GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, February 18, 2012

Tiada tanda pelaksanaan


ARKIB : 17/02/2012


KUALA LUMPUR 16 Feb.- Biarpun semakin ramai penduduk negara ini memahami tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi masih belum terdapat tanda-tanda pelaksanaannya akan dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, pelaksanaan GST masih lagi dibincang oleh kerajaan.

''Saya tidak tahu bila ia akan dikuatkuasakan. Semua pihak yang terlibat perlu membuat penerangan kepada rakyat seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Setakat ini, rakyat sudah mula memahami GST,'' katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Transformasi Nasional anjuran Institut Pengurusan Malaysia di sini hari ini.

Idris berkata, GST bukan pengenalan cukai yang baharu sebaliknya ia menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan.

Menurut beliau, GST sebenarnya adalah lebih baik kerana ia berupaya melindungi hak golongan miskin, selain menambah nilai.

Terdahulu, semasa sesi soal jawab bersama peserta persidangan, Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, kerajaan perlu meningkatkan pendapatan melalui kutipan cukai di kalangan individu yang layak.

Jelasnya, jumlah individu yang membayar cukai di Malaysia adalah sejuta berbanding 28 juta rakyatnya.

''Jumlah pendapatan yang diperoleh ini tidak mencukupi kepada kerajaan yang perlu menanggung 28 juta rakyat," tambah beliau.

Katanya, bukan suatu masalah yang besar sekiranya kerajaan membuat hutang kerana mempunyai pendapatan yang cukup untuk bayar balik.

Cuma, pendapatan itu perlu ditingkatkan, selari dengan unjuran kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan 6.0 peratus bagi mencapai status negara maju.

''Salah satu caranya ialah mengejar individu yang layak membayar cukai,'' kata beliau.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment