GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

Cuepacs tuntut bonus dua bulan dalam Bajet 2014


OLEH DIYANA IBRAHIM
OCTOBER 23, 2013

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda, berkata pemberian bonus tersebut wajib diberikan kepada penjawat awam kerana kos sara hidup semakin meningkat kini.

"Bonus memang wajib, setiap tahun kita akan minta peruntukan kerana kita tahu persekolahan akan bermula maka ia sedikit sebanyak akan meringankan beban.

"Kali ini kita minta lebih kerana kadar peningkatan kos di bandar sebagai contoh gaji RM3,000 masih dikategorikan miskin bandar," katanya ketika dihubungi di The Malaysian Insider semalam.

Menerusi Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi bonus sebanyak sebulan setengah gaji kepada kakitangan kerajaan.

Azih berkata, Cuepacs bimbang akan berlaku peningkatan harga barangan keperluan asas kerana jika ia berlau, pasti akan membebankan penjawat awam terutama dengan kadar pendapatan yang diperolehi ketika ini.

"Kita risau bakal menyaksikan beberapa kenaikan harga barangan bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah. Bukankah ia akan meningkatkan kos bagi rakyat sedangkan kadar upah tidak meningkat langsung," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar gaji penjawat awam supaya selari dengan peningkatan kos sara hidup di bandar.

Selain itu, katanya, Cuepacs berpendapat kerajaan perlu menurunkan kadar peratus pinjaman perumahan daripada empat peratus kepada satu peratus.

"Kebanyakan mereka tidak mampu membeli rumah kerana harga yang terlalu mahal. Kita mahu kerajaan mengurangkan kadar peratus pinjaman dan membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.

Katanya, Cuepacs turut menyarankan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Azih berkata, adalah lebih wajar bagi kerajaan menerangkan secara mendalam mengenai cukai GST agar difahami rakyat terlebih dahulu.

"Rakyat perlu diberi penerangan secara terperinci mengenai keperluan dan kelebihan GST kerana kita tidak mahu rakyat terpaksa membayar cukai berganda yang tentu membebankan.

"Meskipun tidak semua barangan yang perlu dibayar namun jika melihat cukai tersebut dengan pendapatan penjawat awam sekarang, lama kelamaan pasti timbul perasaan kurang senang kerana kita terpaksa membayar lima peratus daripada apa yang dibelanjakan,” katanya. - 23 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment