GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 27, 2014

PEMAHAMAN MENGENAI CUKAI, ASAS KEPADA PENERIMAAN GST

Penulis
Oleh Abdussalam Shokhawi
18 Julai 2013

Sensitiviti masyarakat mengenai cukai

“Cukai” merupakan salah satu perkataan atau perkara yang cukup sensitif di dalam sesebuah masyarakat di mana-mana negara termasuklah di Malaysia. Perkataan “Cukai” pada maksud awam adalah suatu kadar caj yang dikenakan oleh Kerajaan terhadap Rakyat yang memiliki suatu hasil di dalam negara. Cukai sering kali diibaratkan sebagai suatu bebanan dan tekanan yang dikenakan oleh pemerintah kepada Rakyatnya.

Biarpun cukai mempunyai tahap sensitivitinya tersendiri di dalam masyarakat, namun ianya tidak pernah dihapuskan atau dimansuhkan oleh mana-mana pemerintah yang memegang tampuk Kerajaan sejak dahulu hingga kini. Rakyat kebanyakannya kekal taat kepada tatacara berkerajaan dengan memberikan sumbangan cukai mereka kepada pemerintah tanpa banyak soal bicara selagi ianya munasabah serta diuruskan dengan cara yang teratur, di samping untuk mengelak masalah litigasi mendatang. Secara umumnya, penerimaan Rakyat terhadap sistem cukai masih diragui walaupun mereka kelihatan patuh terhadap obligasinya.

Di dalam sejarah ekonomi Islam, terdapat tiga jenis cukai yang dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam, iaitu Kharaj, Jizyah dan Usyur. Kharaj bermaksud cukai hasil tanah (pertanian) yang dikenakan ke atas orang bukan Islam. Jizyah pula ialah cukai yang dikenakan ke atas individu bukan Islam yang berlindung di negara Islam, manakala Usyur ialah cukai perdagangan yang dikenakan kepada kapal-kapal milik orang bukan Islam yang berlabuh di negara Islam. Ketiga-tiga jenis cukai terhadap masyarakat bukan Islam ini telah diseimbangkan pula dengan kewajipan berzakat terhadap masyarakat Muslim. Asas pengertian Kharaj, Jizyah, Usyur dan Zakat secara amnya adalah pembahagian sumber untuk pembinaan masyarakat dan negara yang seimbang di mana mereka yang berkemampuan (mencukupi syarat kelayakan) akan diwajibkan untuk menyumbang. Namun begitu, Zakat tertakluk penerimaannya kepada asnaf yang lapan, manakala cukai dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan umum seperti pembinaan infrastruktur, urusan keselamatan dan pembayaran gaji kakitangan awam.

Hakikatnya, cukai di dalam sistem ekonomi Islam adalah suatu peraturan baharu yang wujud hasil ijma' atau persepakatan ulama Islam dan sebahagian daripada tradisi Islam atau urf. Imam As-Syatibi di dalam Kitab Al-'Itisam [2/86] ada menyebut mengenai pandangan mengambil cukai, yang bermaksud: "Disyaratkan keharusan itu - disisi mereka [ulama] - adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak".

Cukai dan Zakat di dalam sistem ekonomi Malaysia


Di dalam situasi di Malaysia pada hari ini, cukai telah menjadi elemen utama pendapatan negara untuk menampung segala keperluan ekonomi bagi 28 juta Rakyatnya. Menurut buku Laporan Ekonomi 2012/2013 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), pada tahun 2012 hasil cukai membentuk hampir 73.6% atau RM152,493 billion daripada keseluruhan pendapatan negara yang berjumlah RM207,246 billion. 

Sistem cukai di Malaysia pada dasarnya diwarisi daripada sistem yang diamalkan oleh penjajah sebelum kemerdekaan negara. Walau bagaimanapun, terdapat penambah baikan yang signifikan terhadap sistem cukai warisan tersebut yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan sepanjang tempoh 55 tahun pasca kemerdekaan. Penambah baikan yang dilakukan adalah bagi mendepani perubahan zaman, keperluan ekonomi dan situasi semasa di dalam dan luar negara. 

Antara perubahan paling utama ialah Kerajaan memberikan pengiktirafan kepada Zakat bagi pembayar cukai Muslim sebagai rebat cukai yang diterima sebagai tolakan cukai. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa teras utama pengagihan sumber (Zakat) bagi umat Islam telah diasingkan daripada sistem cukai konvensional namun ianya masih diiktiraf sebagai satu komponen umum yang diperjelaskan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967. Melalui pengiktirafan ini, masyarakat Muslim di Malaysia telah diberikan pilihan yang jelas sama ada mahu menyumbang kepada tabung pendapatan negara secara umum atau menyumbang kepada perbendaharaan ummah atau kedua-duanya sekali. Dari aspek ini, dapat dilihat bahawa unsur keadilan seperti yang dipupuk oleh semangat falsafah ekonomi Islam telah/sedang diserapkan di dalam sistem percukaian negara. 

Ilmu cukai dan tanggungjawab Rakyat


Di Malaysia, ilmu tentang cukai hanya dapat dipelajari secara formal diperingkat pengajian tinggi dan ianya tertakluk kepada jenis aliran pengajian yang diduduki oleh seseorang individu. Ini bermakna, tidak semua individu terdedah kepada pengajian tentang cukai secara mendalam, malahan boleh dikatakan bahawa hampir kebanyakan individu tiada asas pemahaman yang betul tentang cukai. Keadaan ini menjadikan cukai selalunya disalah-ertikan kerana kadar pendedahan atau pendidikan tentang cukai kepada Rakyat adalah tidak meluas serta tidak begitu dititik-beratkan atau diberi perhatian secara serius. 

Ironinya, sebilangan Rakyat yang bertuah hanya akan dapat mempelajari ilmu asas tentang cukai secara formal apabila peringkat umur mereka telah berada di antara 18 hingga 24 tahun (peringkat pengajian tinggi). Pada peringkat umur ini juga, sebahagian yang lain pula mungkin telah memasuki alam pekerjaan atau menceburkan diri di dalam bidang perniagaan yang akan memberikan pulangan pendapatan sama ada dalam bentuk penggajian atau pendapatan daripada perniagaan atau kedua-duanya. Situasi ini seterusnya mungkin akan melayakkan mereka untuk memberikan sumbangan cukai kepada Kerajaan secara tiba-tiba sama ada disedari atau tidak disedari. Dengan pemahaman yang kurang mendalam tentang ilmu cukai akan menjadikan individu tersebut salah tafsir, tersentak, malahan boleh menimbulkan kemarahan atau protes terhadap Kerajaan. Lebih malang lagi, setiap kelalaian akibat daripada kurangnya kefahaman tersebut juga perlu ditanggung oleh mereka dengan kos! 

Jika diterjah dengan persoalan cukai secara rawak, kita akan dapati bahawa terdapat Rakyat Malaysia yang langsung tidak menyedari hakikat yang sebenarnya mereka sedang dan telah melaksanakan tanggungjawab bercukai melalui perbelanjaan harian mereka, di mana unsur Cukai Jualan 10% dan Cukai Perkhidmatan 6% telah pun diserapkan di dalam harga setiap barangan atau perkhidmatan yang mereka gunakan. Justeru, mereka ini selalu beranggapan bahawa mereka tidak pernah dikenakan cukai. Anggapan yang salah sebegini telah terbukti membawa kesan buruk kepada Kerajaan apabila Rakyat kelihatan sukar untuk menerima kehadiran sistem cukai baharu yang lebih telus dan efisyen iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

Mengambil kira situasi sebegini, Kerajaan seharusnya peka akan keperluan pendidikan mengenai cukai kerana ianya sebahagian daripada asas pengajian kenegaraan yang perlu didedahkan seawal individu tersebut di bangku sekolah lagi. Cukai haruslah difahami dengan mendalam sebagai satu tanggungjawab setiap warganegara, bukannya sebagai suatu bebanan atau kezaliman daripada pemerintah kepada Rakyat. Kenyataannya, cukai bukanlah urusan profesional, tetapi cukai adalah urusan peribadi setiap individu di dalam negara ini. Cukai adalah agihan nilai daripada Rakyat kepada Rakyat, di mana Kerajaan hanyalah badan pentadbir dana cukai yang dilantik oleh Rakyat bagi setiap 5 tahun sekali. Persepsi umum yang adil/positif mengenai cukai hanya dapat disuburkan melalui pendidikan awal yang berterusan kepada setiap warganegara. Justeru itu, satu mekanisma pendidikan khusus mengenai tanggungjawab bercukai hendaklah diwujudkan segera bagi menangani salah tanggapan yang berlarutan mengenai cukai dikalangan Rakyat terutamanya generasi muda yang agresif dan sensitif.


Logo 1: GST Malaysia

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia


Kerajaan pada ketika ini sedang membuat persedian rapi bagi melaksanakan pelan tranformasi terhadap sistem percukaian negara. Di dalam pelan tersebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST akan diperkenalkan untuk menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). 

GST adalah model cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas penggunaan domestik serta barangan dan perkhidmatan import yang dibekalkan di dalam Malaysia. GST juga dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) kerana cukai ini dikenakan ke atas nilai ditambah bagi barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan. Di dalam perniagaan, GST tidak menjadi sebahagian daripada kos kerana GST yang dibayar ke atas pembelian akan dituntut semula di langkah seterusnya dalam rantaian bekalan. Di dalam model ini, pengguna akhir akan menjadi pihak yang sebenarnya membayar GST kepada Kerajaan.

Menurut mekanisma GST seperti yang dinyatakan di dalam Rang Undang-Undang GST 2009, terdapat tiga kategori kadar GST iaitu Kadar Standard (Standard Rated), Kadar Sifar (Zero Rated) dan Dikecualikan GST (Exempted). Menurut Rang Undang-Undang itu juga, Kadar Standard yang dicadangkan oleh Kerajaan adalah 4% ke atas harga barang atau perkhidmatan yang ditakrifkan sebagai “Pembekalan”. Walau bagaimanapun, pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan, dan lain-lain lagi, akan diletakkan di dalam kategori Kadar Sifar (0%). Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya, akan diletakkan di dalam kategori Dikecualikan GST.



Ilustrasi 1: GST atas nilai tambah


Ilustrasi 2: Bagaimana GST dilaksanakan pada kadar 4%


Ilustrasi 3: Bagaimana GST dilaksanakan pada kadar 0%

GST pada dasarnya diformulasikan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang tidak boleh diatasi di dalam sistem SST seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga, penyeludupan dan sebagainya. Di samping itu, GST juga dirumus untuk meningkatkan pematuhan cukai melalui kaedah tadbir-urus yang lebih mudah berikutan sistem pengurusannya adalah berasaskan kepada kaedah self policing

Sehingga tahun 2009, GST telah pun dilaksanakan di 146 buah negara, di mana Perancis menjadi negara yang pertama melaksanakannya pada tahun 1954. Di kalangan negara-negara ASEAN pula, Indonesia adalah negara yang terawal melaksanakan GST iaitu pada tahun 1984 dan diikuti oleh negara-negara yang lain kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar. 

Hakikatnya, cadangan mengenai pelaksanaan cukai nilai tambah yang bersamaan dengan GST di Malaysia telah mula diberitakan sejak Oktober 1988. Ianya pertama kali disebut di dalam Pembentangan Belanjawan 1989, oleh Y.B. Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tun Daim Zainuddin. Seterusnya, keperluan mewujudkan sistem cukai ini dinyatakan semula pada pembentangan Belanjawan 1993, 2005 dan 2010, masing-masing oleh Menteri Kewangan pada ketika itu, iaitu Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. 

Walaupun telah sekian lama dirancang oleh Kerajaan, GST masih belum dilaksanakan di Malaysia. Rang Undang-Undang GST yang telah dibentangkan di Parlimen pada tahun 2009, telah ditarik balik sebelum bacaan kali kedua, kerana kebimbangan Kerajaan mengenai penerimaan serta tahap pemahaman Rakyat mengenai mekanisma GST. Menteri Kewangan Kedua, Y.B. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataannya kepada media pada Julai 2012, menyebut bahawa, Kerajaan ingin memastikan Rakyat benar-benar memahami GST terlebih dahulu sebelum Kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya. 

Kepentingan GST kepada ekonomi negara

Fakta Cukai di Malaysia
Kita sering kali mendengar rungutan dan keluh kesah Rakyat serta komuniti perniagaan mengenai kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia yang tinggi berbanding dengan negara jiran, Singapura. Perbandingan tersebut dibuat bagi menunjukkan seolah-olah Kerajaan sedang menekan Rakyat dengan mengenakan cukai yang tinggi dan menjadikan Malaysia kurang kompetatif dalam mengekalkan bakat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur asing berbanding Singapura. Untuk rekod, Singapura telah melaksanakan GST sejak tahun 1994.

Sebenarnya, kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia boleh dirasionalisasikan secara berperingkat sekiranya Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan terhadap Kerajaan untuk melaksanakan GST, sama seperti yang dilakukan oleh negara jiran, Singapura. Ini kerana, GST berupaya menjana sumber hasil negara yang lebih kukuh dan stabil bagi menggantikan kebergantungan sumber hasil daripada kedua-dua cukai pendapatan individu dan syarikat.

GST pada hakikatnya merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik serta meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global di samping kurang terdedah kepada risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad.

Rakyat perlu memahami bahawa, GST sememangnya dirumus untuk mengurangkan bebanan cukai terhadap Rakyat pada masa sekarang yang disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam sistem cukai sedia ada. Objektif utama GST adalah untuk menyeimbangkan skop asas cukai kepada segenap golongan masyarakat mengikut paten penggunaan mereka. Secara prinsipnya, lebih banyak penggunaan, maka lebih banyak pembayaran. Sebaliknya, semakin efektif sesuatu pekerjaan, semakin banyak hasil yang dijana dan mereka patut menikmati cukai yang lebih rendah.

Bagi komuniti perniagaan, GST tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang dijual. Ini bermakna, sebarang caj GST yang terdapat di dalam inbois jualan (GST Ouput) atau belian (GST Input) bukanlah perlu ditanggung oleh para peniaga. Layanan perakaunan ini tidak sama seperti sistem SST di mana SST adalah kos kepada perniagaan. Justeru itu, dengan pemansuhan SST, kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat dijimatkan. Ini seterusnya akan memberi nilai kepada pasaran, jika perniagaan tersebut menyalurkan kembali penjimatannya kepada Rakyat.

Bagi menjamin kepentingan serta kebajikan segenap lapisan Rakyat, Kerajaan bakal menetapkan bahawa mana-mana entiti perniagaan dengan nilai ambang atau jualan terkumpul (Treshold) di bawah paras RM500,000 setahun tidak akan diwajibkan untuk berdaftar sebagai syarikat berdaftar GST (GST Registrant). Penetapan ini akan mengecualikan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana seperti kedai-kedai runcit diluar bandar daripada memungut GST daripada pelanggannya, namun mereka dibenarkan menyerap caj GST Input (sekiranya ada) ke dalam harga sebagai kos. Tindakan ini adalah bagi mengurangkan impak perubahan harga terhadap Rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah. Secara relatifnya, walaupun caj GST Input diserap sebagai kos, harga barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan tidak berdaftar GST akan lebih lebih rendah berbanding era SST kerana perbezaan kadar cukai daripada 10% kepada 4%.

Di dalam model GST Malaysia juga, terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi menggalakkan industri pelancongan negara. Ianya dinamakan sebagai Skim Bayar Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) yang berupa insentif pemulangan GST kepada pelancong yang berbelanja di Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa pulang bersama mereka (mengikut terma-terma yang ditetapkan). Skim TRS ini berpotensi untuk menarik minat pelancong asing yang mempunyai keupayaan berbelanja yang tinggi dan sekaligus melipat gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan apabila GST dilaksanakan kelak.

Impak GST terhadap ekonomi domestik sebenarnya sangat besar. Ianya bukan sahaja mampu memberikan nilai wang kepada Rakyat atau komuniti perniagaan, malahan GST juga mampu mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif di samping merangsang kemasukan pelabur dan pelancong asing ke Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kesan berganda (Multiply effects) yang positif kepada ekonomi negara dan Rakyat secara keseluruhannya. 

Sebagai contoh, banyak peluang perkerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah pelaburan yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan syarikat yang rendah. Seterusnya, Rakyat akan memperoleh manfaat dalam bentuk nilai wang serta peningkatan taraf hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penyediaan infrastruktur kemasyarakatan yang lengkap. Apa yang lebih penting adalah janji Kerajaan untuk berkongsi Kekayaan negara untuk kebajikan segenap lapisan Rakyat seperti pemberian bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan dan perumahan serta lain-lain lagi.

Tugas penting bersama untuk GST


Kerajaan telah menerima pelbagai reaksi dan pandangan umum sejak membuat pengumuman rasmi mengenai cadangan pelaksanaan GST di Malaysia pada Pembentangan Bejet 2005. Reaksi dan pandangan umum tersebut jelas mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak Kerajaan apabila Rang Undang-Undang GST ditarik balik sebelum bacaan kali kedua di Parlimen pada April 2012 dan masih tidak diteruskan sehingga kini.

Jika diteliti secara menyeluruh, hampir kebanyakkan reaksi dan pandangan umum tersebut adalah bersifat negatif atau menolak pelaksanaan GST disebabkan salah faham mereka mengenai GST atau campur tangan politik. Manakala, pihak yang menerima dan menyokong pelaksanaan GST adalah mereka yang kebanyakkannya terdiri daripada wakil-wakil akademik, permain-pemain industri atau ahli-ahli ekonomi yang mempunyai asas pengetahuan yang mencukupi untuk memahami mekanisma GST. 

Jika situasi ekonomi Malaysia tanpa pelaksanaan GST masih berterusan, Kerajaan dijangka akan menghadapi tempoh masa yang sukar dalam menguruskan ekonomi negara pada masa hadapan. Antara cabaran terbesar adalah untuk menangani isu perubahan persekitaran ekonomi global serta kebarangkalian penyusutan sumber-sumber domestik yang terhad seperti minyak dan gas. Kesan kepada kekangan sumber hasil pada masa hadapan akan mengganggu momentum pertumbuhan sebuah negara Malaysia yang makmur dan maju. Pihak yang akan menjadi mangsa keadaan adalah Rakyat sendiri.

Bagi menangani isu penolakkan terhadap GST, Kerajaan perlu melipat gandakan usaha untuk memberikan kefahaman yang secukupnya mengenai GST kepada Rakyat. Masalah penyampaian maklumat GST menjadi kelemahan utama di pihak Kerajaan kerana sehingga kini tiada sebarang hebahan yang efektif untuk menarik penerimaan Rakyat terhadap GST. Sebaliknya, Rakyat semakin bertambah keliru serta salah sangka mengenai GST.

GST tiada kumpulan sasar tertentu, sebaliknya GST akan melibatkan keseluruhan Rakyat. Kerajaan tiada pilihan selain daripada memperbetulkan persepsi Rakyat mengenai hakikat keperluan GST untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang terbilang. Persepsi-persepsi negatif mengenai ketelusan, akauntabiliti dan sikap amanah di dalam pengurusan perbendaharaan negara perlu ditangani secara efisyen oleh Kerajaan. 

Selain itu, pelaksanaan GST juga memerlukan kerjasama politik yang matang. Parti-parti politik di Malaysia perlu meminggirkan kepentingan politik masing-masing buat seketika, bagi membolehkan perkara yang betul mengenai masa hadapan ekonomi negara dapat dilakukan untuk kebaikan seluruh Rakyat. Kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan kepada ilmu pengetahuan menyeluruh mengenai GST, bukan hanya berdasarkan ilmu picisan yang dituntut dikedai-kedai kopi atau dipetik dari cogankata murahan di laman-laman sosial semata-mata. Jadilah pemimpin yang adil dan beramanah demi masa hadapan negara Malaysia yang tercinta. 

Marilah “Membangun dan Maju Bersama” untuk Malaysia tercinta.

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

14 comments:

  1. Ape maksud 'menuntut kembali gst' dlm ilustrasi 2????

    Maksudnye mcm nie ke???

    Pengilang kepada pemborong - rm10
    Pemborong kepada peruncit - rm 10
    Peruncit kepada pengguna - rm10.40???

    Ataw

    Pengilang kepada pemborong - rm 10.40
    Pemborong kepada peruncit - rm10.40+4%
    Peruncit kepada pengguna - (rm10.40+4%)+4%?????

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf...sy pening dgn kate2 y panjang...sy phm part zero,standard,exempted je...

      Delete
    2. En Sam sul,
      Maksud "menuntut kembali GST" adalah setiap peniaga berdaftar dgn Kastam boleh menuntut GST yang mereka bayar semasa membeli sesuatu barang atau perkhidmatan.

      Contoh, pemborong membeli sesuatu barang dari pengilang di Malaysia, Invois RM1000 + GST RM60. Maka pemborong boleh menuntut RM60 GST itu semula dari kerajaan. Sementara pengilang pula kena pulangkan GST RM60 yg dikutip dari pemborong, kepada kerajaan. begitulah seterusnya sehingga dijual kpd pengguna. Pengguna sahaja tak boleh tuntut.

      Delete
  2. Ok... saya nak memahami dgn lebih lebih jelas. Pengilang kena kos+6%, pemborong(kos+6%) - claim semula 6% dr Gomen, pembeli (harga jual termasuk 6%?) Mcm tu? Maaf saya baru nak memahami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. En Wan Saiful, ya betul tu. GST tidak dikenakan kepada peniaga. GST dikenakan kepada pengguna akhir...

      Delete
  3. Bagi GST0% = pengguna akhir x perlu bayar GST betul kan......
    Tapi kenapa pengilang, pemborong & peruncit menuntut kembali GST tersebut.....

    Sedangkan GST0%........ apa kelebihan pengguna kat sini.....

    ReplyDelete
  4. encik,sya nak tanya..syarikat saya tak berdaftar gst.jd saya nak tahu.macamana situasi ini.

    pemborong=berdaftar gst
    syarikat saya=tak berdaftar gst
    pembeli=berdaftar gst
    mcmna rantaian untuk situasi ini?

    saya nak tahu:
    adakah pemborong akan kena kan charge 6% terhadap saya?
    bagaimana pula dengan pembeli yang berdaftar gst?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye..pemborong akan mengenakan 6% kepada syarikat tuan, dan tuan tidak boleh charge 6% kepada pembeli..
      Bagi pembeli yang berdaftar gst..mereka akan lebih prefer kepada syarikat yang berdaftar...

      Delete
  5. tetapi jika syarikat tuan ingin berdaftar secara sukarela(volunteer) as a registed gst company,(ada syarat ye) syarikat tuan dibenarkan charge 6% kepada pembeli dan lagi satu syarikat tuan berhak menuntut pembayaran 6% yang mana telah dicharge dari pemborong seblm ini..

    ReplyDelete
  6. Adakah gaji dikenakan gst?

    ReplyDelete
  7. bagi peniaga yg boleh menuntut kembali GST tapi dh cas kenaikan sebanyak contohnya 0.65sen,naya pembeli lah..sedangkan dia boleh menuntut kembali duit tu.

    ReplyDelete
  8. sya nak tanya adakah stok lama yg kami jual kepada pembeli bermula 1 april ini di kenakan juga 6% ? mcmana saya nak uruskan tentang stok lama ini ya.. syarikat kami hanya kecil kecilan shj.jadi saya tdk mgikuti kursus gst.

    ReplyDelete
  9. saya ingin bertanya apa maksud exempted yang sebenar2nya??dalam istilah bahasa malaysia ia di istilahkan sebagai dikecualikan tetapi dalam pelaksanaan GST term ini dipakai dengan cara semua input tax perlu di absorb tetapi xpula dibenarkan utk claim under output tax???confius..

    ReplyDelete
  10. apakah kelebihan gst kepada industri, perdagangan, pertanian, pengeksportan dan usahawanan ??? boleh jelskan secara terperinci

    ReplyDelete