GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, June 17, 2011

BBCC perlu kelulusan kementerian


ARKIB : 06/06/2011


IPOH 5 Jun – Pelaksanaan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM6.7 bilion di tapak bekas Penjara Pudu oleh UDA Holdings Bhd. perlu mendapat kelulusan akhir daripada Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebarang projek oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang bernilai lebih RM300 juta akan diputuskan oleh kementerian itu.

“Begitu juga UDA Holdings Bhd. tertakluk kepada prosedur tersebut. Bermakna, sebarang keputusan melibatkan projek lebih RM300 juta walaupun pengurusan syarikat itu sudah buat keputusan, mereka perlu bawa ke Kementerian Kewangan untuk kelulusan akhir.

“Di Kementerian Kewangan ada Bahagian Perolehan yang akan buat kajian teknikal, berdasarkan kepada itu, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Perolehan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke projek Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, di sini hari ini.

Beliau mengulas pelaksanaan projek BBCC yang menimbulkan kontroversi apabila pengurusan UDA Holdings Bhd. dikatakan berminat untuk melantik sebuah syarikat hartanah terkemuka dari China bagi membangunkan projek itu atas alasan tiada syarikat bumiputera yang layak.

Dalam pada itu, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan tidak akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun ini.

“Kita akan terus memberi penerangan kepada rakyat dan apabila mereka faham serta menerimanya, baru kita akan kaji kemungkinan untuk melaksanakan GST,” katanya.

Mengulas mengenai projek Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta yang bernilai RM380 juta, beliau berkata, projek tersebut akan memberi impak kepada pembangunan kawasan Tanjung Rambutan di sini.

Katanya, kewujudan kolej tersebut akan meningkatkan kuasa membeli pengguna di kawasan tersebut yang sudah ada Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Hospital Bahagia.

“Kita juga dalam proses membangunkan semula Pasar Awam Tanjung Rambutan dengan peruntukan RM3 juta yang datang dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0606&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WRwS7rcz
© Utusan Melayu (M) Bhd