GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 19, 2012

Pendidikan percuma isyarat salah


ARKIB : 18/10/2012

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Dewan Rakyat diberitahu, pendidikan percuma anjuran pembangkang memberi isyarat salah dari segi harga pendidikan sehingga menyebabkan pengguna membuat keputusan yang tidak betul khususnya dalam aspek pelaburan pendidikan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kos pengajian tinggi tidak harus dibebankan ke atas pembayar cukai semata-mata sebaliknya perlu ditanggung bersama individu terbabit kerana kos itu merupakan pelaburan demi pulangan masa depan mereka.

Tegasnya, tiada istilah pendidikan percuma di mana-mana negara untuk pengajian tinggi kerana pasti ada pihak yang perlu membiayai kos pendidikan tersebut walaupun pembangkang sering menjadikan Turki sebagai contoh dalam membuat janji populis.

Menurut Mohamed Khaled, Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat universiti dan pasca siswazah sama seperti di Malaysia.

“Sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) mengikut kadar inflasi semasa.

“Menerusi kaedah itu, kadar faedah tambahan sebanyak 2.5 peratus daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar Turki yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan," katanya semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi sama seperti di Malaysia.

“Di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah RM166,000, tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja.

“Ini bermakna sebanyak 94.6 peratus yuran telah diberi subsidi oleh kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, negara seperti Finland, Denmark dan Norway yang dikatakan menawarkan pendidikan tinggi secara percuma sebenarnya melaksanakan cukai pendapatan individu antara 6.5 hingga 55.4 peratus.

Selain itu, katanya, negara berkenaan turut melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai nilai tambah (VAT) sekitar 23 hingga 25 peratus bagi membolehkan pendidikan tinggi diberi secara percuma kepada rakyat mereka.

“Ini menunjukkan tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara atau dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121018/dn_08/Pendidikan-percuma-isyarat-salah#ixzz2WdD3w5Ii
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment