Idris Jala
Idris Jala
PETALING JAYA - PKR mendakwa kadar tujuh peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenalkan kerajaan nyata bercanggah dari kadar empat peratus seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan.
Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan, Wong Chen yang memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menyanggah cadangan itu yang berpandukan kadar GST Singapura sebagai model Malaysia tanpa mengambil kira pelaksanaan awal cukai tersebut di negara itu.

"Kami ingin mengingatkan beliau bahawa apabila Singapura memperkenalkan GST pada 1994, ia adalah pada kadar yang rendah iaitu tiga peratus.

"... kerajaan Singapura mengekalkan kadar itu selama sembilan tahun sebelum membenarkan peningkatan kepada empat peratus pada 2003.

"Ia hanya meningkat pada kadar tujuh peratus pada 2007, tiga belas tahun selepas GST diperkenalkan di Singapura," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Idris berkata, Malaysia akan dapat menambah pendapatan jika cadangan dilaksanakan dan mekanisme pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion, apabila matang.

"Tahap matang ialah apabila setiap penduduk Malaysia mula menyumbang ke arah GST. Ia mestilah dilaksanakan sebaik sahaja penduduk Malaysia bersedia menerima mekanisme itu," tegas beliau.

Menurut Wong Chen lagi, kerajaan BN sedang menghadapi krisis fiskal yang berpunca daripada asas cukai yang lemah, pembaziran perbelanjaan dan rasuah yang ketara.

Dakwanya tidak hairanlah jika kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan GST dalam masa terdekat ini.

Namun PKR yakin ia bukan berpunca daripada mengelakkan cukai sebaliknya disebabkan pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia yang terlalu rendah di bawah RM2,500 sebulan.

"Majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar cukai pendapatan.

"Asas cukai yang lemah ini adalah berpunca dari gaji rendah, rasional di sebalik GST BN adalah memang silap dan salah," dakwanya.

Selain itu, penurunan cukai korporat yang dijanjikan kerajaan hanya akan membantu golongan kaya yang merupakan golongan minoriti berbanding rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan di luar kemampuan membayar cukai.

Katanya kerajaan sepatutnya menyelesaikan krisis kewangan itu dengan menghapuskan projek mega yang tiada manfaat atau mempunyai kos yang berlebihan di samping membanteras rasuah.

"Kerajaan tidak mempunyai hak untuk memperkenalkan GST," tegasnya.