GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 25, 2013

Pembangkang lancar bajet bayangan 2014




KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pakatan pembangkang hari ini melancarkan bajet bayangan 2014 di bilik taklimat Parlimen disini melibatkan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM262 bilion, dalam masa sama mendakwa bajet berkenaan mampu menjimatkan RM30 bilion.

Bajet bayangan yang terkandung di dalam dokumen setebal 44 muka surat itu menyentuh pelbagai isu termasuk meminta kriteria bagi penerima-penerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperketatkan lagi.

Umpama kesinambungan daripada manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), antara intipati lain yang terdapat di dalam bajet bayangan berkenaan ialah memperkenalkan skim pendidikan percuma dari peringkat pra sekolah sehingga peringkat universiti.

Untuk itu, pembangkang di dalam bajet bayangan tersebut memperuntukkan sebanyak RM6 bilion setahun bagi digunakan untuk mengambil alih hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM2 bilion, elaun sara hidup 500,000 pelajar (RM2.5 bilion), tabung institut pengajian tinggi swasta (RM900 juta) dan menampung 10 peratus kos di institut pengajian tinggi awam (RM600 juta).

Di dalam bajet bayangan itu juga, pihak pembangkang seperti janji-janji mereka sebelum ini menjanjikan elaun khas perguruan sebanyak RM500 sebulan dengan kos keseluruhan RM2.4 bilion setahun.

Selain itu, turut dicadangkan penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang membabitkan kos sebanyak RM800 juta setahun sehingga kajian penuh dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC); mengambil tindakan atas laporan Ketua Audit Negara serta menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bajet bayangan tersebut telah dilancarkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda DAP; Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abd. Samad.

Secara keseluruhan, bajet bayangan itu memperuntukkan belanja mengurus sebanyak RM214.6 bilion, defisit (RM12.14 bilion), perbelanjaan pembangunan kasar (RM47.63 bilion), pemulihan hutang (RM1.25 bilion) dan perbelanjaan pembangunan bersih (RM46.38 bilion).

Bajet itu bertemakan Mempertahankan Kepentingan Rakyat Dalam Mengharungi Gelombang dan mempunyai empat teras iaitu;

* Konsolidasi kedudukan fiskal dan menambah kewangan awam.

* Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan kualiti hidup mereka-agenda masyarakat penyayang.

* Memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.

* Merealisasikan potensi sebenar Malaysia dan meningkatkan daya saing jangka panjang.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment