GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, September 8, 2009

Cukai korporat dijangka turun lagi 2009


ARKIB : 07/09/2006

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kerajaan dijangka menurunkan lagi cukai korporat sehingga ke paras 24 peratus pada 2009 jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan ketika itu, kata Rakan Kongsi Kanan Percukaian KPMG Malaysia, Khoo Chin Guan.

Beliau berkata, pelaksanaan GST itu seterusnya dijangka bakal menyaksikan cukai individu juga dikurangkan.

Menurutnya, langkah kerajaan mengurangkan cukai korporat sebanyak dua peratus secara berperingkat mulai tahun depan, juga dilihat sebagai satu cara kerajaan mempercepatkan pelaksanaan GST.

Katanya, kerajaan setakat ini belum memberi pengumuman terbaru untuk melaksanakan GST setelah menangguhkannya daripada tarikh asal, 1 Januari 2007.

“Kami optimis cukai korporat akan dikurangkan ke paras antara 25 peratus dan 24 peratus, mungkin mulai 1 Januari 2009 dan ketika itu, GST dilaksanakan,” kata beliau.

Chin Guan berkata demikian kepada pemberita pada persidangan cukai KPMG 2006 di sini, hari ini.

Bajet yang dibentangkan Jumaat lalu, mencadangkan cukai korporat dikurangkan kepada 27 peratus pada tahun 2007 dan 26 peratus pada tahun 2008.

Ia akan mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak RM1 bilion bagi tahun taksiran 2007 dan RM2 bilion bagi tahun taksiran 2008 dan seterusnya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Percukaian KPMG, Shalet Marian berkata, kerajaan perlu menetapkan sama ada GST akan dilaksana pada tahun 2008 atau 2009 dengan segera.

Menurutnya, pelaksanaan GST memerlukan sektor swasta, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat persediaan secukupnya kerana ia membabitkan kos pelaksanaan. “Wujud kebimbangan benar di luar sana terhadap kemungkinan GST dibatalkan terus.

“Jika ditangguh, kerajaan perlu mengumumkan segera bila GST hendak dilaksanakan,’’ katanya.

Beliau berkata, apabila cukai korporat terus dikurangkan, pelaksanaan GST akan menjana pendapatan kerajaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0907&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm#ixzz2WdHB8dLF
© Utusan Melayu (M) Bhd