GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, November 4, 2008

Kutipan cukai kastam meningkat kepada RM23.7 bilion


ARKIB : 03/11/2008

PUTRAJAYA 3 Nov. — Kastam Diraja Malaysia mencatat kutipan cukai RM23.7 bilion bagi tahun ini sehingga semalam, peningkatan RM3.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dengan peningkatan itu, sasaran untuk jumlah kutipan cukai tahun ini dijangka meningkat kepada RM28 bilion daripada sasaran asal RM24 bilion, kata Ketua Pengarah kastam, Datuk Ibrahim Jaapar.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong oleh penggunaan sistem kawalan yang lebih efektif, termasuk sistem Inisiatif Verifikasi Kastam selain peningkatan kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab membayar cukai.

“Jumlah ini kebanyakannya disumbang oleh hasil dalam negeri, lebih kurang 65 peratus, selain eksport import yang menyumbang 35 peratus daripada keseluruhan hasil,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil tamat kursus ejen perkastaman dan GST serta sijil kursus asas ejen kastam kepada 43 ahli Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim, yang mula memegang jawatan itu 3 Okt lepas berkata, dua negeri penyumbang terbesar bagi jumlah keseluruhan cukai itu adalah Wilayah Persekutuan dan Selangor, manakala Kelantan mencatat kutipan hasil paling rendah.

“Ini kerana hasil di sana tak banyak, dan kita lebih bergantung kepada pencegahan untuk hasil, dan masalah politik di selatan Thailand turut menjadi penyebab kerana (kutipan cukai di) Kelantan lebih kepada urusniaga sempadan,” katanya. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm#ixzz2WdR6hT5i
© Utusan Melayu (M) Bhd