2013/07/05 - 05:18:50 AM Rejal Arbee
Kerajaan sejak kebelakangan ini sudah menyatakan hasrat melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ganti kepada cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Bagaimanapun, walaupun sudah bertahun menyatakan hasrat itu, ia masih dalam kajian hanya kerana ada suara-suara yang menentang dengan membuat tohmahan kononnya GST akan membebankan rakyat.
"Kerajaan sudah menjelaskan bahawa barang keperluan asas seperti beras, gula dan sayuran akan dikecualikan daripada cukai itu"
Persoalannya, adakah benar apabila GST dikenakan sebagai ganti kepada SST (cukai jualan sebanyak 6 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak 10 peratus) orang ramai, khususnya golongan miskin akan terbeban?
Inilah gambaran berterusan dimainkan parti pembangkang seperti DAP yang memulakan kempennya untuk mematikan hasrat kerajaan itu apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tidak berapa lama dulu mengeluarkan kenyataan kononnya rakyat berpendapatan rendah dan miskin akan menanggung beban.
Malah, dia mendakwa kononnya rakyat terpaksa menanggung beban sehingga RM1,000 setahun jika kerajaan mahu mengenakan GST sebanyak 7 peratus.
Tidak pula diketahui dari mana dia mendapat angka 7 peratus itu kerana sehingga kini kerajaan tidak pernah menyatakan peratus cukai akan dikenakan kerana ada yang menyatakan kadarnya berkisar sebanyak 4 peratus.
Tangkis tohmahan pembangkang
Usaha pihak berkuasa dan pegawai kerajaan memberi penerangan kepada rakyat mengenai selok belok sistem cukai itu tidak dihiraukan. Jadi tidak menghairankan jika penulisan yang menuduh pelaksanaan GST itu sebagai usaha kerajaan ‘gigit sampai tulang’ berterusan dilaungkan.
Penjawat awam yang arif dengan pelaksanaannya harus berusaha secara berterusan menangkis tohmahan itu. Rakyat tanpa diberitahu apa sebenarnya cukai itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan, tentunya akan mempercayai hasutan DAP dan juga beberapa penulisan dalam penerbitan propembangkang.
Kalau dilihat secara objektif, apakah mereka benar-benar mahu mempertahankan kepentingan orang tidak berada atau sengaja mahu membantah dan ada udang di sebalik batu?. Inilah yang sepatutnya didedahkan supaya rakyat biasa tahu siapa sebenarnya yang tidak senang dengan pelaksanaannya. Sebenarnya GST bukanlah sesuatu yang baru dan terhad kepada segelintir negara saja kerana sejak ia mula diperkenalkan Perancis pada 1954, kira-kira 160 negara di seluruh dunia sudah pun melaksanakannya.
Di Asean, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar saja belum melaksanakannya. Ini dengan sendirinya menangkis tohmahan bahawa GST hanya boleh dilaksanakan selepas negara mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.
Pelaksanaan cukai ini amat adil kerana ia dikenakan ke atas perbelanjaan yang dibuat atau perkhidmatan yang diterima. Lagi banyak perbelanjaan lagi banyaklah orang yang berbelanja itu dikenakan cukai. Apakah ini tidak adil? Banyak berbelanja adalah orang berada, bukannya orang yang berbelanja untuk keperluan diri atau keluarga saja.
Kerajaan sudah menjelaskan bahawa barang keperluan asas seperti beras, gula dan sayuran akan dikecualikan daripada cukai itu.
Pelaksanaannya juga adalah lebih telus daripada yang ada sekarang. Inilah sebenarnya yang tidak disukai peniaga dan syarikat yang mahu dipertahankan DAP kerana ramai daripada mereka juga adalah penyokongnya.
Peniaga tidak pula mahu berterus terang menyatakan bangkangan mereka tetapi berselindung di belakang rakyat yang ditohmahkan akan dilanda bebanan berlebihan. Sudah tidak menjadi rahsia lagi peniaga ini rata-ratanya menyimpan sekurang-kurangnya dua set akaun syarikat yang berbeza. Satu set penyata yang sebenarnya untuk diri sendiri dan juga rakan kongsi. Satu lagi diadakan untuk pengetahuan awam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Inilah yang mereka amat tidak senangi kerana dengan GST, mereka tidak lagi boleh menyorok kedudukan sebenar kewangan perniagaan syarikat mereka.
Oleh itu tidak akan berlaku lagi penipuan atau ketirisan membayar cukai kerana mereka tidak lagi boleh menutup kedudukan sebenar perniagaan mereka daripada pengetahuan pihak berkuasa. Dengan pelaksanaannya, cukai yang dikutip adalah yang sebenar. Apabila dilihat daripada kedudukan sedemikian, pendapatan negara tentunya akan bertambah dan kedudukan kewangan negara juga akan lebih kukuh dan mantap.
Ada juga yang mentohmahkan rasuah dan sistem kroni perlu dihapuskan dulu sebelum GST dilaksanakan.
Apa kena mengena penghapusan rasuah atau sistem kroni dengan GST? Malah pelaksanaannya seperti dilakukan di negara maju dan juga negara membangun didapati lebih telus dan saksama. Tidak pula kedengaran rakyat miskin teraniaya kerana GST.
Penulis ialah Felo Kanan di UKM