GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 6, 2009

GST: Negara perlu lebih ramai ejen cukai


ARKIB : 05/11/2009


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Negara memerlukan lebih ramai ejen percukaian yang mahir dalam bidang cukai perkhidmatan dan barangan (GST) jika kerajaan mahu melaksanakan cukai itu pada masa depan.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Abd. Aziz Abu Bakar berkata, kini nisbah antara ejen percukaian dan pembayar cukai adalah rendah, iaitu pada kadar kira-kira 1,000 ejen percukaian kepada 1.3 juta pembayar cukai.

"Permintaan ejen percukaian khusus dalam GST baik, kita perlu lahirkan lebih ramai ejen percukaian," katanya pada seminar perasmian bajet 2010 di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Awang Adek Hussin.

Menurut Abd Aziz, selain itu, negara masih memerlukan lebih ramai ejen percukaian jika mahu meningkatkan keberkesanan sistem percukaian negara dan pematuhan cukai sepenuhnya pada masa depan.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Prof. Datuk Zabid Abdul Rashid berkata, Unirazak akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Percukaian pada tahun depan.

''Kurikulumnya telah dibentuk,'' jelas beliau.

Tambah beliau, Unirazak dijangka mengambil antara 30 hingga 40 orang pelajar sebagai perintis kepada program baru itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WRcNR674
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, November 5, 2009

GST wajar pada tiga peratus


ARKIB : 04/11/2009


KUALA LUMPUR 3 Nov. – Cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang dicadangkan oleh kerajaan perlu diperkenalkan pada paras tiga peratus bagi membolehkan sektor perniagaan dan pengguna menyesuaikan diri masing-masing.

Pengarah Urusan TAXAND Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Veerinderjeet Singh berkata, cukai jualan dan perkhidmatan sekarang masing-masing ditetapkan pada lima dan 10 peratus dan negara ini memerlukan GST dengan asas yang luas (broad-based).

Beliau menjelaskan, kerajaan sedang menjalankan kajian impak sosial dan keputusan tentang pelaksanaan GST akan dibuat pada Disember tahun ini.

“Kami menjangka cukai berkenaan dilaksanakan pada kadar rendah merentasi asas percukaian yang lebih besar bertujuan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan semasa yang mempunyai asas cukai terhad.

“Adalah penting untuk memberi tempoh antara 12 hingga 18 bulan kepada semua pihak untuk memahami dan menyediakan pelaksanaan GST,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada taklimat media mengenai Bajet 2010 anjuran bersama TAXAND dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), di sini hari ini.

Ketika mengumumkan Bajet 2010 pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengenakan kadar GST lebih rendah berbanding kadar sekarang sekira GST dilaksanakan.

Veerinderjeet berkata, kunci kejayaan GST ialah keberkesanan penguatkuasaan dan pentadbiran adalah amat penting.

Beliau menambah, bagi menggalakkan daya saing, insentif cukai yang tidak relevan atau tidak digunakan sepenuh mungkin dihentikan secara beransur-ansur.

“Cabaran sebenar kerajaan berlandas pada pelaksanaan dasar dan cara peruntukan bajet dibelanjakan bagi memastikan defisit bajet terus menurun tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan,” jelasnya.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu memastikan sistem cukai di Malaysia adil dan mampu menjanakan perolehan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Presiden MICCI, Irene Dorner berkata, langkah-langkah kerajaan mewujudkan ekonomi inovatif dan berpendapatan tinggi dialu-alukan melalui usaha promosi industri pembinaan, mengukuhkan industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan mempromosikan pembinaan bangunan hijau.

Menurut beliau, teknologi hijau berpotensi berkembang sebagai sektor penting dalam pembangunan ekonomi.
“Dengan harga minyak dan masalah kekurangan tenaga, dunia kini menuju ke arah tenaga sumber hijau bagi mengurangkan penggantungan terhadap minyak, pencemaran dan menangani isu yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRbQTtva
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, November 3, 2009

Antara cukai kad kredit, GST


ARKIB : 02/11/2009

Oleh ROHAMI SHAFIE
KOMENTAR di blog-blog mengenai Bajet 2010 yang dibentangkan 23 Oktober lalu cukup menarik. Nampaknya antara isu yang hangat diperkatakan ialah mengenai cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 setahun untuk kad kredit utama, kad caj dan kad yang diberikan percuma serta RM25 setahun untuk kad kredit tambahan.

Ada yang mengira hasil yang bakal dikumpul oleh kerajaan melalui cukai ini tetapi tidak pula yang kelihatan menyatakan bahawa cukai perkhidmatan ini hanyalah sekadar RM4.17 sebulan untuk setiap RM50 setahun dan hanya RM2.08 sebulan untuk setiap RM25 yang dibayar setahun.

Mungkin selepas ini, ramai yang mula memikirkan untuk mengurangkan pegangan kad kredit. Kemungkinan juga perkara ini tidak berlaku sama sekali jika berdasarkan bahawa rakyat Malaysia suka berbelanja meskipun krisis ekonomi melanda dunia.

Tren berhutang di kalangan rakyat Malaysia perlu dipantau kerajaan meskipun bukan berada di tahap kritikal. Jika diperhatikan, bank-bank menjalankan aktiviti pemasaran yang agresif untuk menawarkan kad kredit kepada orang ramai.

Akhirnya, golongan muda yang tidak sepatutnya memiliki kad kredit selalu "terjerat" dengan penggunaan kad kredit. Belum pun lagi memiliki sebarang aset sudah pun "memiliki" hutang. Tidak mustahil, selepas ini ada bank sanggup membantu "membayar" kos cukai perkhidmatan ini semata-mata untuk mengekalkan pelanggan lama dan menarik pelanggan baru.

Terdapat individu-individu yang mempunyai bilangan kad kredit yang terlalu banyak. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah mudah untuk memperolehinya dan juga mudah untuk menggunakannya.

Perlukah kita mempunyai kad kredit yang terlalu banyak? Padahal, kad kredit menggalakkan penggunanya berhutang. Di sinilah betapa pentingnya peranan pengurusan kewangan peribadi yang berhemah. Tidak salah mempunyai kad kredit tetapi biarlah bersederhana dalam berbelanja mengikut kemampuan diri.

Bukan setakat hutang kad kredit, hutang yang lain juga perlu dipantau. Mengikut statistik Bank Negara Malaysia pada bulan Ogos 2009, pinjaman peribadi rakyat Malaysia dalam sistem perbankan berjumlah RM5.215 bilion berbanding RM4.106 bilion pada bulan yang sama, 2008.

Ini merupakan pertambahan lebih RM1 bilion. Kerajaan perlu berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada krisis subprima di Amerika Syarikat (AS) yang berpunca daripada instrumen hutang yang tidak berbayar (NPL). Salah satu sebab utama krisis ini melanda di negara tersebut ialah bank mengabui mata peminjam dengan menawarkan pinjaman hartanah dengan pelbagai kaedah promosi kepada bakal pelanggan yang tidak berkemampuan, kononnya pinjaman itu murah dan tidak membebankan.

Berbeza dengan cukai perkhidmatan kad kredit, tidak ramai yang memberi komen tentang "tiada pengumuman" berkaitan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walhal ia memberi kesan langsung kepada perbelanjaan rakyat.

Keputusan kerajaan untuk tidak membuat sebarang pengumuman mengenai GST kecuali menyatakan bahawa kerajaan sedang dalam proses akhir kajian impak sosial GST kepada rakyat, sepatutnya memberi kelegaan kepada semua pihak. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan jika ingin melaksanakan sebarang dasar yang mempunyai implikasi besar kepada rakyat.

Penyokong-penyokong GST nampaknya "membisu" selepas kerajaan tidak membuat sebarang pengumuman. Ini tidak mengejutkan langsung kerana seminggu sebelum Bajet 2010 dibentangkan, terdapat ramai pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST, terutamanya ketika ekonomi dunia masih tidak menentu.

Dua isu besar perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pertama, adakah kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya? Kedua, adakah rakyat sendiri bersedia untuk menyerap bentuk cukai baru ini dalam kehidupan seharian?

Lihatlah apa yang berlaku di Australia semasa mula melaksanakan GST. Pada suku pertama 2001, pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan menurun, bahkan, mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif buat pertama kalinya selepas lebih daripada 10 tahun.

Kerajaan seharusnya mengambil kira fakta ini selain mengkaji kesannya kepada rakyat. Paling penting, sebarang keputusan mestilah mengutamakan kesejahteraan rakyat melebihi perkara-perkara lain.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1102&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2WRava4WS
© Utusan Melayu (M) Bhd