Publication: BH
Date of publication: Jul 18, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Kerajaan masih lagi dalam proses
memberi penerangan kepada semua pihak berhubung cadangan pelaksanaan cukai
barangan dan perkhidmatan (GST).
Menteri Kewangan Kedua, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ia bagi memastikan semua pihak benar-benar
mempunyai pengetahuan menyeluruh mengenai sistem percukaian baru itu.
Perlu diingatkan, kita mahu semua
pihak memahaminya. Apabila semua pihak menyatakan ia boleh diteruskan, maka
kerajaan akan melaksanakannya.
Meskipun setakat ini rundingan
dengan persatuan tidak semudah seperti dijangkakan, namun maklum balas mereka
adalah sangat baik, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan
Percukaian Kebangsaan 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Bacaan kali kedua ditangguh
Rang Undang-undang GST
dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan
kedua yang dijadual pada Mac 2010 telah ditangguhkan.
Pada awalnya, ia dijadual
dilaksanakan pertengahan tahun lalu bagi menggantikan cukai jualan dan
perkhidmatan (SST).
Mengenai bila bacaan kedua rang
undang-undang itu akan dibentangkan untuk dibahas, Ahmad Husni berkata,
kerajaan belum membuat keputusan mengenainya.
Penerangan mencukupi
Sementara itu, Presiden Institut
Percukaian Berkanun Malaysia (CTIM), SM Thanneermalai, berkata langkah kerajaan
membabitkan semua pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan melaksanakan
GST adalah wajar kerana ia adalah bidang percukaian yang menjadi penanda aras
baru.
Beliau berkata, penangguhan itu
akan memberikan pihak berkuasa masa mencukupi untuk menerangkan mekanisme serta
struktur percukaian GST kepada semua pemegang kepentingan.
Harus diingat kita adalah antara
beberapa negara yang tidak mempunyai GST, namun ia tidak bermakna kita perlu
tergesa-gesa. Masa yang mencukupi akan memastikan kelancaran pelaksanaannya,
katanya.
Info
Cukai barangan dan perkhidmatan
(GST)
* GST menggantikan SST yang
diperkenalkan sejak 1972.
* GST digunakan di 143 negara
* Pengecualian diberikan ke atas
barangan keperluan asas.
No comments:
Post a Comment