ARKIB : 30/12/2009
KOTA KINABALU 29 Dis. - Cadangan agar operasi bas ekspres pada waktu malam dihentikan bukan saja tidak praktikal malah tidak dapat menyelesaikan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap pemandu bas dan pengurusan pemanduan yang baik, perlu diberikan penekanan dalam menyelesaikan masalah itu.
"Cadangan itu tidak praktikal sebab kemalangan juga boleh berlaku pada siang hari kalau pemandu bas terlelap pada waktu petang, jadi langkah itu bukan satu penyelesaian.
"Penyelesaiannya adalah berdasarkan kepada pemandu yang cekap dan berdisiplin, ini kita kena pastikan umpamanya dia tidak membawa bas terlalu lama, mesti ada cukup masa berehat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Perwakilan Tahunan ke-14 Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, hari ini.
Baru-baru ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang sedih dengan kemalangan meragut 10 nyawa di Kilometer 280.3 Lebuh Raya Utara-Selatan mencadangkan agar operasi semua bas ekspres pada waktu malam dihentikan.
Dalam pada itu mengulas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula pertengahan 2011, Najib berkata, kerajaan masih melihat secara terperinci kesannya kepada rakyat.
Katanya, kajian mendalam yang melibatkan setiap subsektor akan dibuat bagi melihat kesannya sebelum dilaksanakan.
Jelasnya, polisi yang akan dilaksanakan secara perlahan itu sepatutnya memberi kesan yang tidak ketara terhadap harga barangan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk melihat implikasi pelaksanaan GST yang dirancang dilaksanakan 2011 dan setakat ini bacaan kali kedua di Parlimen pun belum dibuat lagi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1230&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm#ixzz2WRnQvY98
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment