Charles-Santiago
KLANG - Tindakan kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal membebankan rakyat lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah terutamanya pekerja-pekerja tetap.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, cukai tersebut terpaksa dikenakan terhadap rakyat ekoran pinjaman negara yang semakin meningkat hingga ke tahap yang bahaya sebanyak RM430 bilion.

Beliau menyifatkan pertumbuhan ekonomi negara dijangka merosot tahun ini.

“Selebihnya kerajaan menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini akan meningkat hanya sekitar 5 hingga 6 peratus, tetapi anggaran institusi yang lain pertumbuhan ekonomi tidak begitu tinggi sepertimana yang diramalkan Standard Chartered bank dan
Malaysian Institute of Economic Research iaitu hanya 2.7 dan 3.7 peratus,” katanya.

Charles berkata, mengikut analisis badan-badan profesional, pertumbuhan ekonomi negara akan dipengaruhi masalah pinjaman di Eropah dan eksport negara China yang terjejas.

“Walaupun ekonomi Amerika Syarikat meningkat sebaliknya ia tidak dapat membantu ekonomi negara kita.

“Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berdasarkan kaji selidik pada akhir tahun lalu bermula Januari hingga Mac, terdapat banyak syarikat dijangka tidak akan menerima pesanan dalam kuantiti yang besar,” katanya.

Menurutnya, kemelesetan ekonomi negara ini tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan hutang kerana hutang kerajaan tidak boleh melebihi 55 peratus daripada dasar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Hutang negara adalah bersamaan dengan KDNK sebanyak 53 peratus pada masa sekarang.

“Justeru itu, saya berharap dengan kehadiran tahun naga kali ini boleh membawa perubahan lebih baik bagi negara kita,” katanya ketika berucap pada program pelancaran tarian singa dan penyampaian risalah ‘perubahan’ dan limau kepada penduduk Taman Chi Liung dan pasar pagi Pandamaran.

Hadir sama, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ivan Ho, Robert Choo dan ahli-ahli DAP.

Pada program itu, Charles turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kota Alam Shah dan Pandamaran kerana mereka sentiasa memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat (PR).