GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

Akhbar Melayu dianaktirikan?



Oleh fairus kassim
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu jatuh sebanyak 1.8 peratus setakat September lalu, walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus.

Bagaimanapun, adex untuk akhbar berbahasa Cina dan Inggeris masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak enam hingga tujuh peratus dalam tempoh sembilan bulan berkenaan.

AmResearch dalam nota kajiannya menyatakan, perancangan perbelanjaan adex mungkin akan merosot selepas ini disebabkan kebarangkalian pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut kajian berkenaan lagi, untuk keseluruhan industri media, adex industri mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus untuk tempoh bulan ke bulan pada September dan 30.5 peratus untuk tahun ke tahun.

Pada bulan lalu telah mencatatkan pemulihan yang baik untuk keseluruhan industri selepas mencatatkan kejatuhan pada Ogos tetapi tidak diikuti oleh adex untuk akhbar-akhbar berbahasa Melayu.

Sementara itu, RHB Research menyatakan, adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26 peratus pada September 2013 kepada RM113.6 juta berbanding RM154.3 juta untuk tempoh sama tahun lalu, berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing meningkat 8.9 dan 7,2 peratus.

RHB Research yang memetik laporan Nielson Co. turut menyatakan pertumbuhan dari Ogos ke September 2013 menunjukkan adex akhbar berbahasa Melayu turut mencatatkan kemerosotan berbanding akhbar lain yang terus meningkat.

Sebelum ini, laporan tahun lalu telah menunjukkan pengiklanan oleh 17 syarikat milik kerajaan (GLC) terbesar di negara ini untuk media berbahasa Melayu sepanjang 2012 adalah lebih rendah berbanding jumlah yang dibelanjakan untuk media berbahasa lain.

Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) yang berlangsung pada 3 Mei 2012 telah menyarankan supaya GLC memberi keutamaan kepada media cetak berbahasa Melayu dalam mengiklankan produk dan perkhidmatan masing-masing, namun impaknya masih tidak kelihatan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pengerusi serta ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan 17 GLC terbesar di bawah Program Transformasi GLC.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment