GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 17, 2009

Sediakan draf sebelum laksana GST


ARKIB : 16/09/2004

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Firma perakaunan KPMG menyarankan agar kerajaan menyediakan draf pindaan kepada Akta Percukaian sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum tarikh pelaksanaan sesuatu cukai baru bagi membolehkan sektor swasta memberi maklum balas dan mempersiapkan diri.

Pengarah Amalan Pelaburan dan Cukai Tidak Langsung KPMG, R.S. Raja Kumaran berkata, Singapura dan Afrika Selatan misalnya, mengemukakan draf seumpamanya 12 bulan lebih awal.

Langkah sedemikian, kata beliau, telah membolehkan sektor perniagaan mengkaji cadangan pindaan dan kesannya kepada perniagaan mereka.

Menurutnya, masa yang dicadang untuk pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) iaitu Januari 2007 juga memadai bagi kerajaan dan sektor swasta melakukan persediaan.

``Sektor perniagaan memerlukan kestabilan dan ketentuan daripada kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

``Dengan mengadakan interaksi rapat dengan sektor swasta, ia membolehkan mereka menyusun arah tuju dan gerak tindak yang sewajarnya, selari dengan dasar kerajaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Taklimat Tahunan Cukai Eksekutif KPMG di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2005 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan Panel Panel Kajian Semula Sistem Percukaian dengan dianggotai oleh wakil dari sektor awam dan swasta.

Panel ini akan mengkaji sistem cukai pendapatan serta peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan pengerusinya iaitu Datuk Kamariah Hussein yang kini merupakan Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan.

Bajet 2005 juga mencadangkan pengenalan GST yang berasaskan konsep nilai tambah pada 1 Januari 2007 berikutan pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Perdana Menteri juga menegaskan kerajaan akan memastikan golongan rakyat yang berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan pelaksanaan cukai baru itu.

Raja Kumaran berkata, kebimbangan mengenai GST mewujudkan inflasi tidak semestinya berlaku kerana pengalaman Australia menunjukkan terdapat juga barangan yang turun harga.

``Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme pemantauan harga barangan dan sentiasa mengumumkan keputusannya kepada rakyat serta mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,'' katanya.

Beliau turut menyentuh kepada penanda aras keuntungan bagi sesebuah syarikat yang dimaksudkan sebagai `kecil' untuk melayakkan mereka mendapat pengecualian.

``Kerajaan boleh membuat ketetapan perolehan syarikat kecil berdasarkan penetapan negara-negara lain seperti Australia A$100,000; Jepun AS$200,000 dan Singapura S$1 juta,'' katanya lagi.

Paling utama, ujarnya, para peniaga perlu membuat kajian mengenai impak GST kepada industri masing-masing dan mengemukakannya kepada kerajaan untuk maklum balas.

Sementara itu Pengarah KPMG Tax Services Sdn. Bhd., Shalet Marian berkata, sistem seumpama GST telah diguna pakai oleh hampir keseluruhan negara di rantau ini, termasuklah Thailand dan Vietnam.

``Hanya Hong Kong, Brunei dan Malaysia yang tidak ada. Maka itu, ada keperluan untuk kita mengadakan GST dalam usaha tidak kehilangan daya saing di peringkat global,'' katanya.

Rakan Kongsi Kanan Percukaian KPMG, Khoo Chin Guan berkata, penurunan cukai korporat yang bakal dibuat hasil daripada pelaksanaan GST perlu diberitahu segera kepada sektor korporat bagi mewujudkan kepastian bagi perniagaan mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0916&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm#ixzz2WdRdTx00
© Utusan Melayu (M) Bhd