada 2012 berbanding 4.3 mata daripada 10 bagi 2011 (kaedah pencapaian indeks telah ditukar oleh TI pada 2012; pemberian mata daripada 1 hingga 10 pada 2011 telah diubah menjadi 1 hingga 100 pada 2012). Kedudukan Malaysia juga meningkat apabila berada di kedudukan ke-54 pada 2012 berbanding 60 pada 2011.
Andaian bahawa satu-satunya jalan penyelesaian membasmi kemiskinan dan memperoleh kemakmuran hanya dengan menangani rasuah juga tidak benar.
Bebas rasuah tetapi miskin
Hampir semua negara yang kedudukannya lebih tinggi dari Malaysia dalam senarai indeks rasuah, masih dihimpit kemiskinan sama ada mutlak atau pun relatif. Bukan semua rakyat Amerika Syarikat, United Kingdom (UK), Jerman atau Singapura kaya.
Jenayah juga masih wujud di negara itu. Lihat pula daerah luar bandar di merata-rata tempat di Malaysia dan negara lain di dunia, sungguhpun hampir tiada sogokan rasuah di sana, tetapi rakyatnya masih miskin.
Sewaktu saya membesar di Bario, di kawasan tanah tinggi Borneo, kami hampir tersisih dari setiap pelosok dunia dan tiada langsung rasuah di kampung kami. Namun kami tetap miskin.
Ya, rasuah wajib dibanteras agar setiap orang berpeluang sama rata dan standard kehidupan juga meningkat.
Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menanganinya. Namun, setiap warga Malaysia juga harus memikul tanggungjawab agar mereka tidak terbabit atau menggalakkan amalan rasuah ini. Selagi ada yang memberi, akan adalah yang mahu menerima, justeru, ia tanggungjawab semua.
AM: Datuk Sri Anwar Ibrahim mendakwa ketika perhimpunan sebelum PRU13 bahawa Malaysia mengalami kerugian aliran keluar wang haram sebanyak RM873 bilion dalam tempoh 10 tahun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Global Financial Integrity (GFI). Ini membuktikan bahawa rasuah adalah wabak paling dahsyat melanda Malaysia. Tambah beliau, jika rasuah di pihak kerajaan dan kroninya dihentikan, sudah pasti cukup wang untuk Malaysia.
BNM sangkal tuduhan Anwar
Idris: Dakwaan itu telah disangkal oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Ia telah menjelaskan bahawa 80 peratus dari aliran keluar wang haram itu berpunca dari trade mispricing atau transfer pricing yang mana syarikat swasta menyerahkan resit atau invois yang nilainya berbeza dari nilai yang diurusniagakan, bagi mengelak bayar lebih cukai kepada kerajaan.
Ia bukan hal rasuah dalam kerajaan. Bank Negara juga telah menerangkan 20 peratus dari aliran keluar wang haram itu merujuk kepada perkara kesilapan dan ketinggalan yang mencakupi jumlah sisa yang kecil disebabkan perniagaan haram dan amalan rasuah.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada Mac itu, kenyataan bahawa kerugian aliran keluar wang haram sebanyak RM873 bilion itu berpunca dari rasuah adalah tidak benar sama sekali.
AM: Dua puluh tahun dulu, Malaysia setara dengan Korea Selatan dalam banyak hal. Contohnya dalam GNI (Keluaran Dalam Negara Kasar) perkapita. Malah, dalam bola sepak pun kita sering mengalahkan mereka.
Pada saya, Malaysia sudah hilang taringnya akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jika kita mansuhkan DEB, sudah pasti Malaysia akan melonjak daya saingnya dan kita mampu menyaingi Korea Selatan.
Idris: Ya, memang Korea Selatan telah jauh ke depan berbanding kita. Namun, saya tidak bersetuju bahawa Malaysia akan mampu menyaingi mereka hanya dengan menghapuskan DEB.
Rakyat Korea Selatan berjaya kerana mereka tidak merungut memanjang jika tidak diberi kontrak kerajaan. Mereka juga tidak bersungut tak sudah-sudah mengatakan semuanya serba tak kena.
Mereka bertumpu kepada menginovasi barangan mereka sehingga dianggap terbaik di dunia. Mereka juga melatih diri untuk memasar dan menjual barangan mereka di pasaran dunia.
AM: Ramai warga Malaysia berhijrah kerana dasar yang tidak adil seperti DEB, lebih-lebih lagi warga bukan Bumiputera. Kebanyakannya berhijrah ke Singapura kerana di situ tiada DEB dan masyarakat mereka adalah adil.
Idris: Ia tidak benar. Satu kaji selidik oleh Mindshare yang dibuat tahun lalu ke atas 2,000 rakyat Singapura melaporkan bahawa lebih separuh (56 peratus) berhajat untuk berhijrah, walhal tiada dasar DEB di republik itu.
Mengikut Bank Dunia pula, Singapura mempunyai 300,000 orang pendatang pada 2010, merangkumi 10 peratus rakyat Singapura. Sebab penghijrahan ini adalah kompleks dan berbeza-beza, maka jangan menuding jari kepada DEB semata-mata.
AM: Banyak sungguh cukai yang dikutip kerajaan daripada kami. Kami bertungkus lumus bekerja tetapi terpaksa membayar cukai yang tinggi. Kerajaan pula membiarkan cukai ini dibazirkan oleh rasuah dan kronisme.
Tak semua rakyat kena bayar cukai
Idris: Saya tidak sependapat bahawa Malaysia mengenakan cukai terhadap semua orang, inikan pula memeras cukai yang tinggi daripada orang ramai. Pertama, penduduk Malaysia seramai 29 juta. Tahun lalu bilangan yang bekerja berjumlah 12.5 juta. Dari bilangan itu, 1.5 juta saja berdaftar sebagai pembayar cukai dan cuma 1.2 juta yang membuat pembayaran.
Kedua, kebanyakan pendapatan cukai kerajaan datangnya daripada PETRONAS serta syarikat minyak dan gas yang ada, diikuti cukai korporat dan barulah daripada 1.2 juta pembayar cukai tadi.
Ketiga, adalah tidak benar yang Malaysia melampau dalam soal kutipan cukai. Hasil cukai persendirian dan korporat yang wajib dibayar begitu kompetitif jika dibandingkan dengan negara lain di dunia.
Keempat, Malaysia adalah segelintir kecil negara yang masih belum melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Lebih 140 buah negara sudah pun melaksanakannya.
Kelima, berikutan matlamat Malaysia adalah mengekalkan cukai pendapatan pada kadar berpatutan, dan oleh sebab kerajaan membayar jumlah yang besar untuk menampung subsidi, cukai yang diperoleh tidak mencukupi bagi perbelanjaan pembangunan dan pengendalian negara. Ini menyebabkan Malaysia mengalami defisit fiskal.
Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, defisit fiskal ini telah dikurangkan secara berperingkat daripada 6.6 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lalu.
AM: Saya dengar ura-ura yang kerajaan akan memperkenalkan (GST). Cukai ini sudah tentu akan menindas orang miskin dan golongan berpendapatan sederhana di negara ini. GST akan menyeksa rakyat dan ekonomi Malaysia pasti akan hancur.
Idris: Masih belum ada kata putus daripada kerajaan. Sudah lebih 140 negara mengamalkan GST termasuk negara membangun dan juga sedang membangun.
Menerusi GST, banyak barangan yang digunakan golongan miskin dan berpendapatan sederhana akan dikecualikan, manakala sesetengah barangan akan disenaraikan sebagai ‘berkadar sifar’. Ini akan mengurangkan impak GST. Sebab itulah GST telah dilaksanakan di begitu banyak negara miskin dan yang sedang membangun.
Tolak GST seksa rakyat
Saya menolak pandangan yang GST akan menyeksa rakyat, atau ekonomi negara akan hancur. Fikirlah sendiri, hal ini tidak pun berlaku di 140 negara yang melaksanakan GST.
AM: Jenayah berlaku di setiap ceruk di Malaysia. Setiap hari ada saja berita jenayah. Polis langsung tak buat apa-apa. Kerajaan tak ambil peduli keselamatan dan keamanan rakyat.
Idris: Usaha mengurangkan jenayah adalah antara agenda utama negara. Malah, ia adalah antara NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) di bawah GTP (Program Transformasi Kerajaan). Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan pasukan polis sedang bertungkus lumus menjalankan inisiatif untuk memerangi jenayah.
Kadar jenayah menurun
Usaha yang kami gandingkan telah membuahkan hasil. Kadar jenayah menurun daripada 575 kes sehari pada 2009 kepada 407 kes sehari dalam tempoh lima bulan pertama pada 2013.
Ia menunjukkan kejayaan menangani jenayah meningkat 29 peratus. Namun, tidak bermakna jenayah langsung tidak berlaku, cuma kadarnya turun. Pada masa sama, kami teruskan usaha untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dan memastikan bahawa jalan raya, kawasan kampung, bandar dan pusat bandar adalah selamat.
Dalam hal ini, wajar kita renungkan bersama pengalaman dilalui United Kingdom (UK) pada 1998, ketika bekas Perdana Menterinya, Tony Blair melancarkan program membanteras jenayah pada peringkat kebangsaan. Program memperkasa pasukan polis UK itu telah diberi peruntukan begitu tinggi.
Hasilnya, ia berjaya mencegah jenayah dengan berkesan. Namun, persepsi rakyat UK ketika itu betul-betul berlawanan. Sungguhpun kadar jenayah menurun pada 1998, mereka masih menganggap yang ia sedang meningkat. Hanya selepas enam tahun, pada 2004, barulah persepsi rakyat UK mula berubah.
Malaysia juga sedang mengalami sindrom sama, dipanggil ‘Crime Perception Lag’, yakni persepsi masyarakat yang tidak seiring mengenai jenayah.
Kita sudah masuk tahun ketiga program NKRA bagi mengurangkan jenayah. Separuh daripada tempoh yang diambil UK ketika mereka dilanda persepsi serupa. Saya percaya kita perlu menggandakan lagi usaha.
Begitulah sekilas perbualan saya dengan warga Malaysia berkenaan. Memanglah negara kita mempunyai kelemahan. Negara mana yang sempurna? Tetapi negara kita banyak keistimewaannya, dan terpulanglah kepada setiap kita untuk merebut peluang yang ada dan membantu negara dan diri sendiri untuk maju. Semuanya tidaklah seburuk yang disangka.
Penulis Ketua Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang adil dan telus amat dialukan di idrisjala @ pemandu.gov.my