ARKIB : 18/07/2012
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ekonomi@utusan.com.my
Cukai barangan dan perkhidmatan
sesuai diperkenalkan apabila ia tidak dijadikan sentimen oleh orang ramai.
KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan
mengambil langkah yang betul untuk tidak melaksanakan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) sehingga seluruh rakyat memahaminya.
Presiden Institut Cukai
Bertauliah Malaysia, SM Thanneermalai berkata, GST adalah pelaksanaan cukai
yang penting dan sewajarnya rakyat memahami secara menyeluruh.
"Saya difahamkan kerajaan
sudah bersedia untuk melaksanakan GST, tetapi adakah rakyat sudah bersedia?.
"Jadi, tidak salah sekiranya
kerajaan menangguhkan sehingga semuanya boleh menerima GST," katanya
ketika ditemui pada majlis Persidangan Cukai Kebangsaan 2012 di sini hari ini.
Majlis perasmian persidangan itu
disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ditanya bilakah masa yang sesuai
untuk memperkenalkan GST, Thanneermalai berkata, apabila cukai tersebut tidak
dijadikan sentimen oleh orang ramai.
Kerajaan merancang untuk
melaksanakan GST pada 2010 dengan mengenakan sebanyak empat peratus.
Bagaimanapun, bacaan kali kedua
pembentangan itu ditangguhkan dua kali, iaitu pada Mac 2010 dan April lalu.
Thanneermalai berkata, Malaysia
tidak terdesak untuk memperkenalkan GST, meskipun kebanyakan negara serantau
sudah melaksanakannya.
Setakat ini sebanyak 146 buah
negara sudah melaksanakan sistem GST termasuk Jepun, Kanada, Singapura,
Australia dan Hong Kong.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120718/ek_01/GST-Adakah-rakyat-bersedia#ixzz2WGLKr5sI
© Utusan Melayu (M) Bhd