GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, July 23, 2012

Pengalaman GST di negara luar


ARKIB : 23/07/2012

JAMINAN kerajaan untuk tidak melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga sistem percukaian itu diterima rakyat merupakan satu pengumuman yang sangat dialu-alukan kerana ia masih baru di negara ini dan rakyat juga masih kurang mempunyai kefahaman menyeluruh mengenainya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah melawat ke negara-negara luar yang telah melaksanakan cukai ITU yang dikenali juga sebagai VAT (cukai nilai tambah), perkara itu bukan satu yang asing kerana pelaksanaan GST atau VAT telah memberi kelebihan kepada mereka sebagai pembeli ketika membeli-belah di negara-negara tersebut.

Ini kerana sebagai pelancong, mereka diberi pengecualian GST/VAT terhadap barangan yang dibeli dan boleh menuntut barangan balik GST/VAT dari pejabat kastam di lapangan-lapangan terbang negara berkenaan.

Pelaksanaannya di kebanyakan negara di seluruh dunia itu membuktikan sistem percukaian ini lebih baik kerana ia membabitkan percukaian yang lebih menyeluruh dalam sistem pengeluaran sesuatu barangan berbanding dengan sistem cukai sedia ada yang hanya membabitkan pembeli akhir.

GST/VAT diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.

Kini lebih 140 negara di seluruh dunia melaksanakan GST atau VAT kerana ia merupakan sistem percukaian yang menjadi antara penyumbang terbesar atau penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negara kerana cukainya lebih menyeluruh dan tidak hanya dikenakan ke atas pengguna akhir barangan.

Pelaksanaan sistem percukaian ini didapati tidak membebankan pengguna seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak dan sebagai contoh di Australia yang telah melaksanakan GST pada 2000, kadar cukai pendapatan peribadi, cukai perbankan, cukai pemborong persekutuan dan beberapa cukai minyak mengalami pengurangan yang seterusnya menyebabkan rakyat negara itu tidak membayar apa-apa tambahan cukai.

Walaupun terdapat pihak-pihak di negara itu mendakwa kesan negatif daripada pelaksanaan GST seperti dikatakan sektor hartanah terkena tempiasan GST selepas harga rumah naik lapan peratus tetapi keadaan sebenarnya adalah kenaikan itu disebabkan daripada peningkatan permintaan tinggi sektor hartanah dari tahun 2002 hingga 2004.

Di Australia juga, beberapa barangan dan perkhidmatan adalah bebas GST dan antara barangan itu ialah makanan, pendidikan, kesihatan, eksport, aktiviti-aktiviti kebajikan, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan keagamaan.

Kanada yang memperkenalkan GST pada 1991 bagi menggantikan cukai jualan pengeluar juga tidak mengenakan GST pada barangan seperti barangan runcit, sewa kediaman, perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan kewangan.

Di negara itu, barangan eksport juga dikecualikan cukai dan individu yang berpendapatan rendah boleh mendapatkan rebat GST yang melibatkan pelepasan cukai individu.

Manakala di New Zeland yang memperkenalkan GST pada 1986, kesemua jenis produk makanan dikenakan kadar cukai yang sama tetapi ia memberi pengecualian kepada beberapa jenis aktiviti seperti kadar sewa kediaman, keluli tertentu, perkhidmatan kewangan dan sumbangan.

Mengikut undang-undang negara itu, kesemua harga barangan mesti dikenakan GST, kecuali perniagaan yang berasaskan aktiviti pemborong berasaskan pelanggan.

Bagi negara-negara Kesatuan Eropah, GST dikenali sebagai 'output VAT' (cukai output kepada pengeluar) dan 'input VAT' (cukai yang dibayar syarikat selepas menerima barangan). Syarikat yang layak boleh menuntut kembali pembayaran cukai daripada kerajaan.

Berdasarkan pelbagai kaedah percukaian GST atau VAT yang dilaksanakan di lebih 140 negara di seluruh dunia itu, Malaysia telah menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pelaksanaannya kepada rakyat, syarikat dan kedudukan kewangan negara.

Bagi kerajaan, pelaksanaan GST sekitar 4 peratus dijangka mampu menjana perolehan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun yang seterusnya wang itu boleh digunakan untuk pelbagai projek pembangunan bagi faedah rakyat.

Bagi rakyat pula, mereka boleh mendapat manfaat serta-merta daripada pelaksanaan GST kerana dapat menikmati harga lebih murah untuk pelbagai jenis barang, terutama barangan keperluan dan berkaitan makanan.

Sebagai contoh, rakyat hanya perlu membayar GST empat peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan yang lebih tinggi dikenakan sekarang.

Kos perniagaan juga berkurangan selepas GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana restoran berkenaan tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain. Dengan itu, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai.

Bagaimanapun, bukan semua harga barang akan menurun selepas GST diperkenalkan dan terdapat juga barangan tertentu yang akan mengalami sedikit kenaikan atau kekal pada harga asal. Mengenai perkara itu, kerajaan telah berjanji akan berusaha berbincang dengan pasar raya - pasar raya besar agar mereka mengekalkan harga lama jika harga barang berkenaan meningkat selepas GST diperkenalkan.

Kesimpulannya, asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar melalui pengenalan GST akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut dan ia juga mudah difahami rakyat berbanding cukai masa kini yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.

Malaysia kini juga dalam pertimbangan memperkenalkan GST menggantikan SST kerana sistem percukaian itu terbukti telah memberi manfaat kepada penduduk di lebih 140 buah negara di seluruh dunia.

Maklumat lanjut mengenai cukai dan GST boleh diperoleh di http://www.treasury.gov.my

- Bersambung di minggu depan
  
© Utusan Melayu (M) Bhd