GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, October 7, 2012

GST kaedah paling berkesan


ARKIB : 06/10/2012

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan kaedah paling berkesan bagi kerajaan mewujudkan aliran pendapatan baharu, dan pada masa yang sama mengurangkan pergantungan ke atas pendapatan menerusi petroleum, kata Yong Poh Chye, seorang perunding cukai.

Aliran perolehan baharu sangat penting memandangkan kerajaan perlu menyediakan kemudahan, perkhidmatan dan manfaat yang lebih baik kepada rakyat, kata Pengarah Eksekutif Tax Advisory and Management Services Sdn. Bhd. itu.

"Kita tahu jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan kini sedang memberi taklimat dan latihan untuk tenaga kerja yang terlibat dalam pelaksanaan GST," katanya kepada Bernama.

Yong yang merupakan antara perunding utama percukaian di negara ini berkata, kerajaan belum memperkenal GST disebabkan ia mahu rakyat menyedari sepenuhnya impak positif sistem percukaian baharu itu.

"Ini berbeza dengan kebanyakan negara lain yang melaksanakan cukai baharu selepas pengumuman mengenainya dilaksanakan," katanya.

Kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas perolehan berkaitan minyak secara beransur-ansur dengan dividen RM28 bilion diperoleh pada 2012 daripada Petroliam Nasional Bhd berbanding RM30 bilion pada 2011.

Dividen itu mungkin akan dikurangkan lagi sebanyak RM3 bilion kepada RM27 bilion tahun depan.

Yong berkata, kaedah yang lebih jelas dalam pelaksanaan GST dijangka dibentangkan tahun depan selepas kerajaan berjaya meningkatkan tahap kesedaran terhadap sistem percukaian baharu itu.

Selepas Rang Undang-undang GST diwartakan, ia akan mengambil masa kira-kira 18 bulan sebelum percukaian baharu itu dikuatkuasakan, katanya.

"Ini bermakna jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen lewat tahun depan, percukaian baharu itu hanya akan berkuat kuasa pada 2015," katanya dan menambah kerajaan wajar memulakan kempen kesedaran mengenai aspek positif GST.

Yong berkata, had cukai tiga peratus akan merupakan tahap sesuai untuk memperkenal GST, angka yang lebih rendah berbanding United Kingdom dan Ireland, yang masing-masing mengenakan GST pada 20 dan 23 peratus.

"Pada permulaan, tiga peratus merupakan peratusan terbaik. Bagaimanapun, ia masih terlalu rendah berbanding cukai perkhidmatan semasa pada enam peratus yang dibayar oleh rakyat Malaysia," katanya.

Rang Undang-undang GST dibentangkan di Parlimen pada Disember 2009. GST itu dicadangkan dikuatkuasakan pada suku ketiga 2011, bermatlamat meluaskan asas percukaian dan mengurangkan defisit negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan GST perlu diperjelas dengan betul dan cukai penggunaan yang luas itu merupakan kaedah untuk Malaysia melangkah ke depan.

Ramai pakar ekonomi berkata, Malaysia perlu menambah asas perolehan dan cara terbaik ialah menerusi GST.

Ada pandangan bahawa GST akan mengurangkan kegiatan mengelak cukai. Lebih 140 negara sudah melaksanakan GST. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121006/ek_03/GST-kaedah-paling-berkesan#ixzz2WdDQ9wE7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment