GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, August 8, 2012

PMBOA gesa kerajaan naik tambang bas


Publication: BH
Date of publication: Aug 7, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Syed Azwan Syed Ali


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menaikkan tambang bas ekspres dan henti-henti sebanyak 30 peratus di Semenanjung dan 40 peratus di Sabah dan Sarawak.

Ia berikutan kenaikan kos operasi pengusaha bas sejak empat tahun lalu.

Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) turut mencadangkan kerajaan merangka formula kenaikan tambang secara automatik setiap dua tahun sekali untuk menampung inflasi dan kenaikan kos.

Ia adalah antara 15 cadangan dikemukakan PMBOA kepada kerajaan melalui memorandumnya untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada 28 September depan.

Memorandum itu dihantar ke Kementerian Kewangan pada 30 Julai lalu.

Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata pengusaha bas berterima kasih kepada kerajaan kerana menubuhkan dana RM400 juta akhir tahun lalu untuk membantu syarikat bas henti-henti bermasalah dari segi kewangan untuk meneruskan operasi.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pengusaha memenuhi syarat ketat ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), selain pengagihan dananya mengambil masa lama, manakala syarikat bas ekspres tidak mendapat sebarang bantuan kewangan.

Kos beban pengusaha

Kenaikan kos operasi, termasuk penyelenggaraan, tol, kos tayar, casis dan badan bas serta gaji pemandu menyebabkan pengusaha tidak dapat lagi menanggung kerugian.

Kita harap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu, selain cadangan lain seperti melanjutkan usia perkhidmatan bas, meramaikan bilangan pemandu bas, katanya kepada BH.

Kali terakhir kerajaan meluluskan kenaikan tambang bas pada Jun 2009.

Mohamad Ashfar juga meminta kerajaan memanjangkan jangka hayat perkhidmatan bas henti-henti dan ekspres dari masing-masing 15 dan 10 tahun kepada 20 dan 15 tahun.

INFO

13 Cadangan PMBOA

- Dasar nasional pengangkutan awam darat digubal secepat mungkin.
- Pengecualian kepada syarikat bas daripada membayar 1 peratus gaji kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia.
- Cukai jualan/duti import untuk bas dihapuskan.
- Galak pengusaha beli bas baru.
- Terminal/hentian bas dikendalikan kerajaan.
- Kadar tol dikurangkan/dihapuskan.
- Kadar insurans dikurangkan/dikawal.
- Kuota subsidi diesel ditambah/harga diesel dikurangkan.
- SME Bank batalkan syarat-syarat Tabung Bantuan Bas.
- Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dicadang dikelaskan semula.
- Elaun Cukai Pelaburan Semula diberikan kepada pengusaha.
- Beku Pengeluaran Permit Bas kepada pengusaha baru.
- Tambah bilangan pemandu.

Monday, August 6, 2012

Sedikit sumbangan, besar maknanya


ARKIB : 06/08/2012

PERNAHKAH anda terfikir kenapa kita perlu membayar cukai? Bukankah ia suatu yang membebankan kerana kita terpaksa mengeluarkan sebahagian kecil peruntukan untuk dibayar kepada kerajaan selepas memperoleh pendapatan hasil penat lelah bekerja atau keuntungan dari perniagaan yang dijalankan?

Jika semua daripada kita berfikiran demikian dan enggan membayar cukai, maka sukarlah mana-mana negara yang anda diami untuk membangun. Ini kerana tanpa cukai, tiada negara yang boleh dibangunkan dengan sempurna kerana sumber kewangan sesebuah negara adalah bergantung kepada cukai yang diperolehinya.

Kekayaan sesebuah negara biasanya bergantung kepada sumber asli seperti tanah, hutan, bahan galian dan sebagainya seperti beberapa negara di Asia Barat yang mempunyai sumber minyak yang begitu banyak.

Jika pendapatan yang diperoleh hasil usaha sumber-sumber alam itu tidak begitu banyak, maka kerajaan sesebuah negara perlu memungut cukai dari rakyat dan syarikat bagi menampung sumber kewangannya.

Cukai adalah salah satu di antara mekanisme untuk memungut hasil kepada negara yang akan digunakan kembali untuk pembangunan. Seperti diketahui, terdapat pelbagai jenis cukai seperti cukai korporat, pendapatan, jualan, import dan eksport serta sebagainya.

Kebanyakan daripada kita sudah begitu maklum mengenai cukai pendapatan tetapi berapa ramai daripada kita memahami cukai yang tidak nampak seperti cukai jualan dan perkhidmatan?

Baiklah, mari kita lihat bagaimana cukai jualan atau perkhidmatan dikenakan ke atas kita apabila membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan di premis-premis tertentu.

Apabila anda perlu ke mana-mana restoran atau kafe, kita akan mendapat resit bagi makanan atau minuman yang dibeli. Katakan secawan kopi di kafe terkenal itu adalah RM10 dan di resit akan tertera harga kopi RM10, caj perkhidmatan RM1 dan cukai perkhidmatan 6 peratus (60 sen).

Daripada jumlah harga barangan yang dibeli itu, RM1 atau 10 peratus adalah caj perkhidmatan yang 100 peratus dikutip oleh restoran itu sama ada untuk keuntungannya atau dibahagi bersama kakitangan.

Maka, cukai yang dibayar kepada kerajaan untuk kopi berharga RM10 itu ialah 60 sen. Maka jumlah cukai itulah yang apabila dikumpulkan - kemudian digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan dan peruntukan program pembangunan.

Cukai untuk pembangunan

Melalui wang cukai, maka pelbagai projek pembangunan dapat dijalankan seperti pembinaan jalan raya, sekolah, hospital, lapangan terbang, kemudahan air dan elektrik, pemberian subsidi, pembinaan rumah kos rendah dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan, sejak 55 negara mencapai kemerdekaan 55 tahun dahulu, pelbagai projek pembangunan untuk faedah rakyat dijalankan hasil daripada kutipan wang cukai.

Melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, lebih banyak program dan projek pembangunan era baru dilaksanakan bagi membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi.

Sebagai contoh, selepas hari ke seratus pentadbirannya, Perdana Menteri telah mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional atau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan dalam pembangunan di negara ini.

NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan menambah baik pengangkutan awam.

Sudah tentu agenda-agenda ini tidak dapat dicapai dengan peruntukan kewangan yang cukup melalui kutipan cukai, terutamanya agenda meningkat prasarana dalam dan luar bandar, meningkat pendapatan rakyat, meningkat pendidikan dan sebagainya.

Sebagai contoh, ketika ini, terdapat 35 peratus rakyat di negara ini yang tidak di luar bandar dan pedalaman masih mempunyai akses minima kepada jalan berturap yang baik, bekalan elektrik dan air.

Tanpa peruntukan mencukupi dari kutipan cukai, mustahil golongan itu akan dapat mencapai akses sama rata seperti yang dinikmati oleh rakan-rakan mereka di bandar kerana tiada pihak swasta yang berminat membina prasarana di pedalaman kerana ia kurang menguntungkan.

Selain NKRA, kerajaan juga mengumumkan inisiatif yang mengkhusus kepada pembangunan ekonomi dikenali sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang mempunyai 12 teras utama kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dua belas NKEA yang dimaksudkan ialah minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; perkhidmatan kewangan; pelancongan; perkhidmatan perniagaan; elektronik dan elektrik; pemborongan dan peruncitan; pendidikan; penjagaan kesihatan; kandungan dan infrastruktur komunikasi; pertanian; dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan 21 projek terbaru bernilai RM20.46 bilion di bawah tujuh NKEA dengan projek-projek itu dijangka meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.59 bilion dan mewujudkan 39,918 pekerjaan.

Jika hendak membicarakan mengenai projek-projek pembangunan di negara ini, sudah tentu ruangan ini tidak mencukupi. Cukuplah dapat dikatakan yang sumbangan kecil kita (termasuk 60 sen ketika minum di kafe tadi) merupakan sumbangan yang sangat penting dan berharga kepada negara.

Sehubungan itu, rancangan pengenalan skim cukai baru seperti CukaiBarangan dan Perkhidmatan (GST) yang bertujuan memberi keadilan kepada rakyat dan juga meningkatkan pendapatan negara - tidak seharusnya dianggap suatu yang negatif kerana kita semua mempunyai tanggungjawab untuk negara.


© Utusan Melayu (M) Bhd