GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, May 22, 2013

Pengguna dapat manfaat daripada GST


Publication: BH
Date of publication: May 21, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Faridzwan Abdul Ghafar

Kritikan pemimpin pembangkang terutama daripada DAP terhadap cukai barang dan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai GST acap kali dimainkan di laman sosial dan blog selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Antara pemimpin DAP yang lantang menolak GST ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pua Kiam Wee atau Tony Pua dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, yang mana hujah mereka memang menakutkan rakyat.

Media alternatif sering juga menyiarkan hujah mereka, yang mana ia kerap kali digunakan pemimpin pembangkang lain mahupun pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menolak pelaksanaanGST.

Jika GST dilaksanakan, semua lapisan masyarakat tidak kira latar belakang dan status, semuanya terpaksa membayar cukai dan sistem percukaian ini tidak adil terutama kepada mereka yang miskin, kata Tony.

Penulis tertarik dengan isu yang dimainkan pemimpin muda DAP ini dan ingin mengulas mengenai GSTserta dakwaan sistem cukai berkenaan membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

GST ialah cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai ditambah dan dikenakan terhadap barang serta perkhidmatan pada setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan, termasuk barang dan perkhidmatan import.

GST juga akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, yang mana skop pengenaan cukainya lebih meluas membabitkan semua peringkat rantaian pembekalan di samping boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan.

Ketika ini, pengenaan cukai jualan hanya pada satu peringkat pengeluaran iaitu ketika barang dikeluarkan, manakala cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu pada peringkat pengguna saja.

Sistem komprehensif

Jelas, pada pandangan kerajaan, GST adalah sistem percukaian komprehensif, efektif, telus, cekap dan mesra perniagaan, selain mampu mengatasi pelbagai kelemahan seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan akibat aktiviti pemindahan harga dan lain-lain.

GST dijangka meningkatkan pematuhan cukai dan lebih mudah untuk ditadbir. Kumpulan peniaga hanya perlu mengemukakan penyata cukai ringkas mengikut format, manakala rekod berhubung transaksi berkaitan hanya perlu disimpan di premis syarikat untuk diaudit oleh juruaudit GST.

Difahamkan, kadar GST yang dikenakan lebih rendah daripada kadar cukai semasa iaitu sekitar empat peratus bertujuan mengimbangi kesan cukai itu terhadap pengguna supaya tidak membebankan khususnya golongan berpendapatan rendah.

Jika dilaksanakan pada kadar itu, maka ia adalah berita baik. Pengguna mendapat manfaat kerana kebanyakan barang dan perkhidmatan akan mengalami sedikit penurunan harga.

Lapan kategori barang, perkhidmatan turun harga

Berdasarkan perkiraan, dijangkakan lapan kategori barang dan perkhidmatan dalam pasaran negara ini akan mengalami penurunan harga antara 0.08 peratus hingga 2.71 peratus.

Malah, Kementerian Kewangan sudah menjalankan kajian kesan harga untuk melihat kesan pelaksanaanGST ke atas 729 jenis barang dan perkhidmatan pengguna daripada 95 industri.

Berdasarkan kajian itu, didapati dengan GST pada kadar empat peratus, Indeks Harga Pengguna (IHP) secara purata turun sebanyak 0.1 peratus, bermakna pelaksanaan GST tidak memberi kesan kepada inflasi.

Hakikatnya, GST tidak memberi perbezaan dalam aspek bebanan cukai yang ditanggung golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan kerana pada masa ini, mereka sememangnya membayar cukai terhadap barang dan perkhidmatan tertentu mengikut sistem sedia ada.

Pemerhatian mendapati bebanan cukai pengguna dijangka lebih rendah berbanding beban cukai ketika ini berikutan kerajaan mencadangkan barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sayuran, ikan, daging ternakan, telur dan perkhidmatan asas seperti pengangkutan awam, kesihatan dan pendidikan swasta, kediaman dan tanah pertanian tidak dikenakan GST.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai manfaat GST itu, ada dua perkara perlu diberi perhatian yang mana kegagalan menanganinya boleh menyebabkan sistem percukaian baru berkenaan menyumbang kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Pertama, pelaksanaannya akan menyebabkan peniaga memerlukan tenaga kerja profesional seperti akauntan bagi menguruskan rekod transaksi dan dokumen berkaitan GST untuk diaudit.

Justeru, peniaga akan mengalami kos tambahan operasi, yang mana mereka harus mengupah tenaga kerja profesional dan kos itu berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang atau perkhidmatan.

Peniaga tak beretika

Kedua, peniaga tidak beretika boleh menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang bagi tujuan membuat keuntungan secara berlebihan dan perkara sedemikian perlu dibendung melalui undang-undang dan penguatkuasaan yang tegas.

Umumnya, GST sama ada teori atau praktikal terbukti menyelesaikan masalah ketirisan dalam percukaian, meningkatkan integriti perniagaan dan meningkatkan daya saing negara.

GST berupaya meningkatkan hasil untuk diagihkan semula kekayaan kepada golongan berpendapatan rendah di negara ini melalui bantuan dan subsidi tanpa perlu lagi bergantung kepada hasil petroleum yang pasti akan habis satu hari nanti
.

2 comments:

  1. apa impact gst towards individual other than price good n service effect

    ReplyDelete
    Replies
    1. GST boleh menggalakkan individu membuat perancangan kewangan mereka dgn lebih teliti.

      Delete