ARKIB : 17/02/2012
KUALA LUMPUR 16 Feb.-
Biarpun semakin ramai penduduk negara ini memahami tentang cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) tetapi masih belum terdapat tanda-tanda pelaksanaannya akan
dikuatkuasakan.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, pelaksanaan GST masih lagi dibincang
oleh kerajaan.
''Saya tidak tahu bila ia akan
dikuatkuasakan. Semua pihak yang terlibat perlu membuat penerangan kepada
rakyat seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Setakat ini, rakyat sudah mula
memahami GST,'' katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di
Persidangan Transformasi Nasional anjuran Institut Pengurusan Malaysia di sini
hari ini.
Idris berkata, GST bukan
pengenalan cukai yang baharu sebaliknya ia menggantikan cukai perkhidmatan dan
jualan.
Menurut beliau, GST sebenarnya
adalah lebih baik kerana ia berupaya melindungi hak golongan miskin, selain
menambah nilai.
Terdahulu, semasa sesi soal jawab
bersama peserta persidangan, Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit
Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, kerajaan perlu
meningkatkan pendapatan melalui kutipan cukai di kalangan individu yang layak.
Jelasnya, jumlah individu yang
membayar cukai di Malaysia adalah sejuta berbanding 28 juta rakyatnya.
''Jumlah pendapatan yang
diperoleh ini tidak mencukupi kepada kerajaan yang perlu menanggung 28 juta
rakyat," tambah beliau.
Katanya, bukan suatu masalah yang
besar sekiranya kerajaan membuat hutang kerana mempunyai pendapatan yang cukup
untuk bayar balik.
Cuma, pendapatan itu perlu
ditingkatkan, selari dengan unjuran kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan 6.0
peratus bagi mencapai status negara maju.
''Salah satu caranya ialah
mengejar individu yang layak membayar cukai,'' kata beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WGIItz6P
© Utusan Melayu (M) Bhd