GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 29, 2009

Petrol tanpa subsidi 2010


ARKIB : 28/10/2009


KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bermula tahun depan, rakyat dan pelancong asing perlu membayar harga petrol pada harga sebenar tanpa subsidi kecuali kumpulan sasar berpendapatan rendah.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (gambar) berkata, kajian mekanisme pelaksanaannya yang memasuki peringkat akhir akan diumumkan di antara suku pertama dan kedua tahun depan.

Menurutnya, kerajaan perlu melakukannya memandangkan sistem subsidi sedia ada kurang adil, tidak telus dan gagal memanfaatkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

"Kajian sedang dibuat dan akan diumumkan kelak, sistem baru ini akan lebih menguntungkan rakyat kerana sistem lama menyebabkan objektif utama subsidi untuk membantu rakyat tersasar jauh hingga menyebabkan produktiviti ekonomi kita juga terjejas.

"Sistem subsidi sepatutnya hanya untuk kumpulan sasar iaitu rakyat berpendapatan rendah tetapi dalam sistem lama semua orang dapat termasuk rakyat Singapura, Thailand, pelancong dan golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2009 anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kesatuan Pegawai-Pegawai Hasil Dalam Negeri (IROU) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) LHDN, Che Omar A. Rahaman dan Presiden IROU, Abu Samah Abu Bakar.

Ahmad Husni berkata, melalui pelaksanaan mekanisme baru ini, ia diyakini mampu memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat yang benar-benar layak mendapatkannya.

"Kerajaan berpeluang menjimatkan perbelanjaan (melalui pemberian subsidi), lebihan itu boleh kita gunakan untuk aktiviti pembangunan lain yang lebih produktif.

"Petrol akan dijual pada harga pasaran tetapi kumpulan sasar mendapat subsidi, maknanya kumpulan lain membeli petrol pada harga semasa," katanya yang enggan mendedahkan mekanisme yang akan diperkenalkan kelak.

Dalam pada itu, mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sama ada akan diumumkan atau sebaliknya oleh kerajaan, Ahmad Husni berkata, kajian terperinci daripada semua aspek sedang dijalankan.

Katanya, kajian peringkat akhir itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara dan juga Kabinet tetapi kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan melaksanakannya atau tidak.

"Ini kerana kerajaan mahu apabila dilaksanakan, ia akan memanfaatkan rakyat bukan sebaliknya, sebab itulah kita mahu kajian terperinci daripada pelbagai aspek.

"Jika dilaksanakan juga kerajaan memberi jaminan ia tidak membebankan rakyat, antara mekanisme cadangan ialah pengecualian cukai barangan penting dan rebat bagi yang berpendapatan rendah," katanya.

Jelas beliau, GST bukan sistem cukai baru tetapi ia lebih kepada nilai tambah kepada sistem cukai sedia ada yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang yang dikenakan pada kadar di antara lima dan 10 peratus.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1028&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm#ixzz2WRaRRuyI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, October 27, 2009

Apakah makna Bajet 2010 kepada anda?


ARKIB : 26/10/2009


JUTAAN ringgit yang menjadi persoalan telah terjawab - kerajaan tidak membuat sebarang pengumuman mengenai pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Bajet 2010.

Sebelum kita boleh menarik sedikit kelegaan, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu menyatakan kerajaan sedang dalam peringkat akhir menyiapkan kajian mengenai pelaksanaan dan implikasi GST kepada rakyat.

Bagaimanapun, Najib pernah menyuarakan sekiranya kerajaan melaksanakan GST, kadar cukai yang bakal dikenakan akan lebih rendah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan semasa, yang bakal diambil alih GST dan pengecualian kepada kumpulan berpendapatan rendah. Ini bertujuan untuk memastikan cukai baru tidak akan membebankan rakyat.

Meneruskan agenda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar, kerajaan telah mencadangkan pelbagai pendekatan bagi meningkatkan keselesaan rakyat.

Pendekatan yang diambil termasuk pengurangan kadar maksimum cukai pendapatan individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus pada 2010. Langkah itu memberi kelebihan kepada mereka yang memperoleh pendapatan melebihi RM100,000. Adalah menjadi harapan agar kerajaan dapat mengurangkan cukai yang sama bagi individu yang memperoleh pendapatan yang kurang daripada jumlah tersebut.

Bagaimanapun Bajet 2010 memberi kelegaan apabila pelepasan cukai peribadi dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM9,000 berkuat kuasa 2010. Sekali lagi kumpulan berpendapatan rendah bebas daripada pembayaran cukai ini.

Peningkatan dalam pelepasan cukai peribadi sebanyak RM6,000 yang disumbangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan premium insurans nyawa kepada RM7,000.

Pertambahan pelepasan sebanyak RM1,000 yang diberi dalam skim pembayaran premium anuiti kepada syarikat-syarikat insurans, sama ada pembayaran bermula 1 Januari 2010 atau pembayaran tambahan premium bagi skim anuiti sedia ada mulai 1 Januari 2010.

Pelepasan cukai bagi langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun.

Usaha meningkatkan kemahiran modal insan masih menjadi agenda utama kerajaan pada Bajet 2010.

Strategi kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pelbagai inisiatif yang diumumkan bakal memberi faedah kepada rakyat dari generasi muda hingga yang matang. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah:

*Peruntukan sebanyak RM48 juta untuk mengubah kemudahan dan kurikulum pra-sekolah.
*RM32 juta untuk meningkatkan kadar literasi dan numerasi bagi murid-murid Tahun 1.
*RM20 juta untuk meningkatkan prestasi sekolah tinggi dan memperluaskan kualiti pendidikan dan geran autonomi kepada pengurusan sekolah bagi melahirkan para pelajar cemerlang.
*Anugerah monetari dan bukan monetari bagi pengetua, guru besar dan kumpulan pengurusan sekolah yang memenuhi sasaran prestasi.

Sunday, October 25, 2009

Kajian GST di peringkat akhir


ARKIB : 24/10/2009

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kini di peringkat akhir kajian terutamanya dalam menilai kesan sosial terhadap rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kajian itu bertujuan memastikan rakyat tidak dibebankan dengan cukai tersebut, jika didapati GST perlu dilaksanakan bagi mencapai kestabilan kewangan kerajaan.

“Sekiranya kerajaan melaksanakan GST, ia akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada serta pengecualian tertentu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kadar GST yang dikenakan dijangka lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada,” katanya.

Menurut Najib, kerajaan juga mencadangkan sistem taksiran cukai ke atas pendapatan aktiviti petroleum huluan ditukar daripada sistem taksiran tahun sebelum kepada sistem taksiran tahun semasa.

“Sistem taksiran formal turut ditukar kepada sistem taksiran sendiri yang terbukti dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kutipan cukai,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk meringankan beban cukai syarikat petroleum huluan, kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh pada 2009 dibenarkan dibayar secara ansuran selama lima tahun.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1024&pub=bajet2010&sec=Berita&pg=bb_35.htm#ixzz2WRRvAHcF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Langkah kerajaan pulihkan ekonomi


ARKIB : 24/10/2009


KUALA LUMPUR 23 Okt. – Usaha mengukuhkan sektor pengusaha kecil dan sederhana (SME) menerusi Bajet 2010 memperlihatkan langkah berterusan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara bertambah baik.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, langkah itu amat penting kerana SME merupakan tulang belakang dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan negara.

‘‘Usaha kerajaan mengukuhkan sektor SME menunjukkan komitmen kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara,’’ ujar kenyataan itu.

Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini antara lain memperuntukkan RM350 juta kepada SME Corporation Malaysia.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta adalah untuk skim pinjaman mudah SME dan RM100 juta untuk skim peningkatan dan keupayaan manakala bakinya untuk program penjenamaan dan promosi.

FMM juga turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

‘‘Walaupun FMM gembira dengan pengurangan dalam cukai pendapatan individu dan koperasi, namun persekutuan ini sedikit kecewa apabila ia tidak diperluaskan,’’ menurut kenyataan itu lagi.

FMM juga agak terkilan kerana bajet tersebut tidak menyatakan insentif secara spesifik kepada sektor swasta sebagai usaha menggalakkan perkembangan pelaburan sektor tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1024&pub=bajet2010&sec=Berita&pg=bb_20.htm#ixzz2WRRVFd4X
© Utusan Melayu (M) Bhd