GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 25, 2013

Bajet 2014 cergaskan ekonomi, lindungi kebajikan rakyat


2013/10/24 - 14:13:14 PM

KUALA LUMPUR: Mencergaskan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat secara inklusif, akan menjadi teras utama Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka membentangkan cadangan secara meluas termasuk cadangan cukai dan insentif bagi meningkatkan hasil negara, dan dalam proses itu meletakkan ekonomi negara pada kedudukan yang lebih kukuh. 

Paling penting, rakyat perlu menerima hakikat bahawa pelan tindakan kewangan negara merupakan perancangan yang realistik, yang mengambil kira kemampuan dalam membantu rakyat serta melaksanakan usaha untuk mengurangkan perbelanjaan operasi. 

Seperti lazimnya, sebahagian besar Belanjawan 2014 akan diperuntukkan untuk projek pembangunan, program dan langkah-langkah yang berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Dalam usaha untuk melaksanakan rejim percukaian yang menyeluruh, pengumuman mengenai tempoh masa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang menjadi bualan kini, mungkin akan dibuat.

GST, yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, dijangka dilaksanakan dalam tahun taksiran 2015, dengan harapan penetapan kadarnya rendah iaitu empat hingga lima peratus.

Berbanding beberapa pandangan berbeza, mengurangkan rasuah dan meningkatkan kecekapan tidak akan meningkatkan hasil, namun usaha untuk mencapai matlamat ini, mengurangkan ketirisan dan disokong oleh GTS, berpotensi meningkatkan pendapatan negara. 

Langkah-langkah yang akan diambil bagi meningkatkan perusahaan mikro serta menambah sumbangan mereka kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana, yang seterusnya akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan langkah-langkah mengurangkan subsidi secara beransur-ansur.

Ini sebahagian daripada usaha jangka panjang bagi memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi pendapatan, dan pinjaman dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Seperti dinyatakan Najib sebelum ini, komitmen itu penting dalam memastikan tahap hutang tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK selain memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka panjang.

Perumahan mampu milik turut diberikan tumpuan, dengan lebih banyak program dan insentif disediakan bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri berikutan wujudnya kebimbangan terhadap kenaikan harga hartanah di negara ini.

Akta Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) juga dijangka dibangkitkan untuk menyekat spekulasi dalam sektor hartanah.

Ada cadangan untuk menaikkan RPGT kepada 25 peratus bagi hartanah yang dipegang kurang dari lima tahun dan CKHT sebanyak 10 peratus bagi hartanah yang dipegang kurang 10 tahun.

Tidak ragu-ragu lagi, langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat sambil terus memberi tumpuan terhadap pertumbuhan yang merangkumi usaha mempercepat pelaburan untuk meningkatkan potensi keluaran dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan juga memberi bayangan jelas bahawa ia akan meningkatkan jumlah pemberian BR1M, sekali gus meningkatkan jaringan keselamatan sosial kepada rakyat.

Usaha akan dipergiatkan untuk memanfaatkan aktiviti pelaburan yang memberikan pulangan tinggi menerusi projek-projek berimpak tinggi seperti sistem MRT, Kilang Penapis dan Pembangunan Bersepadu Petrokimia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Program Transformasi Ekonomi dan Koridor Wilayah.

Pada masa sama, kerajaan akan meningkatkan aktiviti pelaburan dalam industri berorientasikan eksport ekoran persaingan sengit untuk pasaran memandangkan eksport penting untuk tabungan negara.

Menerusi usaha ini, ia akan meningkatkan daya tahan sektor luar negeri, sekali gus menangani lebihan akaun semasa yang semakin mengecil.

Kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar yang lebih kukuh, dan mencapai 4.5-5.0 peratus untuk 2013 ketika prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di Amerika Syarikat, zon Euro dan China pada separuh kedua tahun ini.

Tidak diragukan lagi, Belanjawan 2014 akan menunjukkan daya tahan kewangan negara pada masa depan, dan atas alasan itulah langkah realistik perlu diambil untuk meningkatkan hasil sambil menutup ketirisan dalam ekonomi.

Menerusi usaha itu, belanjawan akan terus menjaga kebajikan rakyat dalam teras dasar kerajaan, untuk hari ini serta untuk jangka panjang.

Oleh itu, rasa bimbang bahawa ia akan menjadikan kedudukan kewangan lebih sukar, tidak berasas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment