GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, January 1, 2010

Implikasi cukai, subsidi kepada negara


ARKIB : 31/12/2009


Cukai dan subsidi sering menjadi topik utama dalam perbahasan mengenai ekonomi Malaysia. Kedua-duanya memberi kesan kepada sumber kewangan kerajaan dan rakyat secara langsung.

Semasa pembentangan Bajet 2010, kerajaan mengumumkan bahawa semua urus niaga penjualan hartanah dikenakan cukai lima peratus.

Namun, kerajaan sekali lagi mengambil langkah untuk menarik balik cukai tersebut bagi penjualan hartanah yang dimiliki melebihi lima tahun. Selain itu, semua hotel yang menjalankan proses pengubahsuaian akan mendapat potongan cukai sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Kedua-dua pengumuman ini bakal mengurangkan sumber pendapatan kerajaan.

Jadi aspek manakah yang lebih penting? Merancakkan sektor hartanah dan sektor pelancongan atau memperolehi sumber pendapatan yang lebih melalui cukai?

Inilah satu keputusan yang cukup penting bagi mana-mana kerajaan. Keputusannya mestilah tepat dan pada masa yang sama memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jika kerajaan tidak mempunyai sumber yang mencukupi, bagaimana pula kerajaan ingin "memulangkan kembali" kepada rakyat?

Maka, sekali lagi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2011.

Tahun ini sahaja, dianggarkan kutipan cukai bagi kerajaan berkurangan sebanyak RM2.7 bilion. Apabila GST dilaksanakan nanti, kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih kurang RM1 bilion.

Bagi rakyat, cukai adalah satu perkara yang boleh mengurangkan sumber kewangan mereka. Tetapi rakyat juga perlu ingat, mereka bertanggungjawab untuk membayar cukai, jika tidak sesebuah kerajaan yang gah macam mana sekalipun tidak mampu untuk melaksanakan semua dasar dengan lancar jika "ongkosnya" tidak mencukupi.

Bayangkan juga terdapat individu yang tidak mahu membayar cukai. Mereka inilah golongan yang berasakan hasil yang mereka perolehi tidak perlu disumbangkan kembali kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, sejauh manakah jumlah cukai yang rakyat sanggup bayar?

Bagi subsidi, perkara sama juga berlaku. Kerajaan sudah memberi beberapa petanda bahawa subsidi minyak akan diberikan kepada golongan sasaran sahaja. Perkara ini amat menarik perhatian rakyat. Pertama, tujuannya agar hanya golongan sasaran sahaja yang memperolehi subsidi minyak.

Kedua, kerajaan tidak lagi menanggung beban kewangan yang besar termasuk untuk memberi subsidi kepada orang kaya dan juga warganegara asing. Namun, seperti biasa dua perkara yang amat dikhuatiri oleh rakyat. Adakah benar golongan sasaran sahaja akan memperolehi manfaatnya kerana dikhuatiri berlakunya ketirisan?

Ketiga, tidakkah harga barang akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku pada tahun lepas, apabila kerajaan meningkatkan harga minyak pada tahap tertinggi dalam sejarah. Inilah satu lagi dilema yang mana kerajaan perlu membuat keputusan dengan tepat bagi memastikan segala perancangan dan strategi yang benar-benar berkesan dapat dilaksanakan.

Topik subsidi bukan hanya terletak pada subsidi minyak sahaja, subsidi gula juga diperbincangkan sehingga kerajaan sekali lagi mengumumkan bahawa subsidi gula tidak akan ditarik buat masa ini.
Bermakna, sumber kewangan kerajaan akan digunakan untuk membayar subsidi tersebut. Akibatnya, projek-projek lain untuk rakyat akan terkena tempiasnya.

Thursday, December 31, 2009

Larang bas operasi malam tidak praktikal


ARKIB : 30/12/2009


KOTA KINABALU 29 Dis. - Cadangan agar operasi bas ekspres pada waktu malam dihentikan bukan saja tidak praktikal malah tidak dapat menyelesaikan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap pemandu bas dan pengurusan pemanduan yang baik, perlu diberikan penekanan dalam menyelesaikan masalah itu.

"Cadangan itu tidak praktikal sebab kemalangan juga boleh berlaku pada siang hari kalau pemandu bas terlelap pada waktu petang, jadi langkah itu bukan satu penyelesaian.

"Penyelesaiannya adalah berdasarkan kepada pemandu yang cekap dan berdisiplin, ini kita kena pastikan umpamanya dia tidak membawa bas terlalu lama, mesti ada cukup masa berehat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Perwakilan Tahunan ke-14 Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang sedih dengan kemalangan meragut 10 nyawa di Kilometer 280.3 Lebuh Raya Utara-Selatan mencadangkan agar operasi semua bas ekspres pada waktu malam dihentikan.

Dalam pada itu mengulas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula pertengahan 2011, Najib berkata, kerajaan masih melihat secara terperinci kesannya kepada rakyat.

Katanya, kajian mendalam yang melibatkan setiap subsektor akan dibuat bagi melihat kesannya sebelum dilaksanakan.

Jelasnya, polisi yang akan dilaksanakan secara perlahan itu sepatutnya memberi kesan yang tidak ketara terhadap harga barangan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk melihat implikasi pelaksanaan GST yang dirancang dilaksanakan 2011 dan setakat ini bacaan kali kedua di Parlimen pun belum dibuat lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1230&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm#ixzz2WRnQvY98
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, December 27, 2009

GST: Sudah bersediakah kita?


ARKIB : 26/12/2009


DALAM usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, kerajaan di dalam Bajet 2005 memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di dalam ucapannya semasa pembentangan Bajet 2010 mengumumkan kerajaan kini berada di peringkat terakhir kajian untuk memperkenalkan GST kepada awam.

Apa itu GST?

GST adalah merupakan cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. Memandangkan ia berasaskan pengenaan cukai di setiap langkah nilai ditambah, maka pungutan cukai adalah lebih kerap berbanding dengan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan di mana cukai dikutip hanya sekali.

GST bukanlah satu cukai yang baru. Diperkenalkan di negara Perancis sekitar tahun 1954, ianya diperguna luas seantero dunia. Malahan Malaysia merupakan antara negara terakhir ASEAN yang akan memperkenalkannya. Di sesetengah negara, GST turut dikenali sebagai Value Added Tax (VAT). Antara negara-negara Asia yang telah mengguna pakai sistem ini dan kadarnya masing-masing adalah China (17 peratus), Indonesia (10 peratus), Thailand (7 peratus), Singapura (7 peratus) dan Filipina (12 peratus). Kastam Diraja Malaysia dijangka akan mentadbir GST bagi pihak kerajaan. Walaubagaimanapun, kerajaan dijangka akan mengumumkan paras had (threshold amount) di mana organisasi perniagaan yang jualannya tidak mencecah had tersebut tidak perlu untuk berdaftar dan mengenakan GST ke atas pelanggannya.

Cukai Masukan (Input Tax) dan Cukai Keluaran (Output Tax)

Cukai masukan atau lebih dikenali sebagai input tax didefinisikan sebagai GST yang dibayar ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan. Cukai keluaran atau output tax adalah GST yang dikenakan kepada pelanggan seterusnya (bagi pengilang, ini mungkin pembekal dan bagi pembekal, ini mungkin konsumer akhir). Cukai masukan di atas pembelian aset tetap boleh dituntut (tertakluk kepada beberapa syarat). Sekiranya jumlah cukai masukan melebihi jumlah cukai keluaran, organisasi yang berdaftar boleh menuntut bayaran balik daripada pihak Kastam Diraja Malaysia. Sebaliknya jika jumlah cukai masukan kurang daripada cukai keluaran, mereka yang berdaftar perlulah membayar perbezaan tersebut kepada Kastam Diraja Malaysia.

Kadar GST dan Barangan Bercukai

Berdasarkan kajian terhadap beberapa negara di dunia, tidak semua barangan atau perkhidmatan akan dikenakan GST. GST boleh dilaksanakan ke atas bekalan bercukai sama ada pada kadar lazim ataupun sifar. Untuk bekalan yang dikecualikan, tiada GST akan dikenakan. Barangan yang mana akan dikenakan kadar lazim, kadar sifar mahupun dikecualikan akan ditentukan oleh pihak kerajaan kelak. Kerajaan telahpun memberi jaminan bahawa sejumlah besar barangan keperluan mungkin akan dikecualikan daripada GST. Lazimnya, barangan yang dikecualikan turut merangkumi pendidikan dan kesihatan.

Akta kawal etika peniaga


ARKIB : 26/12/2009

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) menyifatkan pembentangan Akta Antimengaut Keuntungan Berlebihan sebagai langkah tepat kerajaan untuk mengawal etika peniaga.

Presidennya, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, kewujudan akta itu mampu membendung tindakan tidak bertanggungjawab peniaga untuk mengaut keuntungan berlebihan ketika pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) nanti.

"Ia juga dapat mengawal kenaikan harga secara berlebihan semasa musim perayaan, ketika kenaikan gaji kakitangan awam dan pelbagai sebab lagi," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam, mengenai langkah kerajaan yang akan membentangkan akta tersebut pada Mac depan sebelum GST dikuatkuasakan pertengahan 2011.

Abdul Rahman berkata, akta itu penting bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti mengambil keuntungan berlebihan oleh para peniaga.

Mengenai perlaksanaan GST, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) memberi ceramah dan penerangan kepada rakyat, peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ahli Perbekas akan menggunakan pengalaman dan pengetahuan mereka sendiri dalam bidang perkastaman, cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST dan GST) untuk tujuan tersebut,'' jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1226&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_24.htm#ixzz2WdQcREki
© Utusan Melayu (M) Bhd