GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, November 28, 2009

GST pada kadar 4 peratus


ARKIB : 27/11/2009


KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan merancang untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada empat peratus, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

"Kita menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang ini, yang kini pada lima hingga 10 peratus," kata beliau kepada pemberita pada Bengkel Mengenai Budaya, Ideas dan Nilai anjuran Foundation For the Future, di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan GST penting untuk masa depan negara.

"Sumber perolehan perlu mampan. Jika kita dapat perolehan mampan kita boleh mendapat bajet yang baik," katanya.

Beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) tidak akan meningkat berikutan pelaksanaan GST itu.

Beberapa barangan terpilih terutama barang keperluan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung serta pengangkutan awam tidak akan tertakluk kepada GST.

Husni berkata, rang undang-undang mengenai GST akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama tahun ini manakala bacaan kedua pada Mac tahun depan.

GST akan dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua.

Kerajaan menjangka perolehan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun selepas tahun pertama pengenalannya.

Semasa ditanya sama ada Kementerian Kewangan akan mewujudkan pasukan petugas untuk menyiasat mengenai RM500 juta yang belum dijelaskan kepada 34 kontraktor bumiputera Kelas A oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), Ahmad Husni berkata: "Tidak ada pasukan petugas".

SPNB merupakan anak syarikat milik penuh kementerian.

"Kita telah memberikan wang kepada mereka (SPNB) di bawah pakej rangsangan. Tidak perlu lagi pasukan petugas. Ini bukan suatu yang amat kompleks yang memerlukan pasukan petugas.

"Kita yakin lembaga pengarah dan pengurusan akan menyelesaikan isu berkenaan," katanya dan menambah bahawa SPNB telah menyelesaikan sebahagian hutang tertunggak berkenaan dengan kontraktor. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRdr4d00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, November 26, 2009

Akta baru cukai perkhidmatan diperkenal


ARKIB : 25/11/2009

NEW YORK 24 Nov. -- Kabinet telah memutuskan untuk membentangkan akta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan pada akhir sidang Dewan Rakyat yang kini sedang berjalan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pembentangan akta untuk bacaan kali pertama itu akan membolehkan orang ramai memberikan reaksi dan jika perlu, kerajaan bersedia melakukan pengubahsuaian agar ia menepati kehendak rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan memastikan kadar GST jika dilaksanakan tidak membebankan golongan miskin dan berpendapatan sederhana serta tidak menyebabkan inflasi.

“Jika sistem cukai ini dilaksanakan, kita tidak akan lakukan secara mendadak,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini selepas mengadakan siri pertemuan dengan ahli perniagaan, pelabur dan pengurus dana Amerika Syarikat (AS).

Najib yang dalam rangka lawatan tiga hari ke AS berkata, Malaysia merupakan antara tiga negara di Asia Tenggara termasuk Myanmar dan Brunei yang belum mengguna pakai sistem cukai barangan dan perkhidmatan itu.

“Umumnya seluruh dunia telah mengguna pakai sistem GST,” jelasnya.

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dilaporkan bimbang dengan cadangan pelaksanaan GST yang disifatkan tidak sesuai untuk Malaysia dan patut ditunda bagi jangka masa yang tidak pasti.

Dalam satu kenyataan, FMM menyebut Hong Kong telah menilai dan menghentikan keputusannya untuk melaksanakan GST walaupun nisbah dagangannya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 404 peratus dan 98 peratus daripada perniagaannya ialah perusahaan kecil dan sederhana.

Kenyataan itu menjelaskan, ahli perniagaan Australia juga telah menggesa kerajaan mereka untuk mengurangkan GST daripada 10 peratus kepada lima peratus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. – utusan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1125&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm#ixzz2WRdQmKrW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, November 25, 2009

Rang undang-undang GST akan dibentang untuk bacaan pertama - Najib


ARKIB : 24/11/2009


NEW YORK 24 Nov — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rang undang-undang berkaitan cadangan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada akhir persidangan Dewan Rakyat sekarang. Perdana Menteri berkata langkah itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet lepas.

"Ia akan membolehkan orang ramai memberi ulasan, melibatkan mereka, dan jika kami dapati ia perlu diperhalusi, kami akan lakukannya,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke New York pada Isnin. Najib yang juga Menteri Kewangan, bertemu media selepas menghadiri beberapa mesyuarat dan pertemuan dengan para pelabur Amerika serta pengurus dana selain tokoh korporat terkemuka.

Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan GST di Malaysia, ia akan dilakukan secara “berhati-hati”.

“Ia tidak akan diperkenalkan secara tergesa-gesa,” kata Najib yang menambah, jika GST menjadi kenyataan, kadarnya tidak akan membebankan golongan miskin dan kelas pertengahan Malaysia. "Dan ia tidak akan menyebabkan inflasi,” katanya. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1124&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz2WRcio2is
© Utusan Melayu (M) Bhd