GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, March 10, 2012

Mengapa Malaysia tidak akan bankrap


Publication: BH
Date of publication: Mar 19, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 002
Byline / Author: Oleh idris Jala


SAYA sering ditanya mengapa saya berkata Malaysia mungkin bankrap menjelang 2019. Saya dilayangkan pelbagai pertanyaan yang meminta perkongsian penerangan dan ini menjadi satu 'blues' transformasi saya.

Bagi mencartakan perjalanan transformasi pada 2009, satu tindakan pertama yang diambil oleh PM dan Kabinet ialah menyenaraikan status terkini kita; menetapkan hala tuju dan menetapkan satu program transformasi untuk menjamin kita mencapainya.

Satu daripada pelbagai kepentingan dalam senarai itu ialah merasionalkan subsidi. Maka, kami menjalankan makmal untuk perkara ini.

Sewaktu hari terbuka, kami berkongsi cadangan makmal berkenaan rasionalisasi subsidi bersama pengunjung. Saya ingin berterus terang dan menekankan akibat jika tiada tindakan diambil.

Mungkin saya terlalu berterus terang. Tetapi, apa yang saya katakan disalahgambarkan beberapa kali. Sejak itu, saya dibebani dan terikat dengan masalah yang tidak perlu.

Kaki pengkritik cuma menekankan sebahagian kecil daripada pembentangan pertama iaitu ketika saya menyatakan keperluan mengubah cara perbelanjaan kita untuk mengekalkan pertumbuhan fiskal.

Dengan berlatar belakangkan kaveat dan beberapa syarat, saya berkata, kita akan bankrap menjelang 2019 JIKA kita terus meningkatkan subsidi dan pinjaman seperti mana kita lakukan sebelumnya dan JIKA perkembangan ekonomi tahunan kita kurang daripada tiga peratus.

Saya berkerja di Shell lebih 20 tahun, syarikat yang terkenal bagi teknik perancangan senario. Kata orang biasa, perancangan senario bermaksud gambaran masa depan yang mempunyai kemungkinan sama ada 'baik, buruk atau dahsyat' dan melakukan yang terbaik untuk mencapai 'senario baik' dan menghindarkan 'buruk dan dahsyat'.

Kenyataan saya berdasarkan kaveat tetapi hanya sedikit atau tiada rujukan dibuat terhadap kaveat yang jelas dikemukakan.

Saya masih berpegang teguh kepada apa yang saya ucapkan dan adalah penting untuk kenyataan itu diambil bersama syarat yang dinyatakan. Kenyataan ini sudah terlalu kerap dicedok di luar konteks sehinggakan saya naik 'blues' - berbuih mulut menerangkan apa sebenarnya yang saya maksudkan!

Biar saya dengan jelasnya menerangkan bahawa niat saya pada waktu itu ialah menggambarkan akibat sekiranya tiada tindakan diambil ketika berhadapan dengan keputusan yang sukar. Kita tidak boleh terus memberikan subsidi seperti mana sekarang.

Ingin saya jelaskan juga bahawa buat masa ini, kerajaan tidak menghadapi masalah kewangan yang kronik. Malah, kewangan kerajaan dalam keadaan baik. Namun, dalam situasi membabitkan kewangan, memang ada kemajuan yang boleh diusahakan.

Inilah sebabnya. Pada akhir 2011, hutang negara ialah 53.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara dan defisit belanjawan lebih baik daripada sasaran KDNK, 5.4 peratus.

Bandingkan ini dengan hutang Greece yang mencecah 110 peratus daripada KDNK dan defisit belanjawan sehingga 13 peratus. Memang jelas kita jauh daripada berdepan dengan krisis.

Ramai ahli ekonomi di seluruh dunia menyarankan agar kerajaan berhati-hati terhadap peningkatan hutang negara. Pada 2009 - perangkaan semasa saya bercakap tentang rasionalisasi subsidi diambil dari tahun ini - kita terpaksa meningkatkan perbelanjaan Kerajaan melalui 'pakej rangsangan ekonomi' apabila berdepan dengan krisis kewangan dunia yang disebabkan masalah gadai janji subprima di Amerika Syarikat.

Kesan ini dirasai sehingga 2010. Namun begitu, hutang berdasarkan peratusan daripada KDNK mulai seimbang sementara defisit belanjawan, yang juga berdasarkan peratusan KDNK, mula turun dengan ketara dan ekonomi negara kita terus berkembang. Kita sedang memperbaiki keadaan.

Dalam sistem yang mudah untuk menilai sama ada sesebuah negara itu terbabit dalam krisis hutang, Boston Consulting Group (BCG) menggunakan gambaran grafik untuk mengenal pasti beberapa negara yang berpotensi menghadapi masalah.