BERAPA kerap kita melihat resit selepas apa-apa pembelian. Mungkin kita acap kali terus sahaja membuang resit tersebut tanpa melihatnya.
Kecuali jika membuat pembelian yang mahal dan menggunakan kad kredit tetapi selalunya selepas kita berkunjung ke 7-Eleven terdekat dan membeli minuman atau menikmati burger di restoran makanan segera, adakah kita mengambil masa untuk melihat kembali resit pembelian dan cuba untuk memahaminya?
Adakah anda sedar bahawa terdapat cukai yang mungkin selama ini kurang disedari oleh anda sebagai pengguna dalam pembelian dibuat?
Adakah anda sedar yang anda telah hidup dengan membayar cukai ini sejak sekian lama dan adakah anda tahu berapakah cukai yang dikenakan pada setiap pembelian?
Tidak dinafikan, semua negara di dunia ini mengutip cukai untuk menjana dana atau hasil dan cukai perkhidmatan ialah salah satu contoh cukai yang dikutip.
Sebagai pengguna yang bijak, kita sepatutnya sedar tentang cukai yang dikenakan, kenapa dan mengapa dikenakan ke atas pembelian kita.
Pengguna ada hak untuk mengetahui jenis cukai yang dikenakan, kadarnya dan kenapa perlu membayar cukai tersebut.
Kita perlu memahami tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai dan mengenali apakah barangan yang dikenakan cukai dan apakah barangan yang tidak dikenakan cukai supaya kita boleh membuat pilihan yang bijak semasa membeli.
Salah satu bentuk cukai ialah cukai jualan yang umumnya pada kadar 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan yang jarang diketahui kerana telah dimasukkan ke dalam kos barangan yang kita beli, selain cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.
Lebih menarik lagi apabila barangan ini melalui satu proses jual beli daripada pengilang, pemborong, peruncit dan kepada pengguna nilai cukai jualan ini akan bertambah disebabkan oleh faktor nisbah keuntungan oleh pihak di setiap peringkat berkenaan.
Akhirnya kita sebagai pengguna perlu membayar harga yang lebih untuk barangan tersebut.
Kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan ini telah digunapakai sejak sekian lama dan tidak ramai yang ambil kisah tentangnya dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenalkan bukanlah satu bentuk cukai yang baharu, sebaliknya sebagai pengganti kepada bentuk cukai sedia ada.
Sistem cukai lama digantikan dengan GST dan bukan ditambah kepada sistem cukai sedia ada.
Untuk memahami GST dengan lebih mendalam anda boleh melayari laman sesawang pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di www.gst.customs.gov.my
ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131024/ek_03/Cuba-teliti-resit-anda!#ixzz2ibDoR9CK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment