GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, October 13, 2012

GST boleh dilaksana menjelang 2014


 Aizuddin Sapian | aizuddin@bharian.com.my


Kuala Lumpur: Taxand Malaysia Sdn Bhd, syarikat perunding cukai berpendapat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan menjelang 2014, jika keadaan ekonomi global kekal baik ketika itu. 

Pengerusinya, Dr Veerinderjeet Singh, berkata GST bukan saja membantu memperluaskan asas percukaian negara malah penting untuk memastikan negara mempunyai sistem percukaian yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan. 


Beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai pendapatan yang stabil melalui sistem percukaian yang kemas untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. 


Keadaan ekonomi global dijangka stabil pada 2014 

Mencadangkan empat peratus sebagai kadar terbaik untuk permulaan pelaksanaan GST, Veerinderjeet berkata, rang undang-undang GST boleh dibentangkan di Parlimen pada 2013 selepas kerajaan mendapat mandat baru rakyat. 

“Kami menjangkakan waktu terbaik untuk kerajaan memulakan pelaksanaan GST adalah pada 2014, yang mana keadaan ekonomi global dijangka stabil dan menunjukkan sedikit peningkatan. 

“Faktor kestabilan ekonomi penting dalam melaksanakan perubahan ini, justeru jika keadaan ekonomi global kekal tidak menentu, kerajaan boleh menangguhkannya,” katanya pada taklimat ulasan Bajet 2013 di sini, semalam. 

Hadir sama pada taklimat itu Pengarah Eksekutif, Kang Beng Hoe dan Pengarah Urusan, Renuka Bhupalan. 

Pada pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan merancang mengubah sistem cukai negara daripada berasaskan pendapatan kepada penggunaan. 

Mengulas sama ada kerajaan perlu menurunkan kadar cukai pendapatan dan korporat selepas GST dilaksanakan, Veerinderjeet berkata, kerajaan perlu tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memastikan sistem baru itu betul-betul stabil. 

“Selepas itu, barulah cukai-cukai lain seperti cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada boleh dihapuskan selain menurunkan kadar cukai pendapatan dan korporat kepada 20 peratus setahun, secara berperingkat,” katanya. 

GST berkesan 

Beliau berkata, kalangan negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam mendapati GST sangat berkesan kecuali Filipina yang gagal melaksanakannya dengan baik akibat masalah pengurusan percukaian. 

“Keberkesanan GST bukan lagi persoalan. Apa yang lebih penting adalah pengurusan pelaksanaan yang baik serta keberanian politik untuk melaksanakan sistem ini. 

“Walaupun golongan peniaga di negara ini sudah memahami manfaat GST, banyak usaha perlu dilakukan pelbagai pihak dalam mendidik rakyat supaya menerimanya dengan baik,” katanya tetapi menambah kebimbangan berhubung pelaksanaan GST di Malaysia ialah sama ada peniaga akan menaikkan harga sesuka hati mereka. 

Sementara itu, Beng Hoe pula berkata, pelaksanaan GST bergantung kepada keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat. 

“Kita tidak boleh naikkan kadar GST jika pendapatan rakyat adalah rendah,” katanya.

No comments:

Post a Comment