GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, November 24, 2010

GST: Syarikat perniagaan perlu persediaan awal


ARKIB : 23/11/2010

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Syarikat perniagaan perlu membuat persediaan awal sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.

Pengarah Biro Ekonomi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din berkata, masyarakat perdagangan di negara ini perlu memandang serius mengenai GST agar ia dapat dilakukan dengan betul dan tepat.

Beliau berkata, banyak tanggapan salah di kalangan orang ramai mengenai GST sedangkan ia telah dilaksanakan dengan berkesan di kebanyakan negara.

"Pelaksanaan GST di negara ini sebenarnya mengambil kira kepentingan rakyat melalui kadar cukai yang lebih rendah dan keperluan asas tertentu juga dikecualikan daripada cukai.

"Banyak kesan negatif juga akan dialami oleh sesebuah perniagaan jika mereka tidak dapat melaksanakan GST apabila ia dikuatkuasakan kelak," katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Aplikasi GST kepada Perniagaan: Satu Pengenalan di sini hari ini.

Seramai 110 peserta terdiri daripada pengurusan atasan organisasi dan ahli akademik mengikuti seminar tersebut yang bertujuan memberi pendedahan tentang GST.

Turut hadir pada seminar itu ialah Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Abd. Aziz Abu Bakar; pemilik Aftaas Taxation Services Sdn. Bhd., Afrizan Tarmili Khairul Azhar; Pengarah Projek Kanan, Urusetia Panel Kajian Semula Cukai, Kementerian Kewangan, Mohd. Roslan Mat Lodin dan Timbalan Pengarah Kastam (Unit Tugas-tugas Khas GST), T. Subromaniam.

Mohammad Sahar berkata, seminar yang julung kali diadakan itu dengan kerjasama Mata dan Aftaas serta diuruskan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ), akan diadakan lagi supaya masyarakat lebih faham tentang GST.

Sementara itu, Mohd. Roslan berkata, GST bertujuan memperbaiki sistem percukaian dan kadarnya akan lebih rendah daripada kadar semasa.

"Pada masa ini, sebanyak 146 negara di dunia telah melaksanakan GST. Banyak faedah yang boleh diperoleh daripada GST jika orang ramai memahami bagaimana ia berjalan," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai GST boleh diperoleh di laman web www.gst.customs.gov.my.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1123&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm#ixzz2WRtF3YIe
© Utusan Melayu (M) Bhd