Publication: BH
Date of publication: Jul 8, 2013
Section heading: 1Klassifieds
Page number: 023
Sekiranya pada setiap bulan anda mendapati bahawa anda telah berbelanja melebihi daripada yang sepatutnya, atau anda tidak dapat menyimpan sepertimana yang diharapkan, mungkin ini adalah masa untuk memantau perbelanjaan anda. Mengawal perbelanjaan merupakan asas untuk mencapai kejayaan kewangan. Jika anda tahu dengan jelas bagaimana untuk membelanjakan wang anda, maka anda mungkin dapat mencapai matlamat jangka pendek anda iaitu membayar segala perbelanjaan asas.
Seterusnya, anda berkemungkinan besar tidak dapat mencapai matlamat jangka panjang anda kerana tidak menyimpan kewangan yang cukup. Apa yang lebih serius, sekiranya anda menghadapi sebarang krisis atau kecemasan seperti penyakit, kemalangan atau kehilangan pekerjaan, anda akan menghadapi masalah kewangan yang sangat serius. Begitu juga jika anda tahu tentang perbelanjaan wang anda, maka anda boleh merancang kewangan dengan lebih ketat jika perlu. Anda juga dapat merancang dengan teliti untuk mencapai gaya hidup yang anda inginkan dan memperuntukkan kewangan anda seperti perancangan anda sama ada untuk pelaburan, pembelian saham, persaraan atau pendidikan anak di universiti.
Pengurusan kewangan amat penting pada masa ini kerana kesan inflasi akan menyusutkan nilai aset anda. Begitu juga hasrat kerajaan untuk mengurangkan subsidi yang menyebabkan harga barangan akan naik dan menunjukkan harga sebenar di pasaran. Kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa akan datang. Justeru, perancangan perbelanjaan menjadi lebih kritikal bagi kejayaan kewangan kita.
Apabila anda mengetahui dengan jelas tentang berapa jumlah dan tujuan perbelanjaan anda, maka anda boleh menilai perbelanjaan anda secara kritikal. Matlamat anda adalah membuat keputusan yang rasional dan bijak tentang bagaimana duit anda dibelanja.
Dengan matlamat yang jelas ini, anda boleh menyediakan belanjawan yang lebih realistik dengan mengurangkan perbelanjaan bagi perkara-perkara yang dianggap tidak penting. Anda juga boleh menganalisis perbelanjaan anda dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sebagai contoh, sekiranya anda mendapati anda berbelanja terlalu tinggi untuk hiburan, mungkin anda boleh mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan hiburan itu. Pada masa jangka panjang, kawalan perbelanjaan akan menanam disiplin dalam diri anda dalam berbelanja dan menabung mengikut belanjawan anda.
Dalam penyediaan belanjawan, anda akan menentukan keutamaan dalam merancang peruntukan kewangan anda. Peruntukan ini pula akan ditentukan oleh matlamat jangka pendek dan jangka panjang anda. Oleh kerana duit anda adalah terhad, maka anda terpaksa menentukan keutamaan anda dan ini akan mempengaruhi perbelanjaan anda.
Sebagai contoh, sekiranya anda ingin berjimat sebanyak RM30,000 untuk membayar pendahuluan rumah pertama yang akan dibeli dalam tempoh tiga tahun akan datang, anda terpaksa menyimpan sekurang-kurangnya RM830 sebulan. Jika pendapatan anda adalah RM3,500, maka untuk mendapatkan pendahuluan rumah sahaja, anda terpaksa menyimpan RM830; bagaimana pula dengan matlamat lain seperti ingin berumah tangga pada masa hadapan, ingin memulakan keluarga dan ingin berjimat untuk persaraan dan sebagainya.
Untuk mencapai matlamat-matlamat ini, ia akan memberi kesan langsung kepada jumlah yang boleh anda belanja pada bulan tersebut. Persoalannya, adakah anda akan berbelanja mengikut belanjawan atau berbelanja lebih sehingga menjejaskan matlamat jangka panjang anda.
Dalam menyimpan rekod, anda harus mengkategorikan perbelanjaan anda. Satu cara mengkategorikan adalah kategori perbelanjaan tetap dan perbelanjaan boleh ubah. Seterusnya perbelanjaan boleh dikategorikan pula kepada mesti dan tidak mesti.
Sebagai contoh:
* Perbelanjaan tetap dan mesti - sewa rumah, ansuran kereta, wang yang dihantar kepada ibu bapa
* Tetap dan tidak mesti - yuran kelab golf
* Boleh ubah dan mesti - makan minum, bil utiliti, petrol kereta
* Boleh ubah dan tidak mesti - makan di tempat mahal dengan kawan, hiburan
Seterusnya anda harus memulakan satu diari harian. Setiap kali anda berbelanja, anda harus merekodkan:
* Jumlah yang dibayar
* Barangan yang dibeli
* Tarikh pembelian
Terdapat pelbagai cara untuk merekodkan data termasuk menggunakan buku nota, telefon bimbit dan perisian komputer seperti excel. Yang penting sekali, anda mesti secara konsisten memasuki data selepas perbelanjaan anda. Seberapa yang boleh pada setiap hari, anda harus mengkaji perbelanjaan hari tersebut dan memastikan setiap perbelanjaan anda telah direkod.
Seterusnya yang penting juga, pada hujung bulan anda harus menganalisis data tersebut. Adakah anda berbelanja mengikut belanjawan yang telah anda tetapkan? Di manakah anda telah berbelanja lebih? Apakah anda perlu lakukan untuk mengawal perbelanjaan tersebut pada masa akan datang? Dengan membuat penyesuaian dalam perbelanjaan anda, anda dapat mendisiplinkan diri untuk mengikut belanjawan dan mencapai matlamat kewangan anda.
Sudah tentu mengawasi perbelanjaan bukanlah mudah dan merupakan sesuatu yang dianggap leceh dan menyusahkan. Akan tetapi manfaat daripada usaha ini jauh mengatasi sebarang kesusahan yang anda hadapi dalam mengawasi perbelanjaan anda.
- Ringgit, November 2010