GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 28, 2003

Singapura terus usaha kukuhkan rizab negara


ARKIB : 27/10/2003

SINGAPURA 26 Okt. - Pemerintah Singapura akan meneruskan usaha mengukuhkan rizab negara apabila republik itu kembali menikmati lebihan belanjawan kelak.

Perdana Menteri, Goh Chok Tong dilaporkan sebagai berkata oleh Berita Harian Singapura dalam edisi online bahawa nilai sebenar rizab negara perlu dikekalkan sebagai insurans bagi membantu Singapura mengharungi tempoh sukar pada masa depan.

Ketika berucap pada satu sesi dialog sempena mesyuarat daerah ketiga Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Southeast semalam, Chok Tong berkata, Kementerian Kewangan kini prihatin terhadap risiko defisit struktural.

Defisit struktural bermakna Singapura akan dilanda masalah defisit belanjawan hampir setiap tahun, sama ada apabila ekonomi berkembang atau menguncup.

``Pendirian kita ialah seberapa boleh, apabila kita mempunyai lebihan belanjawan, kita akan menyalurkan kepada rizab negara.

``Kita tidak mempunyai minyak, tanah, minyak kelapa sawit atau sumber asli lain. Apabila kita mempunyai rizab yang banyak, kita boleh meraih pendapatan daripada rizab ini.

``Kita kemudian boleh menggunakan pendapatan ini untuk membantu kita mengatasi masalah yang kita bincangkan sekarang,'' katanya sebagai menjawab pertanyaan peserta mengenai kenaikan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menjawab pertanyaan peserta tentang peranan pemerintah untuk memastikan bahawa rakyat Singapura tidak terlalu bergantung pada bantuan, Chok Tong bersetuju bahawa seberapa boleh pemerintah akan menggalakkan rakyatnya berdikari dan membuat keputusan mereka sendiri.

Menyentuh tentang isu mengurangkan pembaziran dalam perkhidmatan awam pula, Chok Tong menekankan bahawa pemerintah agak `bermurah hati' dari segi perbelanjaan apabila ekonomi negara sedang pesat membangun.

Namun, pada masa depan, sebarang perbelanjaan akan diteliti bagi memastikan tiada pembaziran. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1027&pub=utusan_malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm#ixzz2Wd3Qeruo
© Utusan Melayu (M) Bhd