GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 25, 2013

Pelaksanaan GST beri lebih banyak manfaat


Publication: BH
Date of publication: Oct 24, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Maslynnawati Ahmad

Umum maklum mengenai rancangan kerajaan memperbaharui sistem percukaian sedia ada. Kini, Malaysia menggunapakai sistem cukai jualan dan perkhidmatan. Sistem yang dilaksana sejak sekian lama ini akan dimansuhkan untuk memberi laluan kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ada yang membantah penguatkuasaan sistem baru ini dengan alasan ia membebankan peniaga dan rakyat, namun ramai kurang maklum sistem percukaian baru ini memberi banyak manfaat kepada semua pihak dan pelaksanaannya adalah satu kemestian bagi Malaysia.

Sumber baru

GST adalah sumber baru yang penting dalam memastikan kestabilan pendapatan kerajaan. Sehingga kini, cukai pendapatan adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan kerajaan.

Pada suku pertama 2012, sebanyak 49 peratus daripada pendapatan negara diraih melalui cukai pendapatan individu dan korporat. Disebabkan pendapatan korporat adalah tidak menentu, pungutan cukai juga menjadi tidak stabil. GST adalah satu medium untuk mengurangkan ketidakstabilan ini.

Apabila GST diperkenalkan, ruang akan terbuka untuk pengurangan cukai pendapatan persendirian dan korporat.

Jika dibandingkan dengan Singapura dan Hong Kong, kadar cukai pendapatan tertinggi ke atas individu di Malaysia adalah jauh lebih tinggi iaitu pada kadar 26 peratus.

Kurangkan kadar cukai

Kadar di Singapura hanya 15 peratus manakala di Hong Kong, 17 peratus. Jelas, bebanan cukai individu boleh dikurangkan menerusi pelaksanaan GST melalui pengurangan cukai pendapatan.

Bukan saja bebanan cukai boleh dikurangkan, lebihan pendapatan juga dapat dibelanjakan ke arah yang lebih rasional seperti pendidikan serta keperluan harian yang lain.

Tambahan pula, negara bergantung 40 peratus kepada industri minyak dan gas bagi menjana pendapatan cukai negara. Memandangkan minyak dan gas adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui, Malaysia bakal berhadapan risiko kehilangan antara penyumbang besar cukai pendapatan.

Institusi Petroleum Amerika menjangkakan dunia mempunyai 50 hingga 70 tahun sebelum kehabisan sumber minyak dan gas.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, GST akan meningkatkan disiplin pengurusan kewangan mereka. Mengikut SME Corporation Malaysia, kebanyakan PKS di Malaysia tidak mempunyai pengurusan kewangan yang cekap.

Melalui GST, pengusaha perlu ada sistem perakaunan yang cekap untuk merekodkan aliran wang keluar dan masuk kerana GST adalah cukai dikenakan pada setiap peringkat pengagihan dan pengeluaran.

Akaun lebih teratur

Tambahan pula PKS dibenarkan untuk menuntut kembali GST dibayar ke atas input perniagaan. Oleh itu, usahawan perlu memastikan akaun syarikat adalah teratur.

Untuk beralih kepada sistem GST, kerajaan akan membantu PKS dengan menyediakan latihan dan pendidikan yang komprehensif seluruh negara. Kerajaan juga menyediakan pakej perisian perakaunan dalam bentuk cakera padat untuk PKS yang belum mempunyai sistem perakaunan sendiri.

GST dijangka akan meningkatkan pendapatan Kerajaan, bukan atas dasar menekan rakyat, tetapi disebabkan sistemnya yang efisien dan terangkum. Ia akan mengurangkan tahap ekonomi hitam atau ekonomi bawah tanah yang menyebabkan ketirisan di dalam pendapatan negara.

Manfaat pendapatan

Tambahan kepada pendapatan tersebut boleh digunakan bagi tujuan pembangunan dan juga kebajikan rakyat. Antara kebajikan yang boleh ditingkatkan mutunya termasuk pendidikan sekolah, kemudahan bagi orang kurang upaya, pengangkutan awam dan sebagainya.

Walau begitu, ada pihak skeptikal mendakwa rakyat bakal menanggung beban kerana GST dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan. Persepsi itu tidak benar kerana kebanyakan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, ikan serta daging dan kemudahan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan, pengangkutan dan rumah kediaman tidak dikenakan GST.

Ini adalah bertujuan mengurangkan beban ditanggung golongan berpendapatan rendah.

Apa yang lebih penting ialah rakyat perlu memahami konsep berhemat di dalam berbelanja.

Ini termasuklah kefahaman pentingnya berbelanja mengikut kemampuan. Melalui perancangan perbelanjaan yang bijak, rakyat tidak terbeban dengan GST. Oleh itu, GST secara tidak langsung melatih disiplin pengguna dalam berbelanja.

* Penulis ialah Ketua Ahli Ekonomi di MIDF Research

No comments:

Post a Comment