GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

Ke arah sistem percukaian lebih efisien



DI MALAYSIA, hampir 70 peratus hasil negara datangnya daripada hasil cukai. Cukai ini boleh dikelaskan kepada cukai langsung dan cukai tak langsung.

Cukai langsung merupakan cukai yang dibayar oleh rakyat secara terus kepada pihak kerajaan seperti cukai pendapatan yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cukai pendapatan merupakan cukai yang dikenakan terhadap pendapatan yang diperolehi. Lebih banyak pendapatan yang diperoleh, lebih tinggi cukai pendapatan yang harus dibayar.

Manakala cukai tak langsung pula adalah cukai yang tidak di bayar terus atau langsung kepada pihak kerajaan.

Cukai tak langsung ini dibayar dalam bentuk pembelian barangan daripada sesebuah kedai atau entiti perniagaan yang kemudiannya mereka akan membayar cukai itu kepada kerajaan.

Contoh cukai tak langsung adalah seperti cukai perkhidmatan dan juga cukai jualan. Urusan cukai Perkhidmatan dan juga cukai jualan ini ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sebagai contoh, apabila kita menginap di sesebuah hotel atau makan di kedai-kedai tertentu, caj yang dikenakan akan tertera perkataan cukai perkhidmatan enam peratus.

Caj yang dibayar kepada hotel tersebut akan dibayar oleh hotel melalui cukai perkhidmatan kepada kerajaan.

Cukai jualan pula merupakan cukai yang dikenakan keatas pengilang yang mengilang barangan dan juga ke atas pengimport yang mengimport barangan.

Kebanyakan barangan yang dikenakan cukai jualan adalah pada kadar 10 peratus. Contoh barangan yang dikenakan cukai jualan adalah perabot, peti ais, televisyen, baju, kasut dan pelbagai lagi barangan lain.

Elemen cukai jualan ini telah diambil kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan harga jualan barangan tersebut. Kita perlu faham hampir kebanyakan barangan yang dibeli sekarang telah pun dikenakan cukai jualan.

Sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai banyak kelemahan dan kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh kelemahan itu.

Sebagai satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien, pihak kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memansuhkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan menggantikannya dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya 'Goods and Services Tax' (GST).

Cukai barangan dan perkhidmatan telah diperkenalkan lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks ekonomi moden.

Negara seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan dan Malaysia juga dijangka akan turut memperkenalkan cukai ini tidak lama lagi.

Dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, negara akan melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien. - BERSAMBUNG ESOK

ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment