GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, October 20, 2012

Sistem cukai negara perlu diperbaharui dengan GST

Posted on October 19, 2012, Friday

KUCHING: Sistem percukaian negara perlu diperbaharui dengan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) untuk memastikan sumber perolehan negara kekal stabil.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Faizulnuddin Hashim berkata terdapat kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada iaitu cukai perkhidmatan dan jualan.

Malah, kerajaan katanya bergantung penuh kepada cukai pendapatan dan perolehan petroleum yang mana perolehan petroleum ketika ini tidak mapan dan boleh habis.

Oleh sebab itu katanya, negara perlu mencari sumber lain untuk kestabilan perolehan melalui satu sistem percukaian yang lebih efektif dan cekap.

“GST merupakan sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan bagi memperkukuhkan kecekapan dan keberkesanan sistem percukaian negara.

“Jika dibandingkan dengan cukai pendapatan, sumber perolehan GST lebih stabil dan lebih cekap serta berkesan dan membolehkan perniagaan menuntut kembali cukai input,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangannya mengenai kesedaran terhadap GST pada program latihan dan kesedaran GST di Dewan Utama, Tingkat 4, Wisma STA di sini semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Persatuan Perkayuan Sarawak (STA) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Bendahari STA Philip Choo Kwong Hui bagi pihak penganjur berkata GST telah diusulkan oleh kerajaan pusat menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan pada 2005.

Ia sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari 2007, namun ditangguhkan pada bacaan kedua rang undang-undang pada Mac 2010 bagi membolehkan kerajaan memperluaskan penglibatan sektor perniagaan dan memastikan GST diterima baik sebelum dilaksanakan.

Hasil daripada kajian pada 1 Januari 2007, didapati tahap kesedaran ahli-ahli STA terhadap GST agak cetek dan mereka keseluruhannya masih belum bersedia untuk pelaksanaan GST.

Bagaimanapun, demi kepentingan industri perhutanan dan perkayuan di negeri ini, kumpulan kerja STA GST telah menghantar memorandum mengenai GST.

Memorandum ini termasuk kertas cadangan beberapa rujukan GST yang berpatutan meliputi pendaftaran, pembekalan, sektor perhutanan spesifik, pentadbiran dan perkara- perkara transisional.

Ini bagi memastikan industri perkayuan dan perhutanan di Sarawak terus kekal mencapai kecemerlangan dan mengekalkan persaingan di bawah rejim GST yang dicadangkan.

Sekitar 150 peserta menyertai program tersebut yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Oktober 2012.


No comments:

Post a Comment