ARKIB : 16/10/2009
KUALA LUMPUR 15 Okt. Kerajaan dijangka menggunakan pendekatan strategi penggunaan tempatan sebagai sebahagian daripada beberapa strategi untuk merancakkan ekonomi negara, kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Datuk Dr. PHS Lim.
Katanya langkah itu perlu berikutan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) suku kedua tahun ini menguncup tahun ke tahun dan ekonomi global, terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah kekal lembap dengan kadar pengangguran sekitar 10 peratus di AS.
Untuk berbuat demikian, kerajaan kemungkinan memotong cukai pendapatan sekitar 1.0 peratus ke atas cukai pendapatan individu atau mengurangkan duti import, katanya kepada Bernama.
Penggalakan penggunaan tempatan juga penting kerana Malaysia sendiri mempunyai penduduk sekitar 25 juta orang, kata Lim. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan bajetnya yang pertama pada 23 Oktober, sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac tahun ini.
Oleh kerana eksport telah merosot, katanya Malaysia perlu mengekalkan penggunaan domestik bagi mencapai pertumbuhan berpatutan bagi 2010.
Lim berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kemungkinan berkembang 2.0 peratus pada 2010 berbanding penguncupan 4.0 peratus hingga penguncupan 5.0 peratus pada 2009.
Katanya, Malaysia telah memberikan tumpuan sebagai sebuah negara berorientasikan eksport, dengan menduduki tangga ke-17 di dunia dan membenarkan ringgit berada di bawah nilai sehingga 30 peratus.
Jika Malaysia mempunyai asas mata wang yang kukuh, rakyatnya boleh menjadi kaya raya.
Sebelas tahun lepas, sebelum Krisis Kewangan Asia, nilai ringgit berbanding dolar AS ialah RM2.40 bagi setiap dolar AS. Nilainya hari ini ialah RM3.39 bagi satu dolar AS walau pun mata wang AS itu mengalami kelembapan, katanya.
Presiden MIA itu juga menyatakan bajet kali ini juga tidak menawarkan banyak habuan kerana kerajaan telah melancarkan dua pelan rangsangan, iaitu RM7 bilion pada November tahun lepas dan pelan rangsangan untuk tempoh dua tahun sebanyak RM67 bilion pada Mac tahun ini.
Selain itu, katanya sesetengah perunding cukai menjangka kerajaan Malaysia memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang turut dikenali sebagai cukai nilai tambah.
Ini bermakna para pengguna perlu membayar cukai setiap kali mereka membeli barangan atau perkhidmatan.
Bagaimana pun, keputusan Pilihan raya Umum 8 Mac tahun lepas yang buruk, kerajaan kemungkinan menangguhkan dahulu pelaksanaan cukai itu, katanya.
Mengenai industri automotif, Lim berkata kerajaan juga kemungkinan menghapuskan sistem AP (Permit Kelulusan) untuk pengimportan kereta bagi membenarkan persaingan sihat para pengimport.
Di segi pelaburan langsung asing (FDI) pula, katanya, ia telah merosot bagi tempoh enam bulan lepas dan kerajaan kemungkinan mengumumkan pada hari bajet itu langkah meliberalisasikan lagi dasar pelaburan serta syarat dan peraturan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih kompetitif.
Yang penting sekali, Lim berkata Malaysia bernasib baik kerana Bursa Malaysia, pasaran modalnya, telah pulih sejak Januari tahun ini dengan permodalan pasaran dicatatkan RM940.232 bilion sehingga hari ini berbanding dengan paras tertinggi RM1.1 trilion pada awal 2007.
Pemulihan pasaran kewangan itu telah merangsang perbelanjaan pengguna dan keyakinan pengguna dan ini sebaliknya menjana persekitaran ekonomi yang lebih baik, katanya. Bernama
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRNBV2Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd