GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, July 9, 2010

Bajet 2011: Rundingan 10 bidang fokus akhir bulan


ARKIB : 08/07/2010


KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan dijangka menyelesaikan perundingan 10 bidang fokus kumpulan sasaran melalui Majlis Konsultasi Bajet 2011 pada akhir bulan ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Ahmad Hanadzlah berkata, .tiga bidang kumpulan sasaran yang sudah selesai dirunding semalam adalah berkaitan dengan pembangunan pemecutan sektor perkhidmatan, inovasi untuk ekonomi berpendapatan tinggi dan penjanaan pelaburan swasta.

Katanya, tujuh lagi bidang adalah sumber manusia untuk ekonomi baru, perkembangan kualiti perkhidmatan awam dan swasta, pertumbuhan mampan untuk teknologi hijau dan menjana pendapatan untuk golongan miskin.

Selain itu, bidang yang diberi tumpuan ialah mengenai isu-isu sosial melalui perbezaan gender, pembangunan inklusif dan pengukuhan pengusaha kecil, sederhana dan mikro.

"Setakat ini, tiga bidang kumpulan sasar sudah dibincangkan secara rambang dan kami akan mengadakan perbincangan lebih teliti mengenainya tidak lama lagi,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Cukai Kebangsaan di sini hari ini.

Kerajaan dijangka membincangkan fokus sasaran lain pada September depan.

Ahmad Husni menambah, perbincangan di bawah bajet 2011 memberi fokus kepada perluasan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menurut beliau, keputusannya bergantung kepada Kabinet.

Katanya, pelaksanaan sistem baru itu bagaimanapun mendapat maklum balas yang baik di kalangan rakyat, namun ia ditangguhkan buat masa ini.

"Kerajaan perlu memikirkan kebajikan rakyat dan terdapat beberapa item yang dikecualikan cukai melalui pelaksanaan GST ini. Dan pelaksanaan keseluruhan sistem baru itu memerlukan persetujuan dan pemahaman daripada 27 hingga 30 juta rakyat di negara ini,'' ujarnya.

Ditanya mengenai defisit bajet pada tahun ini, Ahmad Husni menambah, ia dijangka kurang daripada sasaran 5.6 peratus di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Namun, katanya, defisit bajet pada tahun depan dijangka kekal negatif, namun berlaku penyusutan berikutan pemulihan ekonomi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak yang merasmikan penutupan Majlis Konsutasi Bajet 2011 di Putrajaya berkata, sebanyak 64 memorandum mengenai Bajet 2011 diterima untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh kerajaan.

Jelasnya, sebanyak 10 bidang dibincangkan dalam Majlis Konsultasi Bajet 2011 yang dihadiri lebih 400 wakil agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0708&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WRoKnlWI
© Utusan Melayu (M) Bhd