GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, February 18, 2012

60 peluang niaga baru dikenal pasti


Publication: BH
Date of publication: Feb 17, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Shahrizan Salian


UNIT Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (PEMANDU) sudah mengenal pasti 60 peluang perniagaan baru yang akan diterjemahkan kepada 70 lagi projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan EPP di bawah ETP yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020, kepada 200.

Ketua Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, berkata unit itu baru saja menyelesaikan lima makmal bersama semua koridor pembangunan dan bandar raya setiap negeri untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang boleh dimasukkan ke dalam komponen ETP.

Kami berharap dapat mengeluarkan dokumen penuh mengenai semua projek berkenaan pada akhir suku pertama ini atau selewat-lewatnya pada April, katanya kepada media selepas membentangkan perkembangan terbaru ETP dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada Sidang Puncak Transformasi Negara anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di Kuala Lumpur, semalam.

PEMANDU bertanggungjawab memantau perkembangan ETP yang dibahagikan kepada 12 bidang ekonomi utama bagi menyokong sasaran menjadi negara maju dalam tempoh 10 tahun lagi.

Bagi mencapai sasaran itu, Malaysia perlu meningkatkan pendapatan perkapita kepada AS$15,000 setahun, pendapatan negara kasar (PNK) kepada RM1.7 trilion dan mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) purata sekurang-kurangnya enam peratus setahun sehingga 2020.

Setakat ini, 72 EPP sudah mula dilaksanakan membabitkan pelaburan bernilai RM188 bilion daripada sektor awam dan swasta.

Projek berkenaan menyediakan 313,741 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dalam tempoh suku ketiga tahun lalu, 87 peratus daripada sasaran PNK sudah dicapai, 83 peratus sasaran jumlah pelaburan sudah direalisasikan manakala 75 peratus sasaran jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan dapat dipenuhi.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, 92 peratus daripada EPP yang sudah dilaksanakan itu dibuat dengan pembabitan sektor swasta.

Komponen kerajaan dalam pelaksanaan ETP hanyalah memastikan semua infrastruktur untuk melaksanakan setiap projek itu dapat disediakan dan kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk menyediakannya, katanya.

Mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), beliau berkata proses rundingan mengenainya masih berjalan antara kerajaan dan semua pihak termasuk orang awam.

Beliau yang masih berteka-teki mengenai tempoh sebenar pelaksanaan GST itu bagaimanapun berkata kerajaan dijangka akan mengambil masa setahun untuk melaksanakan kutipan cukai itu daripada tempoh ia diumumkan secara rasmi.

Semua negara yang melaksanakan GST mengambil masa kira-kira setahun daripada selepas kerajaannya mengumumkan rancangan itu. Jika semua perkara sudah dipersetujui, seluruh proses dokumentasi dan sebagainya akan mengambil jangka masa seperti itu, katanya.

Dari segi tinjauan pendapat umum, Idris berkata masih ramai yang masih keliru dengan fungsi GST yang sebenarnya hanyalah menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada dan bukan menambahkan beban cukai.

Kerajaan juga, katanya memberi jaminan melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan rakyat secara keseluruhannya dengan mengecualikan produk asas seperti makanan daripada dikenakan cukai manakala sesetengah barangan pula hanya akan mengenakan cukai ke atas nilai tambah yang disediakan barangan terbabit.

No comments:

Post a Comment