|
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Ucapan Dasar
di Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur,
semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari
|
DENGAN menyebut kalimah Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Mendahului segalanya, Saya ingin membaca sepotong ayat dan memetik mafhum firman Allah Subhanahu wa Taala, daripada surah Al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4: BismillahiRahmanirRahim ...Qul Huwallah Hu Ahad... Katalah wahai Muhammad, Dialah Allah, TuhanYang Maha Esa, Tuhan tempat berlindung, pada-Nya kita bermohon segala sesuatu, Allah Yang Tidak Beranak, tidak pula diperanakkan, dan sesungguhnya Dia, tidak boleh disekutu mahupun disetarakan".
Selanjutnya, selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat pilihan yang menjadi ikutan juga suri tauladan sepanjang zaman.
Para pujangga pula berperi-peri bahawa: Sekalipun kita tidak mampu memberi jaminan tentang masa depan anak-anak muda, namun apa yang pasti boleh dilakukan ialah menyedia dan membangun mereka untuk hari muka, kerana pemimpin yang baik lagi bertanggungjawab adalah pemimpin yang mempersiagakan pelapis masa depan."
Berbekalkan pedoman-pedoman tersurat lagi tersirat yang demikian itu, sambil mengangkat sebanyak-banyak tasbih ke hadrat Ilahi, marilah sama-sama bersyukur dengan rahmat-Nya, yang memungkinkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO terus berkeramat sebagai organisasi unggul menakhoda bahtera Melayu dan bumiputera.
Hakikatnya, UMNO merupakan sebuah perjuangan yang sentiasa diduga dengan pelbagai onar dan fitnah, sebuah perjuangan yang tidak mengenal erti penat lelah, sebuah perjuangan yang tidak patah dipukul zaman. Inilah mujahadah besar yang telah sekian lama menjunjung tradisi, membela nasib bangsa, menzahir warna dan ceritera perubahan.
Jika dihitung dan dicongak, parti UMNO sudah berusia 67 tahun, Perhimpunan Agung ini pula mencecah siri ke-64 seraya menandakan dewan yang bertuah ini, telah menjadi saksi persidangan dilangsungkan sebanyak 28 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO bertatih dan sudah berjalan jauh didewasakan oleh usia dan pengalaman. Disebut orang :
Nyiur gading puncak mahligai,
Ketupat pulut berisi inti,
Biar dilambung gelora dan badai,
Biar dihentak bertubi-tubi,
Perjuangan mulia ini tak boleh berhenti."
Ingatlah pesan Rasulullah SAW, mereka yang tidak berterima kasih sesama manusia ibaratnya tidak bersyukur kepada Allah. Tegasnya, bapa-bapa kita terdahulu, telah mengasuh dan mengajar kita supaya menjadi insan yang mengenang budi.
Ehwalnya, UMNO adalah parti yang sentiasa menghargai penyokong dan pendokong, mengenang barisan pejuang yang lepas, selama puluhan tahun, siang dan malam, berhujan, berpanas, menumpah keringat, berkorban jiwa dan raga, menolak kepentingan diri, demi kelangsungan wadah Melayu dan bumiputera.
Berkait ini, tentunya, penghargaan khas kita berikan kepada keenam-enam Presiden UMNO yang lalu, yakni Allahyarham Dato Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kata orang, kepada segala khidmat yang telah dicurahkan, hati mengenang mulut menyebut, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.
Semestinya lagi, kepada wirawan-wirawan parti yang kini sedang bersemadi dan telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, seyogialah kita sedekahkan Ummul Kitab, Al-Fatihah.
Jika kita imbas kembali, negara mencapai kemerdekaan, pada 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963 pula, Sabah dan Sarawak telah bergabung bagi membentuk Malaysia. Syukur Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa berjuta rahmat kepada kita.
Hasilnya, kita telah membentuk perikatan dan gabungan parti-parti politik bagi membina gandingan kukuh yang kita namakan Barisan Nasional.
Seperti semua maklum pula, pada bulan Mei yang lalu, kita telah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Sehubungan itu, bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk terus memimpin negara.
Apa yang lebih bererti adalah, UMNO sebagai parti tonggak, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88. Ini membuktikan, walau apa pun rintangan, sekali apa pun halangan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional, terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.
Kita turut bersyukur kerana Sabah dan Sarawak telah menyumbang sebanyak 47 kerusi kepada Barisan Nasional. Saya sebut baru-baru ini, dalam Bahasa Iban Utai Besai Gagamiet", maksudnya jika kita bersatu padu, hidup saling berganding-ganding, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
Sebab itulah, kita tidak pernah lupa jasa, kita tidak sekali-kali alpa, dengan sokongan dan pengorbanan orang Sabah dan Sarawak. Jadinya, sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada saudara-saudari kita di sana, saya telah melantik 13 Menteri dan 8 Timbalan Menteri. Masing-masing 6 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sabah, manakala 7 Menteri dan 4 Timbalan Menteri dari Sarawak.
Sememangnya pun, kita berasa amat bersyukur atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum tersebut, satu pilihan raya besar yang begitu sengit dan penuh tentangan. Diperakui episod pilihan raya baru-baru ini agak berlainan dan mencabar sekali.
Namun, kita boleh berbangga, kerana semuanya itu dilalui dengan teratur menurut batas-batas dan lunas-lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihan raya.
Berbicara tentang Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, bidalan Melayu menyebut, bila rumah siap, pahat pun mula berbunyi. Nampaknya pihak pembangkang tidak berlapang dada menerima kemenangan kita. Ada saja yang dikatakan tidak kena, ada saja yang dikorek-korek sebagai silap di mata mereka.
Misalnya, mereka semacam tidak faham dan tidak mahu memperakui sistem first-past-the-post. Ingin saya terangkan bahawa sistem ini telah pun kita amalkan sejak pilihan raya 1959 lagi, di mana, parti pertama yang mencapai majoriti, diisytihar menang. Maknanya, semasa pilihan raya tersebut, apabila Barisan Nasional mencecah 112 daripada 222 kerusi, menurut sistem ini, kita berhak membentuk kerajaan seperti yang dilakukan.
Kalau saya nak bagi analogi untuk kefahaman ramai, cerita mudahnya begini. Katalah dalam satu perlawanan badminton, Najib melawan Anwar, ke Anwar melawan Najib, mana-mana pun tak kisahlah. Dalam set pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 05-21, tetapi set penentu Najib menang 21-16.
Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana katanya, jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47. Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut set. Siapa menang majoriti, dialah juara!
Namun demikian, jika dikira undi popular sekalipun, kita tetap menang di sembilan negeri daripada 14 buah negeri, manakala mereka hanya menang undi popular di empat negeri sahaja.
Sememangnya pun perbandingan undi popular sebegini adalah tidak adil, kerana pembangkang bertanding di atas tiga parti yang berasingan dengan simbol yang berlainan, serta ideologi yang berbeza, sedangkan UMNO dengan berdiri di atas nama parti tersendiri memperoleh peratusan tertinggi undi popularnya. Kalau nak dikira macam tu, UMNOlah yang paling popular.
Berbalik kepada kemenangan kita, di atas segalanya, selaku Presiden parti mewakili barisan kepimpinan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada jentera-jentera parti di setiap peringkat merangkumi cawangan, pusat daerah mengundi, bahagian dan negeri, yang saya tahu, telah berusaha mati-matian, menggempur dan membungkam kubu lawan, mematahkan serangan, dan paling mustahak sekalipun kita diasak, dihelah, akhirnya, dengan kehendak Allah SWT jua, kita dapat menumpas dan meranapkan impian pembangkang ke Putrajaya.
Berkait perkara ini juga, ingin saya pertegaskan bahawa pernyataan Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di salah sebuah universiti di Indonesia baru-baru ini, kononnya kemenangan UMNO dan Barisan Nasional disebabkan faktor manipulasi dan korupsi adalah sungguh tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sungguh memesongkan.
Pada bulan Oktober yang lalu, satu lagi tawarikh amat penting telah ditempa oleh UMNO apabila pemilihan teraju parti, dari peringkat akar umbi sehingga ke saf kepimpinan pusat, buat julung-julung kalinya, dilaksana secara telus dan terbuka, selepas pindaan perlembagaan parti dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO tahun 2009.
Terdapat 7 pindaan dibuat demi memastikan UMNO terus dinamik, demokratik dan relevan sampai bila-bila.
Pada pindaan pertama. Ia meluaskan jumlah perwakilan dan sekali gus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Terbukti, sistem pengundian baru ini membuatkan ramai perwakilan UMNO gembira dan teruja kerana kini hak dan suara mereka diiktiraf.
Pindaan kedua pula, berkaitan penghapusan kuota kelayakan untuk bertanding dan digantikan dengan syarat paling minimum. Pindaan ketiga, berhubung pertambahan wakil Wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat. Pindaan keempat, merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO atau JPU.
Seterusnya, pindaan kelima, adalah pemansuhan yuran tahunan. Pindaan keenam pula, membabitkan pembukaan pendaftaran keahlian bagi menggalakkan kemasukan ahli-ahli baru melalui ketua-ketua sayap. Manakala, pindaan ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian secara automatik sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan.
Jelasnya, buat kali pertama dalam sejarah, seramai 146,500 perwakilan UMNO dari 191 bahagian yang meliputi 21,208 cawangan, bermula dari Arau di Perlis, membawa ke Semporna, Sabah, berpeluang memilih bukan sahaja kepimpinan bahagian, malah jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi.
Jika selama bertahun-tahun, ramai memberi kritikan dan pernyataan sinis, bahawa parti UMNO yang hayatnya melebihi enam dekad ini, katanya sudah jumud, sudah tidak relevan dan dikuasai pula oleh kelompok-kelompok tertentu. Hinggakan ramai pihak dari dalam mahupun luar, begitu yakin mengandaikan bahawa UMNO tidak mungkin sanggup dan tidak mungkin berani melakukan apa-apa perubahan.
Ternyata, UMNO tidak jumud, terbukti, UMNO tidak gentar menyahut cabaran malah terus iltizam melakukan perubahan.
Alhamdulillah, cadangan pindaan perlembagaan yang diusulkan pada Perhimpunan Agung 2009, baru-baru ini, sudah pun selesai dilunaskan. Ramai pihak yang terkejut dan terkesima dengan kesungguhan kita ini.
Sememangnya, pindaan perlembagaan yang dibuat ini, sebagai menyahut cabaran, sebagai menjawab sindiran, serta menyangkal telahan sekali gus menjadi langkah paling berani yang pernah diambil oleh mana-mana parti politik di dunia.
Hasilnya, berlakulah transformasi politik yang didambakan dalam UMNO, di mana, seramai 64 orang atau 33.5 peratus Ketua-Ketua Bahagian terdiri daripada muka-muka baru di seluruh negara.
Manakala muka baru bagi Ketua Wanita Bahagian ialah 73 orang yang mewakili 38.2 peratus, Ketua Pemuda Bahagian 161 orang yang mewakili 84 peratus. Ketua Puteri Bahagian pula seramai 143 orang yang mewakili 75 peratus.
Namun, saya tahu benar, barangkali ada segelintir yang masih memberi komentar dan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kaedah yang digunakan tersebut. Tapi kita harus beringat, ini merupakan rekod pencapaian buat kali pertama sesudah pindaan perlembagaan diperkenalkan. Mustahaknya, jika masih terdapat kekurangan, kita sanggup melakukan penambahbaikan.
Bertolak daripada pemilihan parti yang disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai proses yang sangat demokratik ini, dengan penuh kerendahan hati, saya, Mohd Najib bin Abdul Razak, berasa bersyukur yang amat sangat ke hadrat Allah SWT, dan berterima kasih kepada semua ahli UMNO, yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada saya, dengan memilih saya sebagai Presiden UMNO dengan menang tanpa bertanding.
Saya berjanji dan berikrar dengan segenap daya dan kemampuan, untuk memberi yang sehabis baik kepada UMNO dan rakyat Malaysia.
Di sini juga, saya mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah dan kita beri tepukan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, yang telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Syabas dan tepukan juga ditujukan kepada semua pimpinan, yang memenangi jawatan Naib-Naib Presiden, terdiri daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.Tahniah juga kepada Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian, Ahli Jawatan Kuasa Bahagian dan Cawangan, Wanita, Pemuda, dan Puteri.
Demikianlah juga tahniah, kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dipilih sekali lagi sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Sebagai makluman semua, Datuk Seri Shahrizat ini, sebagai mewakili Wanita UMNO, beberapa kali menyuarakan kepada saya, hasrat supaya Wanita digelar sebagai tulang belakang parti.
Malah pagi semalam kesungguhan ini ditunjukkan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, semasa saya menjenguk mereka di persidangan, beliau menepuk-nepuk tulang belakangnya sebagai isyarat kepada Ketua Wanita Temerloh, yang sedang berucap pada ketika itu, supaya menyebut bahawa Wanita UMNO sangat-sangat mahu digelar sebagai tulang belakang parti.
Saya mendengar, dan saya timbang-timbangkan permintaan itu. Bila saya fikir-fikir, sebenarnya peranan dan kegigihan Wanita UMNO sejak dulu sudah sememangnya amat dihargai dan disanjung tinggi. Maka, dengan rasminya saya mengisytiharkan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang atau ibu kepada keluarga besar parti. Terima kasih Wanita!
Seterusnya, syabas kepada Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin, yang telah menang dan mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tentunya, Pemuda harapan bangsa, Pemuda adalah benteng dan pewaris kepimpinan parti dan negara. Terima kasih Pemuda!
Tahniah juga kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baru, Yang Berhormat Puan Mas Ermieyati Samsudin. Saya menaruh keyakinan bahawa setelah lebih 12 tahun ditubuhkan, Puteri semakin bijak dan matang memainkan peranan mereka di dalam parti dan negara. Benarlah bahawa, pemudi harapan pertiwi. Terima kasih Puteri!
Syabas juga kepada pimpinan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah dipilih bagi jawatan dalam pemilihan UMNO. Terima kasih semuanya.
Berhubung pemilihan ini, pada pandangan saya, yang kalah tak bermakna tewas semuanya. Kepada yang menang pula, jangan meminggirkan yang lain.
Kepada yang kalah, jangan pula bawa diri, teruskanlah perjuangan bersama yang menang dan kepada yang menang pastikan anda terus mengajak mereka yang kalah untuk bersama membangunkan parti tercinta ini.
Apa-apa pun, beringatlah semua, perkara yang paling penting, kita dalam UMNO ini seperti sebuah keluarga yang besar, carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.
Menyongsong populasi negara, pada tahun 1970, bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada keseluruhan penduduk. Orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan sembilan induk utamanya. Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori. Masyarakat bumiputera di Sabah diwakili lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula jumlahnya lebih 40 suku.
Menurut unjuran terkini, warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang. Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, jumlahnya 7.6 peratus daripada bilangan rakyat keseluruhannya.
Lanjutan itu, unjuran penduduk Malaysia menjelang 2020 dijangka meningkat kepada 29.9 juta orang, dengan jumlah Melayu dan bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam seramai 20.7 juta atau 69.2 peratus, orang Cina 6.8 juta atau 22.8 peratus, orang India 2.1 juta atau 7 peratus dan kaum-kaum lain sebanyak 306,000 atau 1 peratus.
Melihat kepada peratusan etnik dan pecahan kelompok rakyat Malaysia yang saya nyatakan tadi, saya renung-renung, saya tidak ingat, bila pula kita ada suku kaum Bangladesh?
Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihan raya yang lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai pengundi UMNO dan Barisan Nasional. Perkara ini tampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya.
Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, Dhonnobad yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang. Ternyata, bak kata orang Pekan, maaf cakap, sampai terkejut Sheikh Hasina sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan tegas beliau menafikan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.
Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, betapa kuatnya pemimpin pembangkang suka berkata bohong dan berkalam yang dusta-dusta.