GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 23, 2012

GST berselindung disebalik Bajet 2013?


Salmiyah Harun,03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN jelas tidak ikhlas dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), malah kelihatan seperti menggunakan tipu helah untuk mengaburkan pelaksanaan ini dalam Bajet 2013 yang dibentang minggu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan jelas ingin meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran biarpun dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah serta kronisme.

"Perenggan 80-83 dalam Ucapan Bajet Menteri Kewangan mengandungi kod-kod yang berkata kepada sektor kewangan bahawa pelaksanaan GST amat hampir," katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.


Antaranya, perenggan kod 80 berbunyi, selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah.


Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Manakala kod 81 pula berbunyi, langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi selepas kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib dibuat.Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.


Jelas Dzulkifli, Perenggan 145 pula menunjukkan pemotongan satu peratus cukai adalah berkaitan dengan pelaksanaan GST, yang secara asasnya bermaksud penjimatan yang dinikmati dari pemotongan ini akan akhirnya dibayar balik melalui GST.


"Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 ringgit sehingga RM50,000," katanya.


Bagi Dzulkifli, Ucapan Perdana Menteri ini jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan kabinet beliau. 


GST, cukai kekayaan serentak


ARKIB : 22/10/2012


Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan merupakan kaedah paling berkesan bagi kerajaan mewujudkan aliran pendapatan baharu. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kerajaan disaran melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai kekayaan (wealth tax) serentak bagi mengelakkan isu ketidakadilan terhadap golongan pertengahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BoardRoom Ltd., Kim Teo berkata, memandangkan pelaksanaan GST sebelum ini dikatakan akan membebankan golongan kelas pertengahan kerana mereka merupakan kumpulan pengguna utama dalam ekonomi, pengenalan cukai kekayaan dapat merapatkan jurang antara golongan kaya dan pertengahan.

''Pengenalan GST merupakan kaedah paling berkesan bagi kerajaan mewujudkan aliran pendapatan baharu, dan pada masa yang sama mengurangkan penggantungan ke atas pendapatan menerusi petroleum.

''Kerajaan belum memperkenal GST disebabkan mahu rakyat menyedari sepenuhnya impak positif sistem percukaian baharu itu kepada negara kerana sebelum ini banyak pihak beranggapan cukai tersebut akan membebankan golongan pertengahan manakala golongan kaya tidak merasa kesannya.

''Mahu tidak mahu kerajaan bakal mempekenalkan GST kepada orang ramai tidak lama lagi," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Cukai kekayaan bertindak sebagai levi bersandarkan kepada nilai agregate pegangan isi rumah yang dianggap sebagai kuasa membeli termasuk rumah, tunai, deposit bank, pelaburan dan sebagainya.

Teo berkata, dengan meringankan beban kelas pertengahan atau miskin dan merangsang pelaburan dalam aset komersial, tunai yang lebih untuk dibelanjakan akan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan terutama daripada segi keperluan sosial seperti pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak.

Katanya, secara tidak langsung perkara itu dapat menggerakkan mobiliti sosial iaitu lebih ramai orang dapat mencapai potensi produktiviti sepenuhnya serta menambah baik ekonomi.

''Manakala peningkatan perolehan kerajaan dari cukai kekayaan itu, boleh digunakan untuk mempromosi pelaburan awam seperti pendidikan, infrastruktur pengangkutan dan sebagainya, selain itu pertambahan perolehan juga boleh mengurangkan pinjaman kerajaan," jelasnya.

Teo berkata, setakat ini tidak banyak negara yang memperkenalkan cukai kekayaan dan di Amerika Syarikat sendiri perkara itu masih didebatkan.

Sementera itu, terdapat laporan yang menyatakan kaedah yang lebih jelas dalam pelaksanaan GST dijangka dibentangkan tahun depan selepas kerajaan meningkatkan tahap kesedaran terhadap sistem percukaian baharu tersebut.

Selepas Rang Undang-undang GST diwartakan, ia akan mengambil masa kira-kira 18 bulan sebelum percukaian baharu itu dikuatkuasakan.

Rang Undang-undang GST dibentangkan di Parlimen pada Disember 2009.

GST itu dicadangkan dikuatkuasakan pada suku ketiga 2011, bermatlamat meluaskan asas percukaian dan mengurangkan defisit negara.

Selain itu, Boardroom Corporate Services (KL) Sdn. Bhd., mengunjurkan sumbangan perolehan dari cukai langsung untuk 2013 akan berlebihan walaupun jumlah perolehan kerajaan untuk 2013 akan menunjukkan pertumbuhan marginal hanya 0.7 peratus..

Penasihat Cukainya, Kenneth Lim berkata, perolehan dijangka disumbangkan oleh cukai langsung akan berkembang 4.4 peratus terutama daripada korporat sebanyak 6.5 peratus dan pembayar cukai individu sebanyak 10 peratus.
''Cukai tidak langsung juga diunjur berkembang 4.0 peratus,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121022/ek_01/GST,-cukai-kekayaan-serentak#ixzz2WdBjofge
© Utusan Melayu (M) Bhd