ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
KERAJAAN Malaysia dijangka memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak lama lagi untuk menggantikan cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (6 peratus).
Cukai perkhidmatan dikenakan pada kadar enam peratus di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Cukai perkhidmatan yang dikutip oleh perniagaan akan dibayar kepada kerajaan setiap dua bulan.
Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas beberapa jenis barangan dan perkhidmatan di Malaysia termasuk makanan, minuman dan barangan tembakau, perkhidmatan perubatan dan penyediaan tempat tinggal serta makanan oleh hospital swasta.
Cukai ini juga dikenakan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh akauntan, jurutera, arkitek agensi pengiklanan, firma jururunding dan pembekal khidmat pengurusan.
Selain itu, cukai ini turut dikenakan ke atas syarikat insurans, pusat servis dan pembaikan kenderaan, syarikat perkhidmatan telekomunikasi, agensi perkhidmatan pengawal keselamatan, kelab rekreasi, agen hartanah, operator perkhidmatan tempat letak kereta dan firma perkhidmatan penghantaran.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan professional yang diberikan oleh satu syarikat kepada sebuah syarikat yang lain di bawah kumpulan syarikat yang sama dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.
Perkhidmatan kurier atau penghantaran dari sebuah daerah di Malaysia ke keluar negara juga dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.
Cukai jualan ialah cukai satu peringkat yang dikenakan semasa barang diimport masuk atau dikilangkan.
Pengilang yang mengeluarkan barangan yang layak dikenakan cukai perlu dilesenkan di bawah Akta Cukai Jualan 1972.
Cukai yang dikenakan ke atas barangan yang diimport masuk dinilai dan dibayar pada masa barangan tersebut melepasi kawalan kastam.
Cukai ke atas barangan yang dikilangkan di dalam Negara akan dikenakan semasa barang tersebut dijual, digunakan sendiri, dilupuskan, didermakan, dibekalkan secara percuma dan lain-lain.
Cukai jualan secara amnya ialah pada kadar 10 peratus.
Beberapa barangan makanan bukan asas dan bahan binaan dikenakan cukai pada kadar lima peratus, barangan am pada kadar 10 peratus, minuman keras pada kadar 20 peratus dan rokok pada kadar 25 peratus.
Terdapat beberapa pengecualian untuk beberapa jenis komoditi utama, makanan asas, bahan binaan asas, beberapa jenis peralatan pertanian dan mesin berat untuk kegunaan industri binaan. Beberapa barangan perlancongan dan sukan, buku, surat khabar dan bahan bacaan juga dikecualikan daripada dikenakan cukai jualan.
Malaysia dilihat bergerak kearah menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilihat sebagai satu bentuk cukai yang lebih efektif. - BERSAMBUNG ESOK
No comments:
Post a Comment