2013/10/24 - 14:22:56 PM
Datuk Nur Jazlan Mohamed |
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) akan memanggil lima kementerian dan dua jabatan kerajaan untuk tampil memberikan penjelasan susulan laporan yang diumumkan Ketua Audit Negara, baru-baru ini.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata antara kementerian yang akan dipanggil memberikan keterangan termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengangkutan.
Bagi jabatan kerajaan, katanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kastam Diraja Malaysia turut akan dipanggil bagi memberikan keterangan mereka.
Beliau berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek secara sukarela akan tampil bagi memberikan penjelasan mengenai perbelanjaan untuk membawa artis K-Pop di bawah kementerian itu.
"Selain itu, Kementerian Pengangkutan turut dipanggil bagi memberi keterangan mengenai KLIA2 dan KKIA.
"Bagi KDN pula, ia akan dipanggil bagi memberikan penjelasan memgenai kehilangan aset," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua PAC di bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.
Mengulas tujuan LHDN dan Kastam dipanggil untuk memberikan keterangan, Nur Jazlan berkata, LHDN akan diminta memberi penjelasan mengenai kelemahan kutipan cukai manakala Kastam berhubung isu GST.
No comments:
Post a Comment