GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 23, 2013

Malaysia kritikal jika tidak laksana GST - MIER



KUALA LUMPUR 22 Okt. - Malaysia berada dalam zon kritikal sekiranya tidak melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia merupakan keperluan signifikan kerajaan, selain mempunyai kesan jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid (gambar) berkata, GST mampu menyalurkan pendapatan kepada kerajaan selain berkeupayaan menstabilkan ekonomi.

Katanya, GST secara umumnya adalah lebih meringankan bebanan rakyat berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan di premis-premis premium dan premis perkhidmatan selama ini.

"Kebanyakan negara maju dan serantau telah lama melaksanakan sistem cukai ini dan Malaysia masih melaksanakan sistem cukai perkhidmatan (SST) yang sebenarnya jauh lebih tinggi kadar cukainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan keputusan tinjauan ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2013 di sini hari ini.

Sehingga kini, lebih 146 buah negara di seluruh dunia telah melaksanakan GST di negara masing-masing.

Negara-negara maju yang telah pun melaksanakan GST adalah United Kingdom, Jepun, Jerman, Sweden, Belanda, Denmark, Singapura dan banyak lagi.

Kadar GST tertinggi setakat ini adalah dari Denmark, Sweden dan Hungary dengan kadar 25 peratus.

Negara-negara jiran yang turut melaksanakan GST adalah Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Tambah Zakariah, kerajaan mungkin mempunyai formula yang amat baik bagi mendapatkan penerimaan masyarakat mengenai GST.

Katanya, bagi kebanyakan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak dan banyak lagi mungkin diberi kadar cukai sifar dalam GST.

"Jika dahulu, cukai dalam sesuatu perkhidmatan melebihi 16 peratus, mungkin dengan pengenalan GST, rakyat hanya perlu membayar cukai empat peratus sahaja atau mungkin jauh lebih rendah daripada angka itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada GST akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Jumaat ini, Zakariah menjawab, kerajaan dijangka membentangkan mengenai perkara itu, namun masih belum dapat melaksanakannya.

Menurut beliau, jika benar GST akan diumumkan dalam Bajet 2014, sudah tentu keputusan mengenai pengumuman dan pelaksanaan sistem cukai itu sudah dibincang dan diluluskan di peringkat kabinet.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment