GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, December 5, 2010

MPEN cadang aktifkan semula NDPC


ARKIB : 04/12/2010


KUALA LUMPUR 3 Dis. – Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (NDPC) perlu diaktifkan semula bagi menyelaras dan mengkaji semula dasar kementerian dan agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Tindakan itu adalah sejajar dengan pendekatan kerajaan yang menyeluruh, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

MPEN berkata, NDPC baharu itu perlu diaktifkan semula untuk memberi tumpuan terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar, bukan secara eksklusif kepada proses perancangan pembangunan.

“Bagi memastikan keberkaitan yang lebih baik dalam pembentukan dan fasa pelaksanaan dasar-dasar nasional impak tinggi, jumlah jawatankuasa perlu dikaji semula dan dirasionalisasikan,” katanya.

MPEN berkata, peranan baharu dan fungsi NDPC, termasuk menyemak cadangan dasar pelbagai kementerian dan agensi, penelitian yang lebih intensif ke atas inisiatif dan dasar sektoral daripada pelbagai kementerian atau agensi membuat keputusan dasar, memantau pelaksanaan dasar dan keputusan kerajaan dan menyediakan maklumat berkaitan untuk rakyat yang sesuai dan mereka bentuk pelarasan dan intervensi tambahan yang diperlukan serta langkah-langkah untuk memastikan pelaksanaan dasar akan terus kekal ke arah mencapai keputusan-keputusan yang diingini.

Bagi meningkatkan kecekapan sistem cukai, MPEN mencadangkan beberapa pembaharuan cukai termasuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengurangkan beberapa insentif cukai syarikat dan menurunkan kadar cukai selaras dengan negara-negara jiran.

Majlis itu mencadangkan menyusun semula cukai pendapatan individu supaya kurang regresif, menurunkan kadar cukai dan menggabungkan kredit cukai pendapatan individu kepada beberapa kategori yang lebih kecil.

MPEN juga mencadangkan pengurusan cukai dan kadar kepatuhan cukai ditingkatkan serta mengasingkan semua hasil daripada sumber minyak sebagai hasil khas yang dimasukkan ke dalam akaun atau tabung khas.

Dalam meningkatkan kawalan perbelanjaan, MPEN mencadangkan langkah pembaharuan perbelanjaan, termasuk memperkenal pengurusan nilai dalam perancangan perbelanjaan untuk memastikan kerajaan mendapat nilai daripada wang yang dibelanjakan, mewujudkan dasar dan peraturan perolehan yang telus untuk menggalakkan persaingan harga yang lebih baik dan membantu mengawal perbelanjaan.

MPEN turut mencadangakan supaya menyesuaikan saiz sektor awam bagi mengurangkan perbelanjaan emolument dan memperbaharui sistem pencen sektor awam bagi mengurangkan liabiliti luar jangka kerajaan. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WRu0hndB
© Utusan Melayu (M) Bhd