GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, February 11, 2010

GST tidak sebabkan harga barang naik


ARKIB : 11/02/2010


KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar jangkaan sebanyak empat peratus, tidak akan menyebabkan harga barangan naik berdasarkan imbangan (offset) penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, secara logiknya dengan pelaksanaan GST pengguna hanya perlu membayar cukai sebanyak empat peratus berbanding lima peratus bagi cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus dan jualan sebanyak 10 peratus.

‘‘Pelaksanaan GST adalah bersifat progresif memandangkan jangkaan peratusan yang akan dikenakan adalah pada kadar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan sekarang,’’ katanya pada Forum GST anjuran Affin Bank Bhd. di sini, hari ini.

Pelaksanaan GST mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat selain meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan berlakunya ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

GST bertujuan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan sejak 1972, kini diterima pakai di 143 buah negara seluruh dunia.

GST tidak membebankan rakyat kerana pengecualian diberikan ke atas barangan keperluan seperti produk-produk pertanian serta makanan asas.

GST juga berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.

Katanya, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 adalah dikecualikan daripada membayar GST.

Ditanya mengenai pendaftaran syarikat di dalam sistem kerajaan, Kamariah berkata, buat masa ini belum ada sebarang pendaftaran yang diterima kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0211&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WMfHWzb5
© Utusan Melayu (M) Bhd