GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, February 20, 2010

GST: Manfaat serta-merta

PUTRAJAYA 19 Feb. - Rakyat dapat merasakan manfaat serta-merta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan menikmati harga lebih murah untuk pelbagai jenis barang.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, antaranya rakyat hanya perlu membayar GST empat peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan lebih tinggi dikenakan sekarang.

"Kos perniagaan lain juga berkurangan selepas GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana restoran berkenaan tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.

"Dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamariah berkata, pelaksanaan GST memberi kesan kepada penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah.

"GST akan menurunkan IHP tetapi ini tidak bermakna IHP mesti turun selepas GST dilaksanakan kerana jatuh naik IHP turut dipengaruhi faktor lain," katanya.

Beliau memberitahu, bukan semua harga barang akan menurun selepas GST diperkenalkan dan terdapat barang tertentu yang akan mengalami kenaikan atau kekal pada harga asal.

Menurutnya, panduan pengguna akan diterbitkan supaya orang ramai mengetahui impak pelaksanaan GST kepada 350 jenis barang supaya peniaga menurunkan harga barang tersebut pada kadar yang sesuai.

"Harga untuk minuman berkarbonat umpamanya akan menurun selepas GST menggantikan SST dan kami mahu peniaga menyelaraskan harga secara berpatutan," katanya.

Kamariah berkata, kerajaan pada masa sama juga akan berbincang dan memujuk pasar raya besar di negara ini supaya mengekalkan harga lama jika harga barang berkenaan meningkat selepas GST diperkenalkan.

"Kami meminta pasar raya menyerap perubahan harga yang disebabkan oleh pelaksanaan GST.

"Adalah penting supaya pasar raya besar tidak menaikkan harga kerana terdapat juga peruncit yang membeli barang secara pukal daripada mereka untuk dijual semula di tempat lain," katanya.

Kamariah berkata, pendapatan cukai kerajaan melalui GST pada kadar empat peratus adalah kurang berbanding perolehan SST lalu mendorong kerajaan mengambil langkah lain untuk menampung kekurangan yang bakal berlaku.

Beliau menegaskan, dasar kerajaan untuk melaksanakan GST bukan bertujuan mengatasi defisit fiskal negara tetapi menyelesaikan kelemahan dalam cukai jualan dan perkhidmatan serta mempelbagai sumber pendapatan negara.

© Utusan Melayu (M) Bhd