Wacana Bajet 2013
Wacana Bajet 2013
WACANA Sinar Harian siri ke-14 yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf membawa tajuk Bajet 2013 membariskan Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli panel, serta Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, sebagai moderator. Ikuti taip skrip penuh wacana yang berlangsung kelmarin.

Bajet 2013 bajet gula- gula, pilihan raya, populis, tidak mampan dan banyak ‘one short’. Bagaimana Datuk meyakinkan rakyat apabila komentar dan kritikan diberikan kepada Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Apakah kelebihan Bajet 2013 untuk menafikan seluruh kritikan tersebut?

Abdul Rahman: Label diberikan populis, gula-gula atau bajet pilihan raya, itu satu diskripsi menyatakan bahawa bajet mesra rakyat, merasai masalah rakyat di peringkat akar umbi. Label tidak penting, yang penting ialah sama ada bajet ini dapat menggerakkan ekonomi ke depan, mengekang defisit bajet dan negara, atau hutang negara mampu memberi keselesaan kepada segelintir rakyat terpinggir kerana pergolakan ekonomi dunia yang meruncing.

Bajet 2013 mengambil kira semua faktor, hampir kesemua segmen masyarakat, wanita, orang tua, polis, swasta, galakan pelaburan ada terkandung dalam belanjawan. Apa yang penting ialah memastikan defisit tidak menjadi satu jumlah memudaratkan ekonomi pada masa akan datang. Sekarang negara terpaksa buat perubahan kerana subsidi terlalu menyeluruh. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) satu percubaan baik dan konsep beri subsidi ini kena pada tempat. Ia amat penting dan harap berterusan.

Pada masa sama, Pakatan Rakyat (PR) mewujudkan bajet alternatif yang agak ringkas tetapi ada gambaran keutamaan diletakkan PR. Saya menghargainya tetapi risau bajet PR tidak berdasarkan fakta ekonomi yang dapat dibuktikan. Defisit 3.5 peratus yang diunjurkan oleh mereka tidak masuk akal.

Saya suka bahas bajet alternatif kerana saya risau bajet ini tidak fahami oleh rakyat, ia akan memudaratkan dan kesan bahaya kepada ekonomi dan negara.

Kita berhadapan dengan bajet bulan bintang dan cakerawala. Bajet PR , tidak ada sistem dwi parti (tidak ada peruntukan Kabinet bayangan) tidak realistik dan janji perkara sukar dicapai, seperti mana yang dikemukakan oleh pengkritik, ini kerana PR tidak memerintah, tidak ada urus sebenar.