GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, April 29, 2012

Sasaran tiga tahun ETP dilepasi


Publication: BH
Date of publication: Mar 28, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Ahmad Farizal Hajat


UNIT Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (PEMANDU) berkata, momentum pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara yang kini memasuki tahun ketiga semakin meningkat dengan kebanyakan sasaran yang ditetapkan sepanjang tahun lalu telah berjaya dilepasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala berkata, prestasi itu dicapai di sebalik keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, khususnya di Eropah.

Justeru, negara berada dalam landasan tepat untuk mencapai dan melepasi kebanyakan sasaran yang ditetapkan bagi seluruh program ini kerana kita mempunyai strategi yang amat konkrit dan dapat mengharungi apa saja cabaran yang mampu meningkatkan keyakinan sektor perniagaan dan pelabur terhadap ekonomi kita.

Selagi kita fokus dan kekal yakin dengan diri kita, maka kita akan mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan, katanya ketika menyampaikan syarahan mengenai ETP bertajuk `Kisah Transformasi' di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, laporan tahunan ETP dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menyediakan semua butiran pencapaiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan depan.

ETP adalah usaha menyeluruh untuk melengkapkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ia dipacu 12 sektor ekonomi utama nasional (NKEA) iaitu minyak dan gas; tenaga; sawit, perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncit; pelancongan; perkhidmatan perniagaan; elektrikal dan elektronik; kesihatan; kandungan dan infrastruktur komunikasi; pendidikan; pertanian; dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Melalui NKEA ini, 131 EPP telah disasarkan untuk menerajui pembangunan ekonomi negara, sekali gus mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan perkapita sebanyak AS$15,000 setahun, iaitu tahap minimum bagi mencapai status negara maju berdasarkan definisi Bank Dunia, dan menjana 3.3 juta peluang pekerjaan, menjelang 2020.

Pada 2009, pendapatan perkapita rakyat Malaysia ialah AS$6,700 (RM20,500) setahun, sebelum meningkat lebih daripada AS$9,400 (RM28,700) setahun, setakat tahun lalu.

Idris turut menegaskan bahawa pelaksanaan ETP dan GTP makin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila 14 buah negara asing telah datang ke Malaysia bagi mempelajari program yang mampu memberikan hasil besar itu pada waktu yang singkat.

Sementara itu, Idris berharap kerajaan dapat membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menjadikan negara lebih berdaya saing.

Beliau menegaskan, ini kerana ia membolehkan kerajaan mengurangkan cukai pendapatan individu dan cukai korporat. sekali gus mewujudkan persekitaran perniagaan lebih menarik.

Salah satu cara meningkatkan pendapatan negara juga adalah menerusi pelaksanaan percukaian itu. Pelaksanaannya kelak, jika pada kadar yang betul seharusnya membolehkan kerajaan mengurangkan cukai pendapatan individu dan korporat, katanya sambil meminta semua parti politik di negara ini melupakan sementara agenda politik masing-masing dan bekerjasama menjayakan pelaksanaan GST itu.

Beliau berkata, jika kerajaan mengenakan kadar GST pada empat peratus, negara boleh meraih pendapatan tambahan RM6.3 bilion setahun; sebanyak RM9.7 bilion jika pada kadar lima peratus dan RM25.7 bilion pada kadar tujuh peratus.

Justeru, Idris berkata, pelaksanaan GST atau turut dikenali sebagai cukai bernilai tambah (VAT) juga adalah alat berkesan dalam mengurang atau menangani defisit negara.